Tok Lebai Kemudi Negeri

Oleh ASLANI M

Foto SALMAH MAT HUSAIN

SAMBUTAN ulangtahun 70 tahun PAS Kelantan dan 35 tahun dasar Membangun Bersama Islam (MBI) berada di kemuncak hari ini dengan pelancaran buku yang merakam semula sejarah jatuh bangun parti itu di bumi Serambi Mekah.

Buku ‘Tok Lebai Kemudi Negeri’ memuatkan 16 bab yang bermula dengan kebangkitan orang Melayu ketika perjuangan awal menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Turut diketengahkan selepas empat tahun PAS diwujudkan di Seberang Perai Pulau Pinang, PAS mulai bertapak secara rasmi di Kelantan pada 1955. Sebelum itu cawangan pertama PAS bertapak di Pasir Mas pada 1953.

PAS mudah berkembang di Kelantan ada kaitan dengan kewujudan institusi pondok tradisional yang banyak terdapat di negeri terbabit.

Ulama merupakan golongan awal yang menyokong dan menyebarluaskan pengaruh PAS selepas bertapak kukuh di Kelantan.

Bermula dari situ selepas empat tahun diwujudkan, PAS berjaya mengembangkan pengaruh ke seluruh Kelantan. Kejayaan awal apabila berjaya menumbangkan kerajaan Perikatan pada pilihan raya umum pertama selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, iaitu pada 1959.

Buku ‘Tok Lebai Kemudi Negeri’ ditulis bekas pengarang Harakah yang juga pernah berkhidmat sebagai wartawan di Harian Watan, Siasah dan Bernama, Mazlan M Jusoh.

Penulis juga tidak ketinggalan merakam semula sejarah ketika berlaku perpecahan dalaman PAS pada 1977, sehingga mengundang pengisytiharan darurat di Kelantan.

Selepas perintah darurat ditamatkan kemudian diadakan pilihan raya negeri pada Mac 1978. Pada pilihan raya tersebut PAS gagal mempertahankan kerajaan negeri ekoran perpecahan dalaman sehingga melahirkan Berjasa.

Namun kekalahan yang memeritkan tersebut tidak mematahkan semangat perjuangan PAS, di mana parti itu terus menyusun agenda tarbiah yang digerakkan ke seluruh jajahan.

Dan akhirnya pada PRU 21 Oktober 1990 PAS dengan gandingan Semangat 46, Berjasa dan Hamim berjaya merampas semula kerajaan negeri dan ia kekal sehingga sekarang.

Pelancaran buku itu disempurnakan Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob. Turut hadir Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Ketua Dewan Ulamak Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Ketua Dewan Muslimat Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, Ketua Dewan Pemuda Ustaz Mohd Firdaus Nawi, Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Lim Guan Seng dan ahli jawatankuasa PAS Pusat Tan Sri Annuar Musa.

Hadir sama Pengerusi Bersatu Kelantan Dato’ Kamarudin Md Noor, wakil-wakil parti kompenan Perikatan Nasional, wakil-wakil rakyat, pimpinan peringkat kawasan serta ribuan penduduk tempatan.

Sebelum itu mereka mengikuti kuliah perdana disampaikan pendakwah tersohor Ustaz Azhar Idrus.

Ustaz Ahmad ketika berucap sebelum itu berkata, perjalanan tujuh dekad usia PAS Kelantan bukan sesuatu yang mudah kerana berlaku jatuh dan bangun dalam arus perjuangan.

Kata beliau jatuh dalam perjuangan terutamanya pada pilihan raya negeri pada Mac 1978 tidak pernah mematah semangat pemimpin PAS bagi menyusun semula agenda perjuangan.

Menurutunya dalam liku-liku perjuangan dalam menyusuri usia 70 tahun PAS Kelantan pernah berada di posisi kerajaan dan pembangkang di peringkat negeri dan pusat.

“PAS tetap menjadi pilihan rakyat Kelantan kerana rakyat membuat pilihan berasaskan akar iman memandangkan PAS meletakkan perjuangan agama di atas.

“Ia juga hasil kerja keras siang dan malam pemimpin dahulu sehingga PAS bertapak kukuh di Kelantan sehingga sekarang,” ujarnya.

Menteri Besar pula menjelaskan PAS tetap menjadi pilihan rakyat biarpun ada pemimpin parti keluar daripada parti.

Malah dari rusuk PAS lahir Berjasa, Hamim, AKIM dan Parti Amanah Rakyat.

“Biarpun begitu PAS tetap utuh kerana pemimpin yang ada kekal istiqamah dan sekarang mempunyai bilangan ahli parlimen teramai di Malaysia.

“Kita wajib bersatu atas nama Islam. Adalah menjadi hasrat kita untuk menguasai Malaysia pada PRU ke-16, namun dengan syarat tidak berlaku perpecahan dalaman,” ujarnya.    

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *