
UMNO dianggap menolak kerjasama parti-parti Melayu bagi mengembalikan semula kekuatan politik kaum majoriti di negara ini apabila memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Sedangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) PH didominasi DAP kerana menguasai 40 kerusi parlimen, manakala PKR pula (30) dan Amanah (8).
PH memenangi 82 kerusi dengan memperolehi undi popular terbanyak iaitu 5,823,931 undi (37.97 peratus) daripada jumlah keseluruhan 15,442,007 undi.

Perikatan Nasional (PN) pula mengumpul 4,667,429 undi (30.24 peratus), Barisan Nasional (BN) 3,433,369 undi (22.42 peratus), Gabungan Parti Sarawak (GPS) 644,202 (4.2 peratus) dan selebihnya parti lain.
Situasi lebih ketara dapat dilihat di Perak, di mana BN hanya menang 9 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRU-15, berbanding PN (26) dan PH (24).

Tolak kerjasama
Malangnya BN menolak untuk mengembalikan kekuatan parti Melayu dengan memilih PH kerana ditawarkan menteri besar kepada Umno.
Sebaliknya kalau BN bekerjasama dengan PN, parti yang menguasai kerajaan lebih kuat dengan didominasi orang Melayu.
Begitu juga di Pahang BN yang menang 16 kerusi memilih bekerjasama dengan PH yang menguasai 8 kerusi. Jumlah kerusi BN-PH 24.
Bagaimanapun sekiranya BN bekerjasama dengan PN yang menguasai 17 Dun, kekuatan parti kerajaan akan bertambah kepada 33 kerusi, yakni lebih majoriti dua pertiga.
Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan pemimpin Umno menolak untuk mengembalikan kuasa politik Melayu kerana memilih bekerjasama dengan PH.

“Parti Melayu perlu bersatu bagi membentuk semula kekuatan kuasa politik penduduk majoriti di negara ini.
“Situasi itu tidak boleh dibiarkan kerana semua orang tahu PH dikuasai DAP yang lebih kuat berbanding dengan parti lain,” katanya pada ceramah perdana di Dataran Warisan Sultan Muhammad IV malam tadi.
Hadir sama Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah, Naib Presiden Bersatu Dato’ Dr Mohd Radzi Jidin, Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, Setiausaha PAS negeri Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan Pengerusi Bersatu Kelantan Dato’ Kamarudin Md Noor.
Program tersebut merupakan acara kemuncak sempena sambutan ulangtahun ke-70 PAS Kelantan dan 35 dasar Membangun Bersama Islam.
Program terbabit bermula solat Maghrib, diikuti kuliah Maghrib disampaikan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan Ustaz Syed Ahmad Ridwan Sayed Mohd Zain. Dan selepas solat Isya’ diadakan solat hajat diimamkan Ustaz Abdul Rahman Omar dari Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas.
Tidak serik
Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan PAS tidak pernah serik bagi memujuk Umno bagi mengembalikan semula kuasa politik orang Melayu di negara ini.
“Tidak boleh biarkan PH mendominasi politik di negara ini kerana pakatan itu dikuasai DAP.
“Kuasa politik begitu penting bagi membolehkan kita menyelamatkan Islam di negara ini bagi mengelak berulang apa yang pernah berlaku di Sepanyol suatu masa dahulu.
“Sepanyol diperintah kerajaan Islam selama 800 tahun, namun akhirnya kuasa politik orang Islam hilang kerana pemimpin tidak memperkukuhkan kesatuan poltik,” katanya.
Begitu juga kejatuhan empayar Uthmaniyyah kerana pemerintah Islam ketika itu mengabaikan kuasa politik Islam.
Khilafah Uthmaniyyah akhirnya berpecah kepada negara-negara kecil di mana seluruh wilayah Arab, Mesir, Syria, Palestin dan kawasan timur Jordan dikuasai tentera Bersekutu.
Kekuasaan Uthmaniyyah hanya tinggal negara Turkiye, malangnya ia juga diresapi pengaruh pihak Bersekutu (Barat).

Cabaran Islam
Di Malaysia cabaran Islam sebagai agama Persekutuan semakin menjadi-jadi di era Madani sehingga arak dihidang pada majlis makan malam sempena Global Travel Meet (GTM) anjuran Tourism Malaysia baru-baru ini.
Lebih malang lagi program terbabit turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Ekoran itu pelbagai pihak mengecam tindakan menteri berkenaan, namun beliau dilapor dibela Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng.
Lebih jelas lagi apabila Penasihat DAP Lim Guan Eng menyifatkan larangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penyediaan arak di sekolah sebagai menjolok ‘sarang tebuan’.

Malah, pada 23 Jun 2023 Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilapor meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menarik balik kompaun yang dikeluarkan terhadap seorang peniaga wanita bukan Islam yang memakai seluar pendek.
Sedangkan MPKB-BRI menjelaskan kompaun dikeluarkan terhadap peniaga wanita tersebut mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.
Mengambil kira perkembangan yang berlaku itu bagi Presiden PAS amat penting parti-parti Melayu bersatu bagi membina semula kekuatan, memandangkan banyak cabaran terhadap Islam berlaku di era sekarang.