Serantau

Asia Tenggara medan baru persaingan kuasa besar

Oleh Aslani M |

KERAJAAN Malaysia perlu lebih berwaspada bagi memastikan persaingan kuasa luar tidak menjejaskan keamanan serantau, kedaulatan negara serta daya tahan ekonomi.

Apa yang penting memastikan Asia Tenggara, khususnya Selat Melaka, kekal bebas daripada pengaruh asing melibatkan kehadiran tentera atau tekanan strategik oleh mana-mana kuasa luar.

Kerajaan juga perlu mengambil langkah proaktif bagi melindungi kepentingan nasional, kebebasan strategik negara dan kestabilan serantau.

Oleh itu Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Dato’ Seri Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan memantau rapat perkembangan geopolitik yang pantas berubah sekarang.

Kata beliau persaingan strategik dan ekonomi yang semakin memuncak antara kuasa besar, khususnya antara Amerika Syarikat (AS) dan China, semakin mempengaruhi perkembangan yang berlaku di Asia Tenggara.

“Peningkatan kehadiran ketenteraan di perairan serantau, persaingan ke atas laluan perdagangan strategik, penyusunan semula rantaian bekalan serta tekanan ekonomi akan membawa implikasi besar kepada Malaysia dan rantau ini.

“Perkembangan yang berlaku itu jelas berisiko menjadikan Asia Tenggara sebagai medan baharu persaingan kuasa besar,” katanya pada kenyataan semalam. 

Tahun lepas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang isu berkaitan pertikaian di Laut China Selatan mesti diselesaikan dalam kerangka ASEAN bersama rakan kongsi di rantau tersebut.

Kuasa luar

Langkah itu penting bagi mengelakkan kuasa luar mengambil kesempatan sehingga menjadi lebih bermasalah dan rumit untuk ditangani.

Bagaimanapun kata beliau situasi sekarang masih terkawal dan ASEAN mengalu-alukan persetujuan semua pihak ke arah memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.

Klausa 1982 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperincikan Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982) dan COC sebagai prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat.

Ketegangan di Laut China Selatan ekoran peningkatan penempatan aset ketenteraan melibatkan kuasa besar berikutan konfrontasi ekonomi antara Washington dan Beijing yang semakin melebar.

Sedangkan Selat Melaka dan Laut China Selatan antara laluan perdagangan maritim paling penting di dunia. Sebarang peningkatan kehadiran strategik kuasa asing atau meluasnya usaha untuk mempengaruhi keadaan di Selat Melaka berisiko meningkatkan ketegangan geopolitik dan menggugat kestabilan serantau.

Baru-baru ini Indonesia menafikan dakwaan Amerika Syarikat mempunyai akses tanpa had ke ruang udara negara itu.

Kementerian Pertahanan Indonesia dilapor menegaskan, kuasa, kawalan dan pemantauan ruang udara republik terbabit sepenuhnya berada di bawah kerajaan Indonesia.

Sebelum itu terdapat laporan mengenai draf perjanjian antara Indonesia dan AS yang mencadangkan pesawat AS mempunyai akses penuh ke ruang udara Indonesia.

Berkecuali

Takiyuddin juga menegaskan keperluan Malaysia perlu mengekalkan dasar luar yang bebas dan seimbang, selain menghindari negara daripada terheret ke dalam penjajaran geopolitik berpihak.

“Ia selaras memandangkan Malaysia sejak sekian lama mendukung prinsip Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

“Prinsip itu kekal relevan pada ketika persaingan geopolitik semakin meningkat di Asia. PN menggesa kerajaan memantau rapat perkembangan geopolitik dan ekonomi melibatkan kuasa-kuasa besar,” ujarnya.

Menurutnya juga kerajaan perlu memastikan Malaysia tidak terheret ke dalam persaingan strategik atau ekonomi asing.

Kata beliau kerajaan perlu mempertahankan kedaulatan dan autonomi strategik negara dengan mengekalkan neutraliti dan keterbukaan Selat Melaka daripada pengaruh kuasa luar. 

Selain itu, Malaysia perlu memperkukuh kerjasama ASEAN bagi memastikan kestabilan serantau Malaysia perlu terus menggalakkan dialog, penyuraian ketegangan dan mengutamakan penyelesaian pertikaian secara aman.

“Dalam keadaan ketidaktentuan global semakin meningkat, dasar luar yang bebas dan berprinsip amat penting bagi melindungi kepentingan jangka panjang negara serta kestabilan serantau,” ujar Takiyuddin. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *