Isu kuil: Antara undang-undang dan langkah politik

Oleh Aslani M & Salmah Mat Husain |
DI bandar Kota Bharu, Kelantan pada awal tahun 1990 di Jalan Zainal Abidin terdapat pokok besar yang dijadikan kuil Hindu. Kuil itu agak kecil diletak di pangkal sebatang pokok.
Kewujudan kuil tersebut menimbulkan runggutan pelbagai pihak, lebih-lebih lagi membantut usaha kerajaan menarik lebih ramai pelancong. Bagaimanapun kerajaan Kelantan mengambil langkah dengan mencadangkan kuil tersebut dipindah ke tapak baharu di Jalan Hamzah. Dan akhirnya muncul Kuil Arulmigu Siva Subramaniyar di PT 121 (596) Seksyen 19 Jalan Hamzah.
Masalah yang lama berlarutan akhirnya selesai. Penganut Hindu memiliki bangunan yang lebih besar terletak berselahan dengan tanah perkuburan Kristian.

Itu kaedah kerajaan Kelantan menangani isu rumah ibadat bukan Islam. Ia berbeza dengan kondisi di negeri lain. Lagipun penganut agama Hindu di Kelantan tidak ramai.
Kaum India di Kelantan agak ramai tinggal di Ladang Kerella, Tanah Merah; ladang di Kuala Krai dan Gua Musang. Di Kuala Krai dan Gua Musang ada masyarakat India sebelum ini bekerja dengan Kereta Api Tanah Melayu (KTMB).
Malah penduduk India yang bersara daripada bekerja di ladang diberi lot rumah oleh kerajaan negeri di Kampung Keroh, Kuala Krai dan Tanah Putih, Gua Musang.
Pada tahun 2018 kerajaan negeri juga mengambil balik tanah ladang Kerella seluas 15.83 hektar dan diagih sebagai lot rumah di Kampung Panjang Dun Gual Ipoh, Tanah Merah. Penduduk India yang bersara daripada ladang turut disenarai mendapat lot di penempatan tersebut.

Kerajaan Kelantan membela nasib penduduk India, biarpun mereka merupakan golongan minoriti. Penduduk kaum India juga menerima pelbagai bantuan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk Skim Kifaalah Warga Emas, beras al Itaam dan pelbagai lagi.
Bagaimanapun situasi berbeza berlaku di negeri lain. Di Kulim, Kedah banyak ditemui kuil Hindu di kawasan ladang. Jalan Kulim-Felda Gunung Bongsu boleh ditemui kuil Hindu di kiri kanan jalan.
Tanpa kebenaran
Kebelakangan ini muncul isu pembinaan kuil tanpa kebenaran dengan menceroboh tanah kerajaan dan milik individu. Dan baru-baru ini Sultan Selangor memberi peringatan tegas mengenai pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di negeri terbabit.
Ekoran itu baginda menitahkan setiap pembinaan mesti mendapat kelulusan kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti yang ditetapkan undang-undang.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dilapor berkata, jumlah kuil Hindu yang dibina tanpa kebenaran di Selangor terlalu banyak, malah lebih tinggi berbanding populasi masyarakat India beragama Hindu di negeri itu.
Kerajaan Selangor dikatakan memaklumkan statistik pembinaan kuil Hindu yang tidak sah sehingga 31 Januari 2026 bukan sedikit.
Kenyataan Selangor Royal Office menjelaskan sebanyak 687 kuil Hindu dibina tanpa kebenaran di Selangor. Di mana daripada jumlah itu, 388 kuil dibina atas tanah milik kerajaan dan 299 kuil didirikan atas tanah milik persendirian.
Antaranya Kuil Utchimalai Muneswaran dilapor media dibina secara tidak sah di atas tanah milik Yayasan Kubra di Rawang. Ahli Parlimen Selayang, William Leong bagaimanapun dilapor memberitahu, persetujuan dicapai kuil terbabit akan dipindah ke lokasi lain.
“Kami dimaklumkan pihak kuil sedang membuat persiapan untuk berpindah dan telah meminta dua minggu untuk menjalankan proses tersebut,” katanya pada kenyataan di laman Facebooknya baru-baru ini.
Kes lain, seorang pengerusi sebuah kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, atas kesalahan menceroboh tanah milik orang lain di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada 19 Jun 2025.
Mengikut pertuduhan, Paramaguru didapati melakukan kesalahan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenarannya.

Sebelum ini, media melaporkan pemilik tanah persendirian di Taman Topaz memberi tempoh seminggu kepada pihak pengurusan sebuah kuil untuk mengosongkan tanah yang diduduki secara haram.
Tanah terbabit milik Datuk Suhaili Ahmad. Beliau dikatakan mengeluarkan notis supaya semua patung dan harta milik kuil dipindahkan dalam tempoh ditetapkan sebelum tindakan lanjut diambil. Berdasar laporan media, Suhaili membeli lot terbabit pada 2001 dan ditambak bagi tujuan pemasangan papan iklan di tepi lebuh raya.
Kata beliau ketika kerja-kerja pemasangan papan iklan dijalankan, kuil yang sebelum itu berada di kawasan tanahnya telah berpindah ke lokasi lain. Bagaimanapun beliau dilapor terkejut apabila baru-baru ini mendapati sebuah kuil yang lebih besar dibina semula di atas tanah berkenaan.

Mengulas isu tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, apa yang berlaku sebelum ini ia seperti cuba digambarkan sebagai penindasan terhadap kaum tertentu.
Sedangkan ia disembunyi daripada perkara sebenar iaitu perlanggaran undang-undang dan pemilikan tanah oleh pihak tertentu.
Beliau menjelaskan terdapat pihak tertentu yang didakwa merancang pendudukan tanah tanpa hak milik sah, mengutip dana atas nama pembinaan atau mempertahankan rumah ibadat, serta membina naratif kononnya agama dan kaum tertentu sedang ditindas.
“Isu sebenar bukan soal agama atau bangsa, tetapi soal undang-undang dan hak milik tanah diolah sehingga menggambarkan keadaan sebaliknya,” katanya pada kenyataan.
Minggu lepas media melaporkan empat lelaki ditahan kerana disyaki merobohkan kuil haram tanpa sebarang pemakluman kepada pihak berkuasa tempatan. Tangkapan dibuat ke atas empat lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 39 tahun serta rampasan sebuah jengkaut.
Bagaimanapaun Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan tahanan reman dua hari yang dikeluarkan oleh Majistret Selayang terhadap suspek dan kesemua mereka dibebaskan serta-merta. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan, Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dihormati oleh semua pihak.
Kata beliau kerajaan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertindak ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.
Firdaus turut mengajak masyarakat India mempertahankan rumah ibadat secara sah dan tidak membiarkan sentimen digunakan untuk menghalalkan pelanggaran undang-undang. Katanya sudah tiba masanya rakyat pelbagai kaum melihat isu tersebut dengan lebih matang dan bersatu atas prinsip keadilan dan rasional.
Isu tersebut sebenarnya tidak rumit sekiranya semua pihak mematuhi peraturan. Namun, ia menjadi sukar apabila ada pihak mahu menegak benang basah. Pihak berkuasa pula jangan pula asyik berdalih apabila aduan dibuat pemilik tanah.
