Khabar SG4

Solat Tarawih di bawah khemah di Kelantan

Oleh M Faqih |

KELAINAN Ramadan di Kelantan mungkin tidak ditemui di tempat lain. Bermula pada Ramadan tahun 1991 apabila khemah kecil di pasang di Jalan Pendek Kota Bharu, di ruang tepi Stesen Bas SKMK.

Khemah berukuran 8’ x 6’ didirikan di lokasi terbabit. Di sebelahnya pula terdapat Dataran MPKB dan tapak pasar malam Parit Dalam.

Inisiatif tersebut hasil cetusan idea almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika mengetuai kerajaan Kelantan. Tujuannya bagi memudahkan musafir yang sedang menunggu bas ekspress menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

Rakyat Kelantan yang menunggu bas ekspress berpeluang menunaikan solat di lokasi terbabit yang terletak di tengah pusat bandar Kota Bharu.

Begitu juga keluarga yang datang membeli belah di bandar Kota Bharu pada waktu malam berpeluang menunaikan solat Isyak dan Tarawih. Suami yang menunggu isteri membeli belah di pasar raya berdekatan juga berpeluang menunaikan solat Tarawih. Kemudian lokasi solat Tarawih dipindah ke Dataran MPKB pada 1994 dengan menyediakan khemah lebih banyak.

Qaryah Ramadan

Lokasi terbabit dikenali sebagai Qaryah Ramadan dilaksanakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dengan menyediakan beberapa khemah. Turut disediakan kipas besar. Bagaimanapun apabila berlaku hujan lebat ramai makmun terkena tempias hujan.

Di sebelah Qaryah Ramadan terdapat pasar raya The Store. Manakala Pasar Malam Parit Dalam menjualkan pelbagai makanan, minuman, pakaian dan pelbagai lagi.

Malah, ada peniaga makanan menghantar hasil jualan mereka ke Qaryah Ramadan untuk dikongsi bersama jemaah yang hadir menunaikan solat Tarawih.

Pasar malam itu juga menjadi tumpuan jemaah yang hadir solat Tarawih di Qaryah Ramadan selepas selesai solat witir bagi mengalas perut sebelum pulang ke rumah. 

Bagaimanapun MPKB turut menyediakan minuman dan kurma kepada musafir yang tidak sempat pulang berbuka di rumah.

Imam solat Tarawih ketika itu seorang hafiz iaitu Ustaz Fauzi Ibrahim. Beliau merupakan imam solat Tarawih yang pertama di Qaryah Ramadan.

Jemaah yang hadir juga berpeluang mendengar tazkirah ringkas disampaikan pengkuliah jemputan termasuk Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, anggota-anggota Exco dan penceramah jemputan termasuk dari pusat pengajian pondok. 

Ketika itu pusat bandar Kota Bharu bukan sahaja hidup dengan aktiviti ekonomi di waktu malam, sebaliknya syiar Islam semakin marak.

Idea itu dicetus Tok Guru Nik Abdul bagi memastikan orang ramai dapat menunaikan solat di mana sahaja. Begitu juga di tengah pusat bandar, yang tenggelam dengan aktiviti jual beli.

Biarpun Qaryah Ramadan agak kurang selesa berbanding solat di masjid, namun ia tetap menjadi tumpuan rakyat Kelantan. Tempat solat dipasang playwood dan dihampar tikar.

Tidak pernah berlaku sebelum itu solat Tarawih di bawah khemah berupaya menarik perhatian orang ramai. Bermula dengan segala kekurangan prasarana, Qaryah Ramadan mampu bertahan beberapa tahun.

Malah, ramai penduduk bukan Islam dan pelancong bertandang ke lokasi terbabit untuk melihat dari dekat Qaryah Ramadan. Ada juga pelancong dari luar Kelantan meluahkan perasaan teruja.

Madinah Ramadan

Sejarah yang terakam indah itu hari ini dicatat dalam sebuah buku bertajuk ‘Madinah Ramadan: Evolusi Syiar Islam di Kota Bharu’. Ia dilancar Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud baru-baru ini.

Kini selepas lebih tiga dekad, program tersebut yang sinonim dengan solat Tarawih, tazkirah dan juadah berbuka menjadi simbol syiar Islam di Kota Bharu. 

Qaryah Ramadan akhirnya terpaksa dipindah ke lokasi lebih luas dan selesa pada tahun 2005 selepas mendapat sambutan menggalakkan rakyat Kelantan. 

Dataran Warisan di Stadium Sultan Muhammad IV menjadi pilihan kerajaan negeri dengan menyediakan khemah lebih besar dan dilengkapi penghawa dingin.

Lokasi baharu itu bukan lagi dikenali sebagai Qaryah Ramadan, sebaliknya dinaiktaraf kepada Madinah Ramadan dengan dikendalikan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Di samping khemah besar tempat solat, turut disediakan ruang untuk iftar beramai-ramai dengan makanan disediakan secara percuma.

Pernah juga disediakan ruang pameran oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO). Aktiviti di Madinah Ramadan bermula dari pagi sehingga awal pagi.

Antaranya Tadabur al Quran, qiamulail dan bersahur, anak muda bersama Ustaz Azhar Idrus, daurah Madinah Ramadan, sumbangan kasih kepada golongan asnaf, mimbar budaya, himpunan 1,000 Rakan Muda al Quran dan forum perdana muslimat.

Pelbagai aktiviti yang dianjurkan mendapat sambutan orang ramai. Maka tidak hairanlah MPKB-BRI pernah menerima anugerah berprestij ‘Produk Pelancongan Terbaik Asia Pasifik 2013’.

Iktiraf

Pengiktirafan itu diberikan ketika perhimpunan agung Tourism Promotion Organization For Asia Pacific Cities (TPO) dan TPO Daejeon International Travel Fair di Korea Selatan. 

MPKB-BRI menerima anugerah Produk Pelancongan Terbaik Asia Pasifik 2013 pada perhimpunan tersebut.

Qaryah Ramadan yang pernah popular di Kota Bharu tahun lepas dipindah ke Tanah Merah. Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) menyediakan khemah yang juga dilengkapi penghawa dingin sebagai tempat solat Tarawih.

Lokasi Qaryah Ramadan MDTM terletak di tengah pusat bandar Tanah Merah. Malah, padang luas yang terletak bersebelahan menjadi tumpuan penduduk tempatan berbuka puasa bersama keluarga.

Selain itu lokasi terbabit juga mencuri tumpuan ramai, apabila hampir setiap malam ada anak muda bermain mercun. Tembakan mercun ke udara yang menghasilkan aneka warna dengan dentuman kuat menarik perhatian ramai.

Qaryah Ramadan juga diadakan di Masjid Mukim Kadok sejak lebih 10 tahun lepas. Tahun ini solat Tarawih di situ diimamkan Sheikh Mohamed Abdelbary Mohamad Rageh.

Qaryah Ramadan di Kadok dikendali Majlis Daerah Ketereh – Perbandaran Islam dengan kerjasama Masjid Mukim Kadok.

Berdasar perkembangan tersebut tidak salah disebut, kelainan Ramadan ada di Kelantan. Bukan sahaja masjid dan surau lokasi tempat solat, sebaliknya di bawah khemah rakyat Kelantan beribadat sempena Ramadan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *