Cuit Oghe Kito

Rumah Bangsa sekadar jenama baharu

Oleh Aslani M & Salmah Mat Husain |

PADA Perhimpunan Agung Umno sesi 2025, Januari lepas Umno dilapor menubuh Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa. Tujuannya untuk menerima kembali bekas-bekas ahli Umno.

Mengapa digunakan istilah bangsa. Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan bangsa iaitu jenis manusia daripada satu asal keturunan. Mungkinkan ia membawa konotasi bagi menyatukan semula bangsa Melayu.

Sekiranya telahan benar begitu, sudah tentu isyarat yang dilemparkan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bertentangan dengan naluri kerajaan Madani. Kerajaan di bawah Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini diuar-uarkan sebagai kerajaan perpaduan. Ia bermakna bukan untuk satu bangsa.

Perpaduan pula membawa maksud tidak terangkum bangsa Melayu sahaja. Ternyata Zahid sedang bermain api yang boleh membakar dirinya sendiri. 

Mungkinkah kerana teori Penyatuan Rumah Bangsa menjadi antara punca DAP akan membuat perhitungan baharu pada Julai hadapan. Parti itu dilapor akan membuat Kongres Khas termasuk bagi menentukan kedudukan dalam kerajaan sekarang.

DAP ugut

Sedangkan sebelum ini teguran pemimpin DAP dalam banyak situasi menyebabkan Zahid berpatah balik. Antaranya pada Januari lepas Zahid menarik balik kenyataan yang cuba menggambarkan DAP seolah-olah memiliki dua kem.

Presiden Umno itu menjelaskan, kenyataan dibuat ketika ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno bagi memperjelaskan situasi dalam parti itu, yang mana ada sekelompok kecil dilihat tak selari dengan pucuk kepimpinan DAP.

“Jika itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu,” katanya seperti dilapor media.

Sebelum itu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan beliau menyatakan mengenai terdapat ‘team B’ dalam parti terbabit. Loke turut menyifatkan kenyataan Zahid tidak masuk akal dan pihaknya tidak pernah sekali pun mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Ramai menyifatkan Zahid benar-benar terdesak sehingga terpaksa menelan ludahnya sendiri. Permainan teori Rumah Bangsa jelas masih samar. Sedangkan sebelum ini beliau menelan mentah-mentah lafaz ‘No DAP, No Anwar’. Sikap u-turn tidak bertempat itu menyebabkan ramai pemimpin Umno tidak sehaluan dengan Zahid.

Mereka menentang dalam senyap. Akhirnya ramai disingkir. Antaranya bekas Pengerusi Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa. Katanya beliau tidak pernah meninggalkan Umno secara sukarela, sebaliknya dipecat tanpa sebab.

Kata beliau tindakan itu dilakukan tanpa notis. Lebih menyedihkan tanpa mengetahui sebarang kesalahan yang dilakukan.

“Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk meninggalkan PAS walaupun terdapat pelbagai spekulasi berhubung gagasan ‘Rumah Bangsa’.

“Tiada sebab pula untuk saya meninggalkan PAS. Saya istiqamah ingin melihat Umno memimpin penyatuan umat Melayu Islam, namun malangnya Umno memilih bekerjasama dengan PH dan DAP,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menyifatkan Rumah Bangsa sekadar jenama baharu, sebaliknya isinya tetap sama dan tuan rumahnya juga orang yang sama.

Baru-baru ini Presiden Umno menegaskan parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.

Menurutnya pelawaan di bawah inisiatif Rumah Bangsa. Persoalannya adakah Rumah Bangsa bagi memperkukuhkan kerajaan Madani, atau sebaliknya.

Sedangkan DAP merupakan tunggak kerajaan Madani. Ini bermakna Zahid seumpama memasang perangkap. Jerangkap samar dipasang dengan mengajak bekas-bekas pemimpin Umno memperkukuhkan kedudukannya.

Teori yang dicetus Zahid tidak sukar dibuat telahan. Ramai sedar tujuan sebenar Zahid. Bukan memperkukuhkan bangsa Melayu sebaliknya sebagai batu lonjatan memanjang karier politiknya sendiri. Ramai sedar hakikat itu. Antaranya bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Isham Jalil.

Rumah Bangsa UMDAP

“PRU-16 semakin hampir. Saya lihat Kerajaan PH/BN/UMDAP semakin tertekan dan senak. Mereka terdesak untuk kembalikan sokongan rakyat tetapi rakyat tolak mereka. Masa sudah suntuk untuk mereka. PRU-16 kali ini kita tukar mereka.

“Kepada orang-orang Melayu, kita sudah tidak ada kuasa politik, dan kuasa ekonomi sudah lama bukan di tangan kita. Jika kita hilang maruah, apalah lagi yang tinggal yang kita ada. Kita tidak mahu menjadi bangsat di tanah sendiri.

“Saya tidak mahu masuk Rumah Bangsa UMDAP atau Rumah Bangsa DAP dan menjadi bangsat. Orang Melayu tidak boleh jadi bangsat,” ujarnya pada catatan di laman sosialnya.  

Isham menegaskan tidak mahu masuk UMDAP. Kata beliau jangan jadi gila talak dan merentan serta meroyan.

“Kamu nak terus jadi UMDAP mantap.. suka hati kamulah, tapi jangan ajak saya atau orang lain untuk masuk Rumah BangsaDAP. Kami tak mahu,” tegas Isham.

Biarpun Zahid mencanangkan Rumah Bangsa, namun tetap menegaskan komitmen penuh Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan. Beliau yakin kerajaan Madani sebagai formula terbaik untuk kestabilan politik dan kepentingan negara. Isunya apakah Rumah Mangsa dimaksud Zahid turut melibatkan DAP dan PKR.

Bagaimanapun bagi menyedapkan hatinya Presiden Umno terbabit memberitahu antara pemimpin yang dilapor berminat untuk menyertai Rumah Bangsa ialah bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Umno Jempol, Dato’ Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Belumpun slogan Rumah Bangsa pergi lebih jauh, bekas Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar memberitahu pihaknya tidak boleh menerima kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan (PH) kerana prinsip berbeza.

“Saya minta dipecat daripada Umno. KJ dipecat dari Umno, Dato’ Seri Hisham digantung dari Umno, Dato’ Seri Ismail Sabri masih bersama Umno dan Tan Sri Vickie minta untuk keluar daripada BN, manakala Tan Sri Azhar mantan Speaker Dewan Rakyat masih bersama Bersatu,” katanya di laman sosialnya.

Sebaliknya Noh memberitahu hanya bersedia kembali kepada Umno bagi menyokong inisiatif Rumah Bangsa, sekiranya parti itu memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP.

Noh dipecat daripada Umno pada 2023. Sekali lagi beliau menegaskan jika benar Umno mahu membangunkan Rumah Bangsa, ia boleh dilaksanakan tanpa perlu menjalinkan kerjasama melalui kerajaan sekarang.

“Saya punya prinsip senang sahaja…kalau benar-benar hendak buat Rumah Bangsa, tidak payah bekerjasama dengan DAP. Saya boleh kembali kepada Umno tetapi bukan selagi parti itu bekerjasama dengan DAP…lagipun jiwa saya, memang jiwa Umno,” katanya pada temubual dengan sebuah media baru-baru ini.

Jawatankuasa Rumah Bangsa dipengerusikan Naib Presiden Umno Dato’ Seri Khalid Nordin. Khalid disebut akan memastikan setiap permohonan dibuat secara rasmi supaya tidak menimbulkan sebarang isu pada masa hadapan.

Apakah slogan Rumah Bangsa mampu memulihkan Umno menjelang PRU16 tidak lama lagi. Ramai membayangkan Rumah Bangsa dicetus Zahid menggabungkan pelbagai bangsa, mengikut acuan kerajaan Madani sekarang.

“Umno masih mahu bersama PH walaupun kajian menunjukkan pengundi Melayu mahu Umno bersama Perikatan Nasional. Umno perlu meneliti apa perubahan boleh dilakukan PH sehingga rakyat dan orang Melayu berpuas hati dengan perubahan itu,” kata Dr Mohd Radzi Abd Latif dari Gagasan Profesional Melayu Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *