Terus Terang

PRU16 dijangka diada lebih awal

BIARPUN penggal ke-15 Dewan Rakyat akan berakhir hujung tahun hadapan, namun kemungkinan besar parlimen dijangka dibubar lebih awal.

Mesyuarat pertama, penggal pertama, parlimen kelima belas Dewan Rakyat diadakan pada 19 Disember 2022. Maka mengambil kira tarikh tersebut penggal ke-15 parlimen akan berakhir 18 Disember 2027.

Ketika itu parlimen akan terbubar dengan sendiri bagi memberi laluan PRU16 diadakan untuk membolehkan kerajaan sekarang mendapat mandat baharu atau kerajaan baharu mengambil alih.

Namun, berdasarkan situasi yang berlaku sekarang kemungkinan pilihan raya umum (PRU) ke-16 akan diadakan lebih awal. Dan ramai menjangka ia akan diadakan tahun ini.

Situasi itu juga dapat dilihat apabila parti komponen utama kerajaan Madani dijangka akan membuat keputusan untuk kekal dalam kerajaan sekarang atau sebaliknya pada Julai hadapan.

DAP memiliki kerusi parlimen paling banyak dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu 40 kerusi. Berdasar kekuatan tersebut DAP menjadi parti penentu hayat kerajaan Madani.

Baru-baru ini DAP mengumumkan akan mengadakan kongres khas pada 12 Julai depan sebagai platform untuk bermuhasabah dan menilai prestasi dalam kerajaan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dilapor berkata kongres itu akan memberi ruang kepada perwakilan menentukan sama ada pemegang jawatan parti perlu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan.

Beliau turut memaklumkan 40 ahli parlimen parti itu akan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.

Maka mengambil kira perkembangan tersebut kemungkinan PRU16 akan diadakan lebih awal daripada tarikh Kongres DAP iaitu sekitar Jun 2026 untuk membolehkan Anwar berada di kerusi perdana menteri bagi penggal kedua.

Malah, tempoh penggal parlimen ke-15 sudah lebih tiga tahun, melayakkan untuk dibubar lebih awal. Namun, bagi negeri yang berada di bawah Perikatan Nasional (PN) dan PH, tempoh penggal ke-15 bagi Dewan Undangan Negeri akan genap tiga tahun pada Ogos 2026.

Ini kerana PRU bagi negeri terbabit iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang diadakan pada 12 Ogos 2023.

Bagaimanapun bagi penggal parlimen negeri terbabit serupa dengan negeri-negeri lain, memandangkan PRU-15 peringkat parlimen diadakan serentak di seluruh negara.

Mengambil kira situasi tersebut Jun 2026 antara tarikh yang sesuai bagi mewajarkan PRU-16 diadakan. Telahan itu turut disuarakan Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah apabila menjangka tarikh sesuai PRU-16 diadakan iaitu Jun hadapan.

Dan sekiranya diambil kira tarikh tersebut, bermakna masa yang berbaki sekarang hanya tiga bulan lagi untuk setiap parti politik membuat persiapan menghadapi PRU16.

“Saya ingatkan pendukung PAS jangan alpa kerana segala kemungkinan boleh berlaku. Biarpun pada PRU lepas Umno dan PH hanya menang tiga kerusi Dun di Kelantan, namun keadaan boleh berubah pada PRU16.

“Buktinya dapat kita tengok pada PRU 1990, Umno dan BN gagal memenangi sebarang kerusi di peringkat Dun dan parlimen di Kelantan.

“Namun pada PRU 1995, Umno berjaya menambah jumlah kerusi. Malah pada PRU 2004, PAS hanya mempunyai kelebihan satu kerusi Dun berbanding BN sehingga menyebabkan keadaan begitu genting,” katanya pada ceramah Badar Kubra di Qaryah Ramadan Majlis Daerah Tanah Merah malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, anggota-anggota Exco Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Ustaz Mohd Asri Mat Daud, Dato’ Rohani Ibrahim dan Zamaskhari Muhammad.

Turut hadir ahli parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof; Adun Bukit Panau, Dato’ Abdul Fattah Mahmood; Adun Taman Medan, Dr Afiq Bahardin dan wakil-wakil rakyat.

Program tersebut bermula dengan solat Asar berjemaah, kemudian diikuti tadarus al Quran, iftar, solat Maghrib dan solat Tarawih yang diimamkan qari dari Mesir Syeikh Hissam.

Mohd Amar membayangkan Anwar seperti kurang menghiraukan negeri-negeri yang diterajui pembangkang, kerana tumpuan diberi untuk menduduki kerusi perdana Menteri bagi penggal kedua.

Beliau juga mengingatkan kekuatan sesebuah parti atau kerajaan akan menjadi lemah apabila berlaku perpecahan dalaman.

Kata beliau pada pilihan raya umum pertama selepas negara mencapai kemerdekaan iaitu pada 1959, PAS menguasai Kelantan dan Terengganu.

“Namun kerajaan di Terengganu runtuh selepas tiga Adun PAS belot dengan menyokong pihak lawan. Begitu juga apa yang berlaku di Perlis akhir tahun lepas, ada tiga Adun PAS terbabit membuat akuan bersumpah mahu menyingkirkan Menteri Besar Perlis.

“Cuma di Perlis lebih bernasib baik, kerajaan negeri masih kekal di tangan PN, cuma menteri besar yang bertukar,” katanya.

Pada ceramah itu Mohd Amar yang juga Speaker Dun Kelantan berulang kali mengingatkan penyokong PAS tidak ralit atau alfa dengan kekuatan yang sekarang.

Lagipun menurutnya PAS sudah lebih 30 tahun menguasai kerajaan negeri Kelantan yang boleh membuatkan pendukung parti itu menjadi alfa dan selesa dengan kedudukan sekarang.       

Sempena program tersebut turut diadakan rakaman perutusan khas disampaikan oleh ahli parlimen Marang Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *