Penduduk pinjam wang bank bina sekolah agama

Oleh Aslani M |
PENDUDUK Muslim di Wilayah Pathum Thani, Bangkok Thailand memiliki sebuah sekolah agama yang setaraf dengan sekolah kerajaan, dikendalikan Sripathum Foundation.
Sekolah terbabit bukan sahaja tempat anak-anak penduduk menimba ilmu agama dan akademik, sebaliknya lokasi itu menawarkan kursus kepada imam-imam dan khatib.
Tapak yang dibangun sekolah tersebut sebelum ini merupakan kawasan hutan, tempat gajah berkeliaran. Menurut seorang penduduk Syukur Mohamad, 65 kampung itu diberi nama berdasar pokok besar iaitu Bambong.

Dan lima tahun lepas kawasan itu dibersihkan dan dibangun bangunan sekolah bermula pada tahun 2023. Kawasan terbabit seluas tiga rai, di mana ia diwakafkan penduduk tempatan.
Pembinaan sekolah terbabit dirintis Baba Aziz yang berasal dari Yala melibatkan kos 12 juta Baht. Menurut penduduk mereka membuat pinjaman dengan bank sebagai dana permulaan pembinaan bangunan sekolah.

Ahli Jawatankuasa Sripathum Foundation School Ustaz Ishak Zainun berkata, pembinaan masjid terbabit siap pada Mei 2025 dan sekarang sudah beroperasi.
Katanya, sekolah terbabit mendapat surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Pendidikan dan Agama Thailand.
“Pembelajaran dikendalikan empat guru lepasan Universiti Al Azhar Mesir dan buat permulaan lebih 40 pelajar diambil belajar di darjah satu. Berdasar kemudahan yang ada sekarang sekolah ini mampu menampung sehingga 250 pelajar.
“Sekarang terdapat 10 kelas. Turut dilengkapi bilik guru, kantin dan perpustakaan. Manakala bangunan asrama baru dimulakan pembinaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Malah sekolah tersebut turut dilengkapi dua rumah guru yang terletak di kawasan berkenaan. Bangunan asrama pula sedang dalam pembinaan di sebelah padang.
Tidak jauh dari situ juga terdapat tanah perkuburan Islam dan Masjid Nurunyakeen yang turut dilengkapi bangunan kelas fardu ain. Ishak juga berkata, gaji guru daripada dana yang disumbang orang ramai dan pelbagai sumber lain.
Latih imam
“Sekolah ini juga menjadi pusat latihan imam-imam dan khatib dari wilayah di sekitar Bangkok. Mereka turut didedah berkaitan pengurusan masjid dan meningkatkan pengetahuan agama.
“Malah sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah agama yang terdapat di Wilayah Pathom Thani, Bangkok. Pelajar yang tinggal di kampung berdekatan juga diterima belajar di sini,” ujarnya.
Kata beliau juga pada masa akan datang, pelajar-pelajar yang tinggal di wilayah lain juga akan diterima belajar selepas pembinaan bangunan asrama siap.
Menurutnya sebelum ini seramai 56 budak Kampung Bambong belajar farhu ain di kelas yang terletak bersebelahan bangunan Masjid Nurunyakeen.

Di kampung terbabit juga terdapat sebuah wat Siam dan sebuah kerajaan.
Ustaz Ghazali Abdullah, 59 yang berkhidmat dengan Majlis Agama Islam Thailand memberitahu di kampung tersebut terdapat seramai 70 anak muda lepasan pengajian di Mesir.
“Penduduk di sini ramai menghantar anak-anak melanjut pelajaran ke Mesir dan negara Timur Tengah lain. Mereka membiayai sendiri pengajian anak.
“Sebab itulah ramai anak muda di kampung ini lepasan pengajian luar negara dalam bidang agama,” katanya yang juga pernah belajar selama tujuh tahun di Makkah.

Sripathum Foundation antara Yayasan yang aktif dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kemasyarakatan di Bangkok. Yayasan itu dipengerusikan Ustaz Husin Shafei.
Wilayah Pathum Thani sentiasa mendapat perhatian kerajaan. Malah pada akhir tahun lepas Presiden Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Pathum Thani Leftenan Jeneral Kamronwit Thupkrahang turun padang menemui penduduk Muslim.
Beliau menyokong pelbagai aktiviti yang diadakan di masjid di Wilayah Pathum Thani termasuk pengambilan guru pengajian Islam bagi mengajar fardu ain anak-anak penduduk.
Hadir sama pada kunjungan itu Penasihat Presiden Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Pathum Thani, Adul Mahamad; Penasihat Khas Presiden Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Pathum Thani Ronachai Wangpanya dan ahli-ahli Majlis Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Pathum Thani.

Pada majlis itu bantuan berjumlah 7.43 baht diagihkan kepada 23 masjid dan 129 guru, imam, ahli jawatankuasa masjid serta guru kelas fardu ain.
Program terbabit diadakan di auditorium Sekolah Sam Khok, Mukim Ban Ngiew, Daerah Sam Khok, Wilayah Pathum Thani.
