PN rangka Bantuan Prihatin RM6,000 setahun

PADA Belanjawan 2021 Perikatan Nasional (PN) menyediakan Bantuan Prihatin Rakyat yang berjumlah RM55 bilion bagi membantu rakyat ketika berdepan dengan pandemik Covid-19.

Kerajaan PN ketika itu turut menyediakan subsidi upah berjumlah RM12 bilion yang memberi manfaat kepada 330,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dan sebagai kerajaan menanti, PN sekali menawarkan pakej Bantuan Prihatin Nasional sehingga RM6,000 setahun kepada setiap isi rumah yang memerlukan.

Penjelasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin itu turut menarik perhatian ahli parlimen Puncak Borneo Sawarak Datuk Willie Mongin.

Beliau ingin kepastian sama ada PN boleh merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya menerajui kerajaan pusat pada masa akan datang.

Merungkai isu tersebut Hamzah menjelaskan ketika di bawah era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin diwujud kementerian khusus bagi membincangkan isu tersebut.

Pada April 2021 kerajaan PN mewujudkan portfolio khusus di bawah Hal Ehwal Sabah dan Sarawak serta penubuhan Majlis Khas mengenai MA63.

Majlis Khas MA63 berperanan meneliti perkara-perkara yang berkaitan dengan hak-hak Sarawak dan Sabah.

“Ketika Presiden Bersatu berkhidmat sebagai perdana menteri, satu kementerian diwujudkan untuk menilai semula MA63. Kalau PN masih lagi kerajaan.. MA63 akan diselesaikan,” katanya ketika membahas rang undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah juga yakin berdasar kedudukan fiskal negara, PN ada keupayaan memperkenalkan Bantuan Prihatin RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah yang memerlukan.

Katanya rakyat yang menerima bantuan itu bebas berbelanja tanpa terikat dengan pelbagai syarat seperti dikenakan kerajaan sekarang.

Sedangkan skim SARA yang diberi kerajaan sekarang bersyarat dan terhad sehingga mengekang pilihan rakyat.

Pendidikan percuma

“Namun PN akan memberi kebebasan kepada rakyat untuk menentukan sendiri perbelanjaan yang mereka perlukan. PN juga akan menawar pendidikan percuma termasuk memberi biasiswa kepada pelajar berdasar merit,” ujarnya. 

Kata beliau biar pun kerajaan sekarang memberi peruntukan besar kepada sektor pendidikan dengan jumlah peruntukan RM60 bilion, namun hala tuju bidang itu masih samar.

Beliau bimbang ketika usaha kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan, dalam masa yang sama suasana di sekolah sekarang tidak lagi selamat.

Menurutnya isu keselamatan di sekolah masih tidak selesai biarpun pelbagai perkara dilakukan kerajaan termasuk memberi peranti pintar kepada pelajar.

Beliau turut meluahkan kebimbangan projek yang dilaksanakan kerajaan hanya lebih menguntungkan kroni.

“PN akan bangkit menentang segala kezaliman di sekolah dan di mana-mana sahaja. PN juga mahu sektor kesihatan diberi keutamaan lebih daripada sektor lain.

“Usaha perlu dilakukan bagi menaik taraf klinik kerajaan selaras dengan prinsip maqasid syariah. Hospital dan klinik awam sesak sehingga pesakit terpaksa menunggu lama,” ujarnya.

Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu memberitahu PN sedia menawarkan masa depan lebih realistik dengan menyemarakkan semula ekonomi negara.

PN menawarkan pembaharuan ekonomi dengan menyediakan landasan moral dan bergerak merentasi agama, politik, bangsa serta menolak politik dendam.

Apa yang penting Malaysia dipandu ke arah negara maju berpendapatan tinggi.

“Konsensus nasional kita tawarkan lebih baik kepada rakyat Malaysia dan mengulangi pencapaian sebagai Asian Tiger dalam bidang ekonomi. Kita akan tawarkan ekonomi lebih adil kepada rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *