Khabar SG4

UPEN pantau pelaksanaan projek di bawah RMK12

Oleh A Rahman Harun

KERAJAAN Kelantan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sentiasa memantau pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Kelantan.

UPEN dari semasa ke semasa akan memastikan agensi pelaksana mengemaskini laporan dan perkembangan projek melalui portfolio berkaitan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menjelaskan mesyuarat khas turut diadakan mengikut keperluan termasuk meneliti projek yang dilihat tidak mengikut jadual ditetapkan.

Selain itu menyentuh isu berbangkit yang memerlukan tindakan segera.

“Kita adakan mesyuarat khas kalau ada masalah bagi meneliti setiap projek kalau kita lihat berjalan tidak mengikut jadual yang perlukan tindakan segera.

“Setakat ini alhamdulillah hubungan kita dengan kerajaan persekutuan baik, begitu juga agensi negeri dengan agensi persekutuan,” katanya menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PN-Chetok) pada sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Bharu hari ini.

Sebelum itu Zuraidin bertanya mengenai pendekatan bersama Jabatan Pembangunan Persekutuan (Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri komited memperkukuhkan kerjasama dengan kerajaan persekutuan selari semangat federalisme.

Kata beliau langkah tersebut bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan di Kelantan berjalan lancar bagi manfaat rakyat.

Menurutnya penyelarasan dan pemantauan rapi dibuat terhadap projek yang diluluskan di bawah RMK12 direalisasikan melalui empat mesyuarat bersama agensi.

Antaranya mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri dipengerusikan Menteri Besar, Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri pula dipengerusi  Setiausaha Kerajaan Negeri.

Selain itu Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah dipengerusi Ketua Jajahan dan Penyelarasan serta Pelaksanaan Pemantauan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi ECERDC.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *