Serantau

Di Thailand, pondok tol hanya di Bangkok

Oleh M Faqih |

MALAYSIA memiliki 10 lebuh raya disenaraikan pada kedudukan prestasi terbaik. Indikator tersebut berdasarkan jumlah kemalangan maut dan kecederaan parah yang dilaporkan.

Lebuh raya di negara kita dibahagikan dua kategori iaitu sistem tol tertutup dan tol terbuka. Dan lebuh raya jenis sistem tol tertutup berprestasi baik iaitu Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS); Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE)

Selain itu Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS); Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) dan Lebuh Raya Lembah Kelang Selatan (SKVE).

Pengurusan lebuh raya tersebut di bawah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Expressway Lingkaran Tengah (ELITE). Secara keseluruhan, rangkaian lebuh raya Malaysia diiktiraf antara yang terbaik di Asia.

Namun, kehebatan itu cacat kerana mempunyai plaza tol yang begitu banyak. Sudah tentu apabila pondok tol banyak, jumlah tol yang perlu dibayar juga begitu tinggi.

Contohnya kadar tol lebuh raya PLUS dari Plaza Tol Skudai, Johor ke Plaza Tol Sungai Petani Selatan untuk kenderaan persendirian sekitar RM80 hingga RM90 sehala. Itu belum lagi diambil kira kos petrol. Masya-Allah.

Thailand

Sedangkan di negara jiran, pondok tol hanya ditemui di Kota Raya Bangkok. Malah, jalan raya dari Sungai Golok (Kolok), Narathiwat ke Bangkok seumpama lebuh raya dengan dua line sehala. Jalan rayanya begitu luas.

Terdapat dua jalan raya di sebelah timur dan barat yang boleh dihubungi dari Narathiwat ke Bangkok. Rangkaian jalan raya itu dari selatan ke utara, barat ke timur Thailand.

Cuba bayangkan jarak dari Sungai Golok ke Bangkok lebih 1,200 kilometer tidak ditemui pondok tol kecuali ketika memasuki lebuh raya bertingkat di Bangkok. Kadar tol untuk masuk ke Kota Raya Bangkok sebelum ini 45 Baht . Pemandu dari Malaysia menyifatkan jalan raya di Thailand menawarkan penglihatan sangat baik.

“Anda tidak akan mengalami keletihan mata kerana jalan raya dipisahkan oleh deretan pokok yang mekar dengan lebat semasa musim bunga. Pokok-pokok tersebut menghalang silau kenderaan yang datang.

“Stesen minyak pula luas, bersih dan kebanyakannya dilengkapi dengan kemudahan tempat mandi dan rehat. Anda akan mendapati stesen minyak selamat dan ramai yang meletakkan kenderaan dan tidur dalam kenderaan bagi menghilang penat,” ujar seorang pengguna dari Malaysia di laman sosialnya.

Kerajaan Thailand membina banyak jalan raya kembar kerana aliran trafik begitu tinggi disebabkan mempunyai kepadatan penduduk purata sekitar 133 orang sekilometer persegi.

Kebanyakan tol di Thailand berada dalam lingkungan kawasan Greater Bangkok. Tol di bahagi kepada tiga bahagian iaitu expressways, tollways, dan motorways.

Tol di Thailand diurus agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Thailand, iaitu EXACT iaitu Expressway Authority of Thailand) dan DoH (Department of Highways).

EXACT bertanggungjawab mengurus Chaloem Mahanakhon Expressway, Si Rat Expressway, Chalong Rat Expressway, Udon Ratthaya Expressway, Burapha Withi Expressway dan Kanchanphisek Outer Ring Road (Selatan).

DoH pula mengurus Uttraphimuk Tollway (Don Mueang Tollway), Motorway No 7 (Bangkok-Chonburi), dan Motorway No 9 (Kanchanphisek Outer Ring Road – kawasan timur Thailand).

Tol tanpa palang

Thailand memperkenalkan sistem tol tanpa palang yang dikenali sebagai M-Flow dengan tiada pondok tol menjelang tahun 2024.

Perkhidmatan tol tanpa palang membuatkan aliran trafik menurut media tempatan lima kali lebih lancar. Pemandu boleh memecut pada had laju 120 kilometer sejam di pintu tol.

“M-Flow lima kali lebih pantas berbanding sistem tol sedia ada serta sangat praktikal untuk semua jenis kenderaan,” kata Jabatan Lebuhraya Thailand.

M-Flow dilancarkan di Thailand bermula di Lebuh Raya Lingkaran Kanchanaphisek yang meliputi empat pintu tol. Kadar tol dicaj dalam lingkungan 40 hingga 55 Baht mengikut lebuh raya tertentu.

Sistem pembayaran M-Pass, Easy-Pass dan M-Flow menggunakan sistem kamera dan teknologi artificial intelligence (AI) bagi mengutip bayaran tol dengan sistem pengecaman nombor pendaftaran kenderaan. Pengguna juga boleh memilih untuk melakukan pembayaran mengikut bulanan atau setiap kali perjalanan.

Manakala Bang Na Expressway pula merupakan lebuh raya bertingkat sepanjang 54 km yang merentangi Kota Raya Bangkok. Lebuh raya itu berukuran 27 meter siap pada Januari 2000. Terdapat dua plaza tol di laluan bertingkat yang boleh memuatkan 12 laluan.

Malaysia

Situasi itu jauh berbeza dengan Malaysia. Thailand difahamkan menggunakan dana kerajaan bagi membina projek lebuh raya.

Sebaliknya, Malaysia menyerah kepada syarikat konsesi bagi mengendalikan lebuh raya. Maka tidak hairanlah plaza tol terdapat di mana sahaja.

Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob menyifatkan Malaysia mampu melaksanakan lebuh raya tanpa tol sama seperti dilaksanakan di beberapa negara termasuk Thailand.

Kata beliau seperti dilapor media, banyak syarikat pemegang konsesi lebuh raya telah mendapat pulangan modal dan keuntungan daripada projek pembinaan lebuh raya yang dijalankan termasuk Projek Lebuh Raya Utara-Selatan.

Pakatan Harapan (PH) juga pernah berjanji akan menghapuskan tol di lebuh raya. Media sebelum ini melaporkan pemimpin DAP, Lim Guan Eng berjanji tol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) akan dimansuh jika PH memenangi pilihan raya umum ke-15. Sekarang apa sudah jadi.

Malangnya baru-baru ini anak syarikat Ekovest Bhd, Lebuhraya DUKE Fasa 2A Sdn Bhd memeterai perjanjian konsesi dengan kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Lebuhraya Laluan Istana-Kiara (LIKE).

Projek itu dianggar melibatkan kos pembinaan RM2.32 bilion. Menurut Ekovest tempoh konsesi selama 54 tahun bermula dari tarikh kuat kuasa.

Berdasar perjanjian itu, Ekovest akan melaksanakan reka bentuk dan pembinaan LIKE serta membekal dan memasang sistem kutipan tol dan peralatan lain di plaza tol.

Selain itu mengurus, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan tersebut di LIKE sepanjang tempoh konsesi. Perjanjian itu juga membenarkan Ekovest menuntut, mengutip dan mengekalkan kutipan tol.

Biarpun harga petrol dan diesel di Thailand lebih mahal, namun harga barangan keperluan harian jauh lebih murah. Maka tidak pelik setiap kali musim perayaan, Selatan Thailand dilimpah pelancong dari Malaysia. Siapa bijak sebenarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *