Khabar SG4

Jalan alternatif kebun sayur ada tol

Oleh Aslani M |

SIKAP prihatin pengusaha kebun sayur menyediakan laluan alternatif ekoran jalan Gua Musang-Lojing runtuh pada 3 Disember lepas memudahkan orang ramai untuk ke Lojing dan Cameron Highland.

Laluan di kawasan berbukit disediakan pengusaha sayur sepanjang 2.7 kilometer dapat memendekkan perjalanan ke Lojing atau Gua Musang, berbanding melalui Sungai Koyan, Pahang.

Bagaimanapun setiap kenderaan yang melalui laluan alternatif tersebut difahamkan dikenakan caj sebanyak RM2 bagi kereta, MPV/SUV: RM5 (kosong) dan RM10 (memuat barang) dan lori (RM20).

Namun, penunggang motosikal tidak dikenakan sebarang bayaran. Ramai pengguna menyifatkan RM2 bukan menjadi ukuran, namun sifat kemanusiaan pengusaha kebun sayur memudahkan orang ramai.

“Nilai RM2 hanyalah untuk berkongsi sebahagian bebanan kos membina laluan tersebut. Ia sebenarnya tidak sepadan dengan kos yang terpaksa ditanggung pekebun terbabit,” kata seorang pengguna.

Runtuhan cerun berlaku di FT185, Seksyen 107.600 jalan Lojing-Gua Musang menjejaskan lebih 1,000 penduduk, perkhidmatan ambulans serta aktiviti ekonomi setempat.

Runtuhan dikesan berlaku sepanjang 30 meter. Difahamkan kawasan runtuhan tersebut merupakan tempat tadahan air.

Malah, Menteri Kerjaraya Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi turut meninjau lokasi kejadian pada 2 Febuari lalu. Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Izani Husin, Timbalan Exco Saizol Ismail, Adun Galas Dato’ Syahbuddin Hashim dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kerjaraya.

Peruntukan

Alexander pada lawatan itu memberitahu JKR sudah mendapat kelulusan peruntukan pada 30 Januari lalu bagi membaiki runtuhan cerun tersebut.

Kata beliau isu tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan keselamatan nyawa, pergerakan harian rakyat dan kelangsungan ekonomi setempat.

“Laluan tersebut ditutup sepenuhnya sejak kejadian tanah runtuh pada 3 Disember 2025, menyebabkan pengguna dan penduduk sekitar menanggung kesulitan kerana perlu menggunakan laluan alternatif lebih jauh.

“Kerajaan amat memahami beban yang ditanggung rakyat akibat penutupan ini. Keselamatan rakyat adalah keutamaan dan tidak boleh ditangguhkan,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Menurutnya juga arahan kerja dikeluarkan melibatkan projek bernilai lebih RM30 juta. Manakala jalan sementara yang akan dibina dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Menteri memberitahu pada 30 Januari lepas Kementerian Kerja Raya meluluskan pelaksanaan kerja pembaikan cerun secara Arahan Kerja (AK) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).

Antara tindakan utama akan dilaksanakan termasuk kerja awalan melibatkan penyiasatan tapak, ukur tanah dan rekabentuk terperinci.

“Kerja pembinaan dijangka bermula pada awal Mac dan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan. Temporary road diversion akan dibina terlebih dahulu supaya laluan itu dapat dibuka semula secepat mungkin.

“Pelaksanaan kerja oleh Pintas Utama Sdn Bhd, kontraktor jangka panjang yang dilantik bagi memastikan tindakan lebih pantas dan terkawal,” ujarnya.

Alexander juga berkata, Kementerian Kerjaraya akan memantau rapi pelaksanaan kerja tersebut sehingga siap sepenuhnya.

Menurutnya juga pengguna yang menggunakan laluan alternatif milik persendirian perlu berhati-hati memandangkan laluan itu bukan diwartakan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Ketika melawat Kelantan pada awal Februari lepas menteri juga meninjau dua lagi lokasi kritikal iaitu jalan lencongan projek Lebuhraya Tengah Utama (LTU), Gua Musang pakej 3B, 3C dan 3D.

Selain itu pembinaan jalan lencongan sementara di lokasi cerun runtuh Seksyen 107.6 dan lubang benam Seksyen 78.600 Jalan Lojing-Gua Musang.

Dr Izani berkata, keadaan jalan di lencongan projek LTU rosak sehingga menimbulkan kesukaran pengguna jalan raya dan memerlukan pembaikan segera.

Jalan sementara

Ketua Jajahan Gua Musang Roshdi Ismail ketika dihubungi memberitahu JKR dalam proses melantik kontraktor untuk membina jalan sementara di lokasi cerun runtuh.

Menurutnya buat masa sekarang pengguna terpaksa melalui jalan alternatif yang dibina pekebun untuk ke Lojing dan Cameron Highland.

“Orang ramai boleh menggunakan jalan yang dibina tauke sayur memandangkan laluan itu lebih dekat. Bagaimanapun pihak JKR tidak menjamin keselamatan pengguna kerana ia tanah milik persendirian,” ujarnya.

Yang Dipertua PAS Gua Musang Ustaz Azman Ahmad berharap kerajaan dapat membina segera laluan sementara di kawasan runtuhan bagi memudahkan pengguna berulang alik Gua Musang-Lojing-Cameron Highland.

Kata beliau sebelum ini ramai pengguna terpaksa melalui Felda Sungai Koyan untuk ke Lojing dan Cameron Highland, biarpun jaraknya begitu jauh.

“Masalah tersebut sedikit sebanyak menjejaskan sektor pelancongan di Lojing dan Gua Musang kerana terpaksa menggunakan laluan jauh menyebabkan kos minyak meningkat,” ujarnya.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *