Rakyat jadi mangsa diesel naik mendadak

Oleh Salmah Mat Husain | Foto Asri Hazim
KENAIKAN harga minyak akan memberi kesan berantai. Apa yang pasti rakyat akan menjadi mangsa. Semua sektor terjejas ekoran peningkatan kos pengangkutan dan operasi jentera.
Paling ketara industri pembinaan memandangkan sektor itu tidak menikmati subsidi seperti sektor lain. Kos logistik, pengangkutan bahan binaan dan operasi meningkat secara drastik.
Asrey Ghani berkongsi pandangan pada lontaran di laman sosialnya dengan mempersoalkan harga diesel naik lagi, apa jadi industri pembinaan?
Menurutnya kenaikan harga diesel secara mendadak di Malaysia benar-benar memberi tekanan besar kepada industri pembinaan.
Tercungap
“Hakikatnya apabila kos melonjak, margin projek jadi semakin tipis, malah ada yang terpaksa menanggung kerugian. Dalam keadaan sebegini, semua pihak perlu lebih memahami realiti di lapangan.
“Jangan terlalu mudah mengambil keputusan untuk ‘terminate‘ kontrak semasa kontraktor tercungap terpaksa menyerap kerugian akibat kenaikan minyak melampau,” katanya.
Sedangkan industri pembinaan merupakan tulang belakang pembangunan negara. Apa yang jelas tindakan kerajaan memberi tekanan tambahan sehingga boleh menjejaskan kelangsungan projek dan pemainnya.

Berdasar Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April berlaku kenaikan ketara RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel.
Harga RON97 sekarang RM5.15 seliter, RON95 tanpa subsidi RM3.87 seliter dan diesel (Semenanjung Malaysia) RM5.52 seliter. Sedangkan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.
Lebih pelik lagi apabila dilihat harga minyak dunia, peningkatannya tidak begitu ketara berbanding tekanan kos yang ditanggung rakyat.
Sebaliknya di Malaysia, berlaku beberapa kali kenaikan harga minyak dalam tempoh singkat sehingga memberi kesan besar kepada kos sara hidup rakyat.

“Kerajaan sepatutnya dapat menjangka rungutan rakyat lebih awal dan menyediakan pelan mitigasi bagi mengurus kesan kenaikan tersebut.
“Sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia seharusnya memanfaatkan hasil petroleum untuk membantu mengurangkan beban rakyat,” kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau ditemui pada majlis Sambutan Aidilfitri Dun Salor malam kelmarin. Lebih 3,000 masyarakat di Dun Salor hadir pada majlis berkenaan.
Turut hadir anggota Exco Ustaz Mohd Asri Mat Daud; Adun Pasir Tumboh, Dato’ Abdul Rahman Yunus dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff. Majlis tersebut turut dimeriahkan persembahan rakan duet Fendi Kenali dan Den Manjo yang mempersembahkan lagu viral ‘Rayo Sake’.
Ada pelan

Bagi Tuan Ibrahim, kerajaan sepatutnya ada pelan bagaimana hendak mengurus kesan kenaikan harga minyak supaya rakyat tidak terbeban.
Kenaikan harga minyak sudah tentu memberi kesan kepada pelbagai sektor termasuk pengangkutan, pelancongan dan rangkaian bekalan. Kesannya menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan akan meningkat.
Situasi serupa berlaku di Thailand, Filipina dan Indonesia yang turut berdepan ketidaktentuan bekalan dan harga minyak. Bagaimanapun harga diesel di Malaysia pertama kali dalam sejarah lebih tinggi berbanding Thailand.
Tuan Ibrahim menjangka ekonomi global dijangka tidak stabil dalam tempoh beberapa tahun akan datang, yang menuntut rakyat mengamalkan perbelanjaan secara berhemah.

“Rancang perbelanjaan, jangan tunggu tiada wang baru hendak berjimat. Kenaikan harga bahan api juga memberi kesan kepada sektor pelancongan kerana kos pengangkutan meningkat,” katanya.
Oleh itu beliau berharap kerajaan Madani dapat merangka dasar lebih adil dan menyeluruh bagi mengurangkan bebanan ditanggung rakyat.

Presiden MCA Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong pula menyifatkan kenaikan diesel tidak boleh dilakukan secara mendadak, memandangkan kesannya kos hidup rakyat meningkat berganda.
Beliau juga hairan dalam tempoh tiga minggu tiga kali harga minyak dinaikkan kerajaan Madani.
“Kenaikan harga diesel menyebabkan kos operasi, kos pengangkutan dan pelbagai lagi akan tanggung rakyat. Apa yang pasti rakyat yang menjadi mangsa,” ujarnya.
Sebagai langkah alternatif Wee turut mencadangkan kerajaan menggunakan wang milik negara bagi mengurangkan bebanan rakyat seperti dilakukan negara jiran.

