PAS-PN rintis Tabung Kebajikan bantu rakyat sabah

PADA pilihan raya negeri (PRN) lepas PAS memberi laluan kepada parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) dalam misi menumbangkan kerajaan diterajui Warisan yang bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).
Pengorbanan PAS itu membuah hasil apabila PN menguasai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Barisan Nasional (BN) pula menang 14 kerusi. Manakala Warisan bertapak di 29 kerusi.
PN bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri melalui majoriti mudah.
Dan pada PRN kali ini PN menampilkan 42 calon, di mana enam daripadanya mewakili PAS, selebihnya calon daripada Bersatu dan Gerakan. Kesemua calon bertanding menggunakan logo PN.
PAS menampilkan calon di Dun Karambunai, Dun Petagas, Kunak, Balung, Tanjung Batu dan Merotai.
Rakyat Sabah juga bertuah apabila enam calon muda dan profesional yang ditampilkan PAS sebagai mewakili PN bersedia mewujudkan Tabung Kebajikan Dun dan membentuk sukarelawan rakyat.
Tabung Kebajikan Dun akan disuntik modal hasil sumbangan tetap sebanyak 20 peratus daripada elaun wakil rakyat sekiranya dipilih majoriti pengundi pada 29 November ini.
Selain itu sekiranya mendapat mandat rakyat, dalam tempoh 60 hari akan diwujudkan segera Pusat Khidmat Masyarakat.
Tawaran tersebut dikemukakan kepada pengundi di setiap Dun yang diwakili calon PAS sebagai mewakili PN.

Di Dun Karambunai Datuk Dr Aliakbar Gulasan menampilkan tema ‘Kasi Bagus Karambunai’ dengan tawaran menyediakan Tabung Kebajikan Rakyat Dun Karambunai.
Selain itu menjadikan Karambunai sebagai hab pendidikan, menyediakan program latihan dan kemahiran rakyat serta mempamerkan laporan 100 hari Adun.
Dr Aliakbar juga akan menyediakan laporan prestasi dwitahunan, menganjurkan sesi dialog rakyat setiap enam bulan sekali.
Aduan rakyat
Turut diutamakan menyediakan Pusat Khidmat Bergerak, Suara Aduan Rakyat Digital, Pusat Kecemerlangan Akademik dan program keselamatan komuniti.
Beliau juga akan memperjuangkan pembangunan infrastruktur termasuk jalan, lampu, air bersih, internet, menambah baik kemudahan dan perkhidmatan jeti nelayan.
Bagi memaju ekonomi setempat akan diwujudkan Pasar Komuniti Utama untuk usahawan tempatan, program perkasa bisnes hiliran, Usahanita Booster dengan menyediakan latihan jenama, digital marketing, persijilan dan rangkaian pembeli.

Tawaran bagi belia dan anak muda meliputi program pembangunan belia, NGO komuniti anak muda, liga sukan dwitahunan termasuk bolasepak, E-sport, bola jaring, mentor akademik dan kerjaya.
Turut diberi tumpuan program sokongan ibu tunggal, ibu tinggal dan wanita kerja, bengkel kemahiran wanita meliputi kraftangan, digital mikro dan pemerkasaan ekonomi.
Dr Aliakbar juga akan mewujudkan Skuad ALERT untuk keselamatan dan kecemasan, menyediakan program kemahiran kewangan dan kesejahteraan keluarga.
Turut diberi tumpuan program kelestarian dan industri eco-tourism Karambunai, promosi Karambunai Tourism Wonders dan pemeriksaan kesihatan secara bergerak serta program budaya rentas kaum.
Karambunai mempunyai 39,247 pemilih dan pada PRN lepas dimenangi Datuk Yakub Khan mewakili BN dengan majoriti 16 undi.

Dan pada kali ini Yakub Khan berdepan dengan 10 lagi calon termasuk Dr Aliakhbar (PN-PAS).
Selain itu Mohd Yunus Ibrahim (PBK), Matkri Kassim (PKS), Azman Fathil(GAS), Datuk Arshad Idris(GRS-Gagasan Rakyat), Hates Abdul(SPP), Datuk Stephen Teo (STARSABAH), Ahmad Jais Otong (Warisan), Saikam Salinggou (Perpaduan) dan Adis Jalie (PIS).
Di Dun Petagas PN menampilkan Dr Afifi Saif mewakili PAS. Beliau mengemukakan tawaran program tuisyen rakyat percuma dan kelas literasi awal di setiap kampung.

Anak muda ditawar baucar Kursus Kemahiran (TVET, digital, bahasa asing), manakala dewasa dan warga emas berpeluang mengikuti program pembelajaran komuniti seperti kelas Al-Quran, kelas komputer asas dan keusahawanan.
Calon PAS juga merancang menubuh ‘Petagas Local Market Hub’ untuk usahawan kecil, penjaja, pek pekebun dan nelayan. Dana bantuan pemula RM1,000 untuk usahawan muda dan ibu tunggal.
Selain itu menyediakan internet percuma di 20 lokasi tumpuan seperti dewan, sekolah dan taman. ‘Smart Petagas App’ pula sebagai medan aduan rakyat, pemantauan projek dan info bantuan secara telus.
Klinik bergerak

Turut ditawarkan klinik bergerak bulanan bagi pemeriksaan asas percuma, subsidi cermin mata dan pemeriksaan gigi untuk kanak-kanak sekolah. Turut dirancang kad kesihatan warga emas Petagas.
Dr Afifi juga merancang menaik taraf padang, gelanggang futsal, dewan badminton dan trek joging di setia setiap mukim. Program ‘Petagas Fit’ pula meliputi senam pagi, aerobik mingguan, liga sukan komuniti untuk remaja dan dewasa.
Tidak ketinggalan dirancang Festival Kebudayaan Petagas, mempamerkan seni budaya Bajau, Kadazan, Brunei, Bisaya dan Bugis. Selain itu menganjurkan bengkel muzik tradisional dan kraftangan untuk kanak-kanak serta remaja.
“Skim bantuan makanan bulanan keluarga miskin tegar, bantuan kerusi roda dan katil hospital untuk warga emas dan OKU. Dirancang juga pusat komuniti remaja dengan kaunseling dan aktiviti bebas jenayah,” ujar Dr Afifi.

bersambung..
