Serantau

Amerika gagal ulangi taktik 2003 di Iran

Oleh M Faqih |

PADA 14 Disember 2003, media Barat melaporkan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein ditangkap hidup-hidup daripada persembunyian di bawah tanah di Tikrit, utara Iraq.

Saddam ditangkap di rumah ladang yang terletak di Adwar melalui operasi Red Dawn. Media Barat menyebarkan foto Saddam yang kusut masai, tanpa terurus.

Kejayaan tentera penjajah itu tanpa mengendahkan jumlah kematian tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq jauh lebih besar berbanding di Vietnam pada 1964. Jumlah kematian tentera AS dalam Perang Vietnam yang bermula 11 Disember 1961 sehingga Disember 1964 berjumlah 392 orang.

Di Iraq pada tahun 2003 jumlah kematian askar AS akibat serangan bom pula berjumlah 397 orang, berdasar laporan CNN. Jumlah askar AS di negara Teluk ketika itu sekitar 130,000 orang.

Operasi Pembebasan Iraq pada masa itu dilancarkan Presiden George W Bush tanggal 20 Mac 2003. Dan kali ini AS di bawah penjenayah perang Donald Trump mengharap kejayaan menumbangkan Saddam berulang mudah di Iran pula.

Ia tidak semudah itu. Menurut penganalisis politik Asia Barat, Dr Kamaruzaman Yusoff, AS cuba menjinakkan anak Shah untuk mengembalikan rejim ayahnya seperti sebelum 1979, namun ia masih terlalu samar.

Begitu juga usaha AS dan sekutu memecahkan Iran dari dalam dengan menghasut rakyat memberontak, nampaknya tidak berbekas. Malah keadaan berlaku sebaliknya di mana rakyat Iran berpadu menentang AS dan negara haram zionis Israel.

Naratif AS, negara barat dan sekutu Arab di Asia Barat melenyapkan keupayaan Iran setakat ini tidak menjadi kenyataan. Iran bangkit dengan gagah perkasa biarpun pemimpin utama negara ini terkorban akibat serangan ganas AS.

Si Kitol

Barat cuba mengulangi kisah Raja Madeliar dan Si Kitol seperti yang terkandung dalam Sejarah Melayu. Kisah itu berkisar perbuatan fitnah dan rasuah sehingga menyebabkan Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis.

Kisah itu masyhur, apabila Si Kitol berhutang sekati emas dengan Raja Mendeliar. Namun, akibat kesukaran membayar hutang, Si Kitol menfitnah Bendahara Paduka Tuan. 

Akibat fitnah tersebut menyebabkan berlaku perpecahan dalam pimpinan kerajaan Melayu Melaka. Sebenarnya inilah yang diharap AS di Iran dengan menghasut rakyat menentang kerajaan berkisar masalah ekonomi.

AS dan Barat cuba mencipta ‘gunting dalam lipatan’ di Iran, namun plot itu tidak disambut rakyat Iran. Sebaliknya kematian Ayatullah Ali Khamenei menyebabkan rakyat Iran bersatu semula.

Hakikat itu diakui Dr Kamaruzaman yang juga bekas profesor di UTM. Kata beliau jangkaan Trump, kematian Ayatullah menyebabkan rakyat Iran bangkit menentang, adalah satu telahan yang silap.

Iran juga bukan seperti Iraq, Mesir, Arab Saudi dan banyak Negara Teluk lain yang mudah melutut kepada AS dan Barat. Begitu juga Venezuela tidak mampu berbuat apa-apa selepas presiden negara itu, Nicolas Maduro diculik tentera AS sebelum ini.

Venezuela gagal menggunakan ruang kekalutan tentera AS di Asia Barat untuk mengambil semula bekas presiden negara yang dipenjara di AS.

“AS sebelum ini berjaya menjajah Iraq, Afghanistan. Soalannya apakah penjajahan Barat ke atas Iran, jika ia berlaku akan menghancurkan sistem yang ada,” kata Dr Kamaruzaman.

Iraq hancur dalam tempoh begitu lama bermula 2003 sehingga 2022. Begitu juga Afghanistan. Apa yang berlaku di negara jiran terbabit sudah lama berada dalam radar kerajaan Iran.

AS sudah banyak menabur dosa di rantau tersebut. Biarpun negara penjenayah perang tersebut mempunyai lebih 80 pangkalan tentera di rantau Asia Barat, namun semuanya sudah berada dalam genggaman tentera Iran.

Senjata Iran mampu menjangkau ke radius sehingga 2,500 km. AS dan Barat juga lupa Iran mempunyai rangkaian pejuang yang berada di segenap pelusuk Asia Barat.    

Penganalisis Asia Barat dari Thailand, Singgora Syburi menyifatkan Trump kelihatan tidak berada dalam keadaan yang baik.

Kata beliau perang dengan Iran tidak tamat cepat seperti yang dijangka. Malah sekarang semakin berlarutan.

Maka risiko yang perlu dipikul kerugian besar ditanggung AS. Trump akan kehilangan banyak kelebihan, manakala Iran yang sudah terdesak kini bersedia bertempur habis-habisan.

Tentera Iran sudah lama sedia untuk mati syahid, sebaliknya askar AS sedang berconggak untuk lari dari medan perang.

Menurutnya Trump terperangkap dalam perang dengan Iran kerana terdapat beberapa kekangan yang mengikat dirinya sendiri. Antaranya tentera AS tidak boleh mengalami korban yang terlalu ramai kerana mendapat tentangan keras rakyat Amerika.

Undur

Lebih-lebih lagi gerakan MAGA yang melihat Trump mengkhianati ideologi ‘America First’ sehingga menyebabkan presiden itu semakin tidak popular dalam kalangan rakyat.

“Perang tidak boleh berlarutan kerana kekurangan kelengkapan dan persenjataan, sedangkan Iran masih belum menggunakan senjata berat sepenuhnya.

“Namun sekarang kerosakan besar berlaku terhadap pangkalan tentera, radar dan aset ketenteraan AS di Asia Barat,” katanya pada analisis di laman sosialnya.

AS dan barat juga silap perhitungan kerana di belakang Iran ada sokongan kuat dari Rusia dan China. Pilihan yang ada sekarang apakah Trump dan zionis terpaksa berundur di tengah jalan.

Maka bermula dari situ era Trump akan berakhir kerana bertanggungjawab mencalar tamadun Amerika di Asia Barat. Trump akan dikecam sehingga ke lubang kubur.

Kekalutan Trump jelas kelihatan sekarang apabila dilapor mengugut akan memutuskan semua hubungan perdagangan dengan Sepanyol. Dia juga kecewa dengan sikap Britain.

Lambat laun Trump akan keseorangan di medan perang. Sekutu rapat mungkin melihat pemerintah AS tidak sudah normal lagi. Lebih mengaibkan lagi AS terpaksa menggadai maruah kerana terperangkap dengan kesombongan zionis Israel.

Masyarakat bertamadun di Barat boleh mengulangi kempen seperti dilakukan rakyat Belgium. Mereka pernah memulau produk Amerika pada 2003 kerana bertindak membabi buta menyerang Iraq.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *