
SALMAH MAT HUSAIN
DASAR pemilikan tanah di Kelantan yang ketat menjadi benteng utama mempertahankan hak penduduk tempatan supaya tidak terlepas kepada pihak lain dengan mudah.
Langkah itu dirintis Menteri Besar Kelantan yang pertama, Dato’ Nik Mahmood Nik Ismail, mengubal dasar tanah supaya tidak boleh ditukar milik sesuka hati kepada orang luar.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor menegaskan dengan adanya peraturan tersebut pihak luar tidak boleh memiliki tanah secara mudah seperti di tempat lain.
“Dasar itu kekal sehingga kini dan terbukti berkesan dalam memastikan tanah-tanah di Kelantan terus dimiliki penduduk tempatan,” katanya pada program Bual Bicara Sejarah Tokoh Tokoh Kenali dan Sumbangannya di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad 1V Kota Bharu semalam.
Program berkenaan diadakan sempena Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan dan 35 tahun Membangun Bersama Islam (MBI) 2025.
Turut hadir Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi; Pengarah Yayasan Amanah Tok Kenali, Ustaz Zulqarnain Hassan dan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Dr Mohd Alwee Yusof.
Di bawah Enakmen Tanah Kelantan 1938, syarat utama pemilikan hartanah pembeli mesti merupakan anak Kelantan atau ‘native of Kelantan’.

Bagaimanapun bagi bukan anak Kelantan yang mahu membeli hartanah di negeri itu tertakluk kepada beberapa syarat dan mesti memperolehi kebenaran atau kelulusan daripada Exco atau Pihak Berkuasa Negeri Kelantan.
Dr Riduan menjelaskan sekiranya kerajaan Kelantan membenarkan sesiapa sahaja membeli tanah termasuk bukan bumiputera, sudah tentu kepentingan orang Melayu akan terhakis sedikit demi sedikit.
“Bukan itu sahaja, harga tanah akan melambung tinggi dan menyebabkan penduduk kampung tidak mampu memiliki kediaman sendiri,” ujarnya.

Kata beliau dasar pemilikan tanah yang ketat menjadi sebab utama rakyat Kelantan dapat hidup selesa di atas tanah milik sendiri.
“Bagi mereka yang belum mempunyai tanah, peluang tetap ada untuk membeli kerana harga masih terkawal dan berpaksikan kemampuan rakyat tempatan,” jelasnya.
Bagaimanapun kata beliau mana-mana pihak luar yang ingin memiliki tanah atau kediaman di Kelantan perlu melalui proses kelulusan Exco terlebih dahulu.
“Proses itu menunjukkan kerajaan Kelantan amat menjaga hak dan kepentingan rakyatnya agar tidak tergadai kepada pihak luar,” tegas beliau.