Gelanggang Rakyat

Kerajaan Madani dibelit isu integriti

Oleh Aslani M & Salmah Mat Husain |

PADA petang 10 Januari 2022 sekumpulan Pemuda PKR (AMK) berkumpul di depan ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Mereka menuntut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan.

Perhimpunan itu dilapor diketuai Ketua AMK Akmal Nasir. AMK juga menuntut siasatan kerajaan terhadap pemilikan saham Azam, termasuk yang dibeli adiknya Nasir menggunakan namanya.

Selepas lebih empat tahun berlalu, isu serupa muncul kembali. Juga tentang pemilikan saham, seorang penjawat awam. Bloomberg pada 10 Februari 2026 mendakwa Azam memiliki saham bernilai tinggi.

Ekoran itu pada 13 Februari media melaporkan kerajaan menubuh jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam. Jawatankuasa khas terbabit diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menteri Komunikasi Dato’ Fahmi Fadzil dilapor memberitahu perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dan pada 3 Mac laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham membabitkan Azam dilapor siap minggu itu dan ia akan diteliti PM.

Siasatan

Siasatan diketuai Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar. Anwar dilapor akan memutuskan tindakan lanjut termasuk sama ada siasatan mengenainya perlu dilanjutkan.

Menurut pemerhati politik Lim Sian See pada 6 Mac 2026 laporan siasatan kerajaan siap dan diserah kepada perdana menteri.

Kata beliau pada 11 Mac laporan dibentang dalam kabinet, dengan syor supaya Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengambil tindakan.

Dua hari kemudian bekas Timbalan Presiden PKR Dato’ Seri Rafizi Ramli mendakwa ada laporan menyatakan Azam memiliki saham bernilai RM14 juta.

Tiba-tiba pada 30 Mac Bloomberg mendakwa pula PM menyekat pendedahan hasil siasatan tersebut kepada umum.

“Kalau benar tiada salah laku, kenapa laporan itu tidak didedahkan kepada umum.. kalau memang ada salah laku dan tindakan telah disyorkan kabinet, apakah tindakan yang dimaksudkan. Adakah tindakan itu sudahpun diambil? Dan kenapa PMX mahu sekat?,” ujar pemerhati politik Sian See.

Bagaimanapun kerajaan menafikan dakwaan Bloomberg, berkaitan PM dikatakan meminta penangguhan pendedahan hasil siasatan berkaitan pemilikan saham Azam.

Ketua Setiausaha Negara memberitahu Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan susulan terhadap Bloomberg berhubung laporan tersebut.

“Selaras dengan pembentangan Jawatankuasa Siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026, prosiding telah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya pada satu kenyataan.

Jadi mangsa

Bertindak balas terhadap laporan media asing, pada 11 Februari Azam dilapor mengarah peguamnya mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg kerana menganggap laporan itu ‘mengelirukan’ dan ‘berunsur fitnah’ berhubung urus niaga saham Velocity Capital Bhd.

Sedangkan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pada kenyataan sebelum ini menggesa polis memberi tumpuan terhadap dakwaan pemilikan saham membabitkan Azam dan bukannya berkaitan laporan Bloomberg.

Menurutnya siasatan polis perlu menumpukan kepada inti pati dakwaan yang dibangkitkan, selaras prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

Media Singapura, The Straits Times pula mendakwa kontrak Azam tidak akan dilanjutkan selepas ia tamat pada 12 Mei.

Laporan dikatakan memetik sumber peringkat tinggi susulan dakwaan rasuah terhadap Azam. Tempoh perkhidmatan Azam sudah dilanjutkan sebanyak tiga kali sebelum ini.

Ketika zaman Tunku Abdul Rahman toleransi amalan mementing keluarga  mendapat faedah ekonomi dikatakan sudah berlaku. Malah, ia berlarutan pada era Tun Abdul Razak.

Ia secara jelas menggambarkan amalan mementingkan keluarga (orang dekat) ketika ada kuasa politik. Ini bermakna segelintir pihak mendapat tempat kerana mempunyai hubungan rapat dengan golongan elit.

Oleh itu bagi merungkaikan isu tersebut pelbagai pihak mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Ia dianggap sebagai langkah terbaik bagi memulihkan keyakinan rakyat.

Sindrom penafian

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi menyifatkan isu sebenar bukan lagi terletak pada status sesuatu dakwaan, sebaliknya bagaimana kerajaan mengurus persepsi dan kepercayaan rakyat.

“Pendekatan sindrom penafian serta berulang kali membuat kenyataan mahu mengambil tindakan lanjut sudah berada pada peringkat tepu sekarang.

“Namun kini berdepan cabaran besar kerana tanpa hasil yang jelas. Rakyat tidak lagi menilai berdasar kenyataan semata-mata, sebaliknya melihat apa tindakan selanjut,” katanya pada kenyataan.

Firdaus turut mempersoalkan beberapa kes terdahulu yang memperlihatkan pola sama apabila siasatan diumumkan, namun hasil akhirnya tidak dijelaskan kepada rakyat.

Beliau menegaskan hanya penubuhan RCI sebagai jalan terbaik untuk memastikan proses siasatan lebih telus, bebas dan diyakini rakyat.

Namun, malangnya apa yang berlaku sekarang kerajaan seperti membiarkan adegan ada udang di sebalik batu. Dan akhirnya memaksa rakyat menunggu kerajaan baharu, selepas Madani dilihat semakin tepu integriti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *