Serantau

ART: Akhirnya kerajaan Madani ‘u-turn’

Oleh M Faqih |

KEBIMBANGAN serius pembangkang terhadap nasib Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai 26 Oktober tahun lalu, kini ternyata berasas.

Di mana kerajaan mahu menyorok muka. Ini kerana sebelum ini kerajaan Madani dilihat bermati-matian mempertahankan ART. Naratif itu dipertahankan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Begitu juga lagak Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Nah sekarang apa dah jadi. Semalam Menteri MITI yang baru Dato’ Seri Johari Ghani mengesahkan ART yang ditandatangani tidak lagi terpakai.

Kata beliau ia susulan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan tarif yang dikenakan Presiden Donald Trump menyebabkan perjanjian tersebut terbatal dan tidak sah.

“Ia bukan dalam status tertunda. Ia tidak wujud, ia batal dan tiada kesan. Mahkamah Agung AS telah membuat keputusan,” katanya, seperti dilapor media.

Menurutnya AS juga kini bergantung kepada Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, yang memberi kuasa untuk mengenakan tarif sementara sebanyak 10 peratus ke atas negara-negara yang didapati melanggar peraturan perdagangan antarabangsa.

Sedangkan pada 24 Februari lepas Perdana Menteri menegaskan Malaysia tidak akan terburu-buru untuk membatalkan ART, selepas tarif import diperkenal Trump dibatalkan Mahkamah Agung negara itu.

Tidak setuju

Kata Anwar, kerajaan perlu diberi ruang dan masa untuk meneliti serta memutuskan termasuk melihat soal kepentingan dan implikasinya kepada ekonomi negara.

“Mengapa kita nak terburu-buru… kerana Mahkamah Agung AS putuskan dan hari ini kita kena putus ikut keputusan Mahkamah Agung, saya tidak setuju,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan ahli parlimen PN Hulu Terengganu Dato’ Rosol Wahid. Malah, sebelum itu ahli parlimen PH-Pasir Gudang Hasan Karim turut mendesak kerajaan membatalkan ART Malaysia-AS.

Ketika itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berulang kali menyebut kerajaan perlu melihat tindak balas dibuat Trump ke atas keputusan Mahkamah Agung AS. Menurutnya Trump boleh buat beberapa keputusan menggunakan peruntukan-peruntukan lain, yang belum terjangkau oleh Malaysia.

Sejak perjanjian itu dimeterai pelbagai pihak melihat Malaysia seperti terperangkap dengan agenda Trump. Ramai menyifatkan ART sebagai berat sebelah.  

Perikatan Nasional (PN) sejak awal lagi memperingatkan kerajaan. Pada 12 Disember lepas PN mendesak kerajaan mengenal pasti terma-terma Perjanjian ART yang dianggap bermasalah, mengikat atau berat sebelah selain mendedahkannya kepada rakyat risiko berganda.

Beberapa terma perjanjian dengan Amerika Syarikat dianggap terlalu mengikat dan berpotensi menjejaskan kepentingan serta kedaulatan Malaysia. Kebimbangan itu sudah lama disuarakan pembangkang, namun malangnya ia seperti dipandang sebelah mata kerajaan Madani.

“Saya telah suarakan kebimbangan secara tegas melalui siri kenyataan media, sidang akhbar, rapat umum dan menerusi sesi perbahasan di Parlimen.

“Teguran serupa juga dilaungkan ramai ahli-ahli parlimen PN. Ertinya Perikatan Nasional dari awal melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan perjanjian tersebut,” kata Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

Kebimbangan serupa turut disedari ahli parlimen penyokong kerajaan. Pada 23 Februari lepas empat ahli Parlimen kerajaan menggesa semua langkah serta proses ratifikasi ART Malaysia-Amerika Syarikat digantung serta-merta.

Gesaan terbabit dibuat Ahli Parlimen Pandan, Dato’ Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Mereka hanya menyedari keadaan tersebut susulan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan tarif yang diperkenalkan Trump kerana didapati tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan.

Sidang khas parlimen

Mengulas perkembangan terbaharu ART, Setiausaha Agung PN Dato’ Seri Takiyuddin Hassan memberitahu ART kini terbatal susulan perkembangan perundangan di AS.

Kata beliau ia mengesahkan kepentingan pendekatan yang lebih berhati-hati dan penelitian menyeluruh dibuat sebelum negara terikat dengan apa-apa komitmen perdagangan antarabangsa.

Sehubungan itu, PN mahu kerajaan memberi penjelasan segera secara menyeluruh mengenai status sebenar perjanjian tersebut, implikasi ekonomi dan diplomatiknya kepada Malaysia. Selain itu langkah-langkah yang sedang dan akan diambil kerajaan bagi melindungi kepentingan negara.

“Memandangkan isu ini melibatkan kepentingan perdagangan serta hubungan ekonomi strategik Malaysia dengan AS, maka PN berpandangan kerajaan wajar memanggil sidang khas parlimen.

“Ia bagi membolehkan ahli-ahli parlimen diberi taklimat penuh dan seterusnya membahaskan implikasi perkembangan terbaru secara terbuka dan bertanggungjawab.

“Ini termasuk persoalan berkait hala tuju hubungan perdagangan antara Malaysia dengan AS, selain menunaikan hak parlimen untuk diberitahu tentang apa-apa komitmen yang mungkin dibuat atau konsesi dalam rundingan sebelum ini,” ujarnya pada kenyataan hari ini.

Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu memberitahu PN mengambil maklum berkaitan kenyataan terbaharu menteri MITI.

Menurutnya perkembangan itu menimbulkan persoalan serius mengenai kedudukan sebenar rundingan dan komitmen yang dibuat kerajaan berkaitan perjanjian berkenaan sebelum ini.

Paling dibimbangi kesan terhadap industri eksport, sektor pembuatan, rantaian bekalan dan kepastian dasar pelaburan.

“Dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global yang semakin meningkat, kejelasan dasar dan keyakinan pelabur kepada Malaysia menjadi semakin penting.

“PN percaya mana-mana perjanjian perdagangan strategik yang mempunyai implikasi besar terhadap dasar perdagangan, ruang dasar negara serta kepentingan ekonomi nasional mesti ditangani secara telus dan penelitian institusi yang tinggi,” ujarnya.  

Kata beliau langkah itu penting untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan, bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan sewajarnya dalam memeriksa hala tuju dasar perdagangan negara.

“PN akan terus memantau perkembangan ini dan memainkan peranan proaktif bagi memastikan kepentingan Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam keputusan dasar perdagangan kerajaan,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *