Gelanggang Rakyat

Bot nelayan C2 tersadai tanpa subsidi diesel

Oleh A Rahman Harun

PEMILIK kapal Zon C2 yang menangkap ikan di laut dalam melebihi 15 batu nautika di Selat Melaka dan 30 batu nautika di laut China Selatan terpaksa menanggung kerugian besar kerana tiada subsidi diesel.

Sedangkan kapal nelayan yang beroperasi di zon A dan zon B menikmati diesel yang diberi kerajaan.

Perkara itu didedahkan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) ketika perbahasan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya ketiadaan subsidi diesel menyebabkan nelayan Zon C2 terpaksa menanggung kos sehingga berpuluh-puluh ribu, sedangkan mereka terpaksa jual ikan dengan harga murah.

Kapal Zon C tidak mendapat subsidi diesel sedangkan mereka membekalkan ikan bagi keperluan negara.

“Saya harap kerajaan selesaikan isu tersebut kerana bot mereka sekarang begitu banyak tersadai di jeti kerana tidak dapat keluar menangkap ikan di laut dalam kerana kos begitu besar.

“Kalau satu atau dua buah kapal tersadai saya tak ambil kira sangat, ini hampir semua C2 terpaksa parking di jeti sekarang,” katanya.

Pengusaha bot Zon C2 tidak mendapat harga diesel bersubsidi kerana dikategorikan sebagai bot nelayan komersial.

Ini bermakna pengusaha bot C2 perlu membeli diesel pada harga industri.

Sebelum ini Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberitahu sejak 2019, kerajaan mengehadkan kuota diesel bersubsidi bagi sektor nelayan 70 juta liter sebulan berbanding 80 juta liter sebulan pada tahun sebelumnya.

Kata beliau kuota itu bagi membolehkan nelayan pesisir pantai, nelayan Zon A, B dan C mendapat manfaat bekalan diesel bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter untuk menampung sebahagian kos operasi.

“Bagaimanapun, nelayan laut dalam Zon C2 tidak layak mendapat diesel bersubsidi memandangkan mereka dikategori sebagai nelayan komersial,” katanya ketika penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2026, di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Saliran

Dr Nik Muhammad Zawawi turut membangkitkan mengenai peruntukan kerajaan dalam Belanjawan 2026 sebanyak RM24 juta membabitkan pembangunan sistem pengairan dan saliran pertanian.

Kata beliau jumlah peruntukan itu menyukarkan projek baru dilaksanakan kerajaan khususnya membabitkan kemudahan tersebut di Kelantan yang sering menghantui golongan petani dan pesawah.

“Kekurangan dana untuk projek penyelenggaraan dan penaiktarafan menyebabkan masalah saliran menjadi penghalang bagi meningkatkan jumlah hasil.

“Isu yang paling besar kami di Kelantan iaitu berkaitan saliran, di sudut tenaga kerja tiada masalah kerana mereka ada kesungguhan, tetapi  prasarana disediakan tidak mencukupi sehingga tanaman padi terjejas,” katanya.

Beliau juga mendakwa projek penyelenggaraan saliran sedia ada tidak dijaga dengan baik sehingga menjejaskan pengeluaran hasil pertanian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *