Cacat tidak halang Sairi cari rezeki

DEMI sesuap nasi. Biarpun fizikalnya tidak seperti insan lain, namun Mohamad Sairi, 50-an terpaksa bekerja bagi mencari rezeki untuk keluarganya. Sairi bekerja di Restoran Khun Sarai Tha Kham Chumphon, Surat Thani, Thailand.
Beliau bergerak dari meja ke meja dengan menghantar ulam-ulaman kepada pelanggan yang singgah menjamu selera. Ulam yang disediakan penuh pinggan.
“Saya bekerja untuk menyarai persekolahan anak dan menyediakan keperluan keluarga,” katanya ketika ditemui. Sairi antara penduduk Muslim yang tinggal di Surat Thani.
Restoran ala food court itu turut menyediakan makanan halal bagi pelancong Muslim. Chumphon, Surat Thani dianggap sebagai permata kulinari kerana terkenal dengan masakan Thai asli.

Restoran Khun Sarai Tha Kham menawarkan pelbagai menu halal dan hidangan istimewa seperti sup daging lembu dan roti canai. Pelanggan juga berpeluang menikmati teh Thai.
Di lokasi terbabit juga terdapat surau yang agak selesa. Menurut penduduk tempatan, lokasi itu menjadi tempat persinggahan utama pelancong Muslim dan penduduk Thailand beragama Islam.

Malah, ketika rombongan Arkib PAS Kelantan yang diketuai Mohd Yassin Yusof singgah di restoran tersebut baru-baru ini ditemui konvoi anak muda dari Malaysia yang menunggang motosikal. Mereka dalam perjalanan ke utara Bangkok.
Surat Thani terletak kira-kira 653 kilometer dari Bangkok, manakala jarak dari Sungai Golok Narathiwat sejauh 586 kilometer. Surat Thani menjadi tempat persinggahan popular bagi pelancong Malaysia yang menggunakan jalan darat ke Bangkok.

