Gelanggang Rakyat

Perlu menang 37 kerusi bentuk kerajaan Sabah

SALMAH MAT HUSAIN

MANA-mana gabungan parti yang berhasrat untuk membentuk kerajaan di Sabah perlu menang sekurang-kurangnya 37 kerusi bagi memperolehi majoriti mudah.

Mengambil kira jumlah itu Perikatan Nasional (PN) dijangka bertanding lebih daripada jumlah majoriti mudah tersebut.

Sehubungan itu Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu PN akan mengumumkan senarai calon yang bakal bertanding  Pilihan Raya Negeri Sabah pada 11 November ini.

Kata beliau pengumuman itu melibatkan semua calon parti komponen PN termasuk PAS, Bersatu dan mana-mana parti gabungan lain.

“PN tidak berdepan sebarang masalah dalam soal pembahagian kerusi antara PAS dan Bersatu kerana perkara itu telah selesai dengan baik,” katanya di Kota Bharu semalam.

Baru-baru ini Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membayangkan PN bertanding sehingga 40 kerusi berbanding 36 kerusi yang diumumkan sebelum ini.

Menurutnya tiga parti komponen PN iaitu PAS, Bersatu dan Gerakan kini dalam proses memuktamadkan kerusi dan senarai calon masing-masing.

“Kita masih lagi dalam proses memuktamadkan kerusi sebelum pengisytiharan calon dan pelancaran jentera seluruh Sabah yang akan dibuat pada 11 November,” katanya di Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 29 November tarikh hari mengundi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Manakala penamaan calon ditetapkan 15 November dan pengundian awal pada 25 November. Tempoh berkempen 14 hari. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 dibubar pada 6 Oktober lalu.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata, pengumuman calon PN dibuat empat hari sebelum hari penamaan calon bagi memberi ruang kepada jentera parti bersiap sedia.

Ditanya isu pemecatan ahli Bersatu baru-baru ini, beliau menyifatkannya ia sebagai urusan dalaman parti tersebut.

“Apapun keadaan mana-mana organisasi yang menghadapi krisis dalaman sedikit sebanyak akan menjejaskan kestabilan organisasi atau parti politik.

“Sebab itu kita menyeru rakan-rakan dalam PN supaya segera berusaha menstabilkan keadaan kerana dalam PN bukan hanya ada Bersatu, tetapi turut dianggotai parti lain,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *