DAP kaut laba undi Melayu berpecah

Oleh M Faqih |
TIADA lagi pilihan bagi orang Melayu ketika berdepan dengan ancaman pihak lain. Ubat paling mujarab ialah berpadu di bawah payung Melayu. Malah tuntutan itu digerakkan pejuang kemerdekaan sejak dahulu lagi.
Sejarah memperlihatkan orang Melayu bersatu ketika menentang Malayan Union pada 1946. Malayan Union mengancam kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menghapuskan hak istimewa orang Melayu.

Kemunculan Malayan Union mengundang demonstrasi besar-besaran termasuk di Kota Bharu dan perarakan di Alor Setar, Kedah. Hasil penyatuan itu lahir Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) pada 11 Mei 1946.
Malah sejarah mencatat parti Melayu juga bekerjasama dengan pertubuhan Cina bagi menuntut kemerdekaan tanah air.
Kerjasama rentas politik itu berlaku pada 1947 melalui Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang ditubuh pada Februari 1947. Pertubuhan tersebut lebih bersikap radikal menentang pakatan sulit British dan Umno merangka Persekutuan Tanah Melayu.
Manakala orang Cina di Tanah Melayu bernaung di bawah gabungan politik berhaluan kiri yang dikenali Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA).
AMCJA diterajui Tan Cheng Lock. Pakatan PUTERA-AMCJA menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 kerana ia dianggap tidak demokratik. Mereka mengemukakan draf alternatif yang dinamakan Perlembagaan Rakyat sebagai persediaan mencapai kemerdekaan.
Tragedi Natrah

Dan sekali lagi orang Melayu berhimpun di Singapura ketika tragedi Natrah pada 11 dan 12 Disember 1950. Peristiwa itu mencetus rusuhan berdarah di bumi yang pernah menjadi milik Johor itu.
Orang Melayu datang dari segenap tempat di Tanah Melayu bagi membela Natrah setelah mahkamah British membatalkan perkahwinannya dengan Mansor Adabi.
Kemudian penyatuan orang Melayu digerakkan Tun Abdul Razak selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Pada pilihan raya umum (PRU) ketika itu Perikatan yang diketuai Umno hilang kuasa majoriti dua pertiga.

Perikatan hanya memenangi 66 daripada 144 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Bermula dari situ penyatuan orang Melayu digerakkan. Akhir pada 1973 PAS menyertai Perikatan.
Dan di alaf baharu pula orang Melayu berhimpun membantah cadangan kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Perhimpunan berskala besar itu diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2018 disertai ratusan ribu orang Melayu. Bermula dari situ akhirnya muncul Langkah Sheraton sehingga membawa tumbang kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada akhir Februari 2020.

Peristiwa tersebut memperlihatkan orang Melayu boleh bekerjasama apabila kedudukan mereka tergugat. Dan hari ini usaha untuk menyatukan orang Melayu digerakkan semula.
Konsep ketuanan Melayu hari ini digerakkan dalam situasi berbeza selepas Umno yang pernah menjadi tunjang kekuatan Melayu dianggap menyimpang daripada perjuangan asal.
“Di era sekarang orang Melayu hanya bergantung kepada Umno sudah berlalu. Dalam politik orang Melayu mempunyai pelbagai pandangan dan kaedah untuk berkhidmat kepada negara atau memperjuangkan sesuatu isu,” kata bekas pemimpin Umno Tumpat Dato’ Kamarudin Jaffar.
Perkembangan yang berlaku itu selaras dengan maksud Hadis diriwayat Bukhari daripada Mughirah Bin Syubah yang berkata, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Sentiasa ada di dalam kalangan umatku golongan sentiasa menang dalam perjuangan mereka sehingga sampailah pada suatu waktu yang dikehendaki oleh Allah Taala. Mereka sentiasa menang.”
Orang Melayu hari ini tidak lagi berharap kepada Umno bagi mempertahankan hak mereka. Malah kegagalan Umno menobatkan ketuanan Melayu-Islam menyebabkan lahir PAS dan pelbagai parti Melayu.
Sekarang terdapat lapan parti berteraskan Melayu daripada 72 parti yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Dan sudah tentu kewujudan banyak parti Melayu akan menyebabkan berlaku perpecahan undi merebut segmen pengundi yang sama.
MN 2.0

Maka bagi mengelakkan perpecahan undi Melayu semakin melebar perlu kepada gabungan yang lebih besar. Antara yang diuar-uarkan sekarang iaitu Muafakat Nasional (MN) 2.0.
Ia bertujuan memperkukuh kedudukan kuasa politik Melayu dan Islam. MN 1.0 gagal kerana sikap pemimpin Umno menolak penyertaan Bersatu. Tindakan Umno tersebut melanggar Piagam Muafakat Nasional.
Pada masa itu MN diikat dengan piagam atau perjanjian. Piagam MN menyatakan gabungan terbabit boleh menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Malah piagam terbabit juga memberi ruang mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai MN. Di sebalik usaha mengemblengkan MN, muafakat parti Melayu menemui jalan buntu apabila Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menjalin hubungan di belakang tabir dengan Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun sejarah kegagalan MN 1.0 tidak mematah semangat penggerak perpaduan Melayu. Mengambil kira situasi tersebut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melontar kembali kerjasama politik parti-parti Melayu.
Kata beliau usaha itu wajar digerak semula demi masa depan bangsa dan ummah. Malah, Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan usaha menghidupkan semula gagasan MN 2.0 selaras usaha memperkukuh politik Melayu dan umat Islam.
Menurutnya konsep perjuangan PAS menyatukan masyarakat Melayu Islam dan tidak melupakan masyarakat majmuk di negara ini. Tidak dilupakan juga penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Di sebalik usaha menyatukan orang Melayu, ada pihak cuba menggambarkan MN akan memberi laba kepada PAS sekiranya Umno sedia bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Dakwaan seperti itu tidak lain hanya sekadar melemahkan usaha menjulang semula MN yang menjadi teras orang Melayu di negara ini.
Biarpun impian itu agak sukar untuk direalisasikan menjelang PRN Johor, namun secara jelas Umno menolak Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP.
Tolak DAP

Kata Menteri Besar Dato’ Onn Ghazi Hafiz, beliau tidak rela duduk semeja dengan DAP. Kenyataan yang dilihat tegas itu seperti menongkat arus daripada haluan dirintis Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
Zahid mendapat untung berganda apabila mendukung kerajaan Madani. Namun resepi yang dibawa Zahid tidak diterima di Johor apabila Pakatan Harapan (PH) tidak diberi ruang berada dalam saf kerajaan negeri yang diterajui Umno.
Berdasar pendirian tersebut Umno Johor tidak wajar memusuhi MN 2.0 bagi menyatukan suara Melayu menjelang PRN tidak lama lagi. Setidak-tidak Umno Johor mengelakkan bertembung parti-parti yang bergabung di bawah MN bagi meraihkan undi Melayu lebih besar.
MN 2.0 mungkin melibatkan Perikatan Nasional (PN), Bersama, Muda dan pelbagai lagi parti lain. Pada PRN lepas PN mempunyai tiga kerusi Dun di Johor dan Muda pula (1).

Malah pengerusi PN Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan PN akan terus diurus secara tertib, berprinsip dan berlandaskan perlembagaan.
“Saya menegaskan PN bukan milik mana-mana parti secara mutlak. PN adalah gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat parti-parti pengasas.
“PAS juga antara parti pengasas PN dan saya merupakan salah seorang penandatangan rasmi penubuhan PN. Justeru, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak,” ujarnya pada kenyataan.
Bagaimanpun sekiranya Umno Johor memilih menolak gagasan MN 2.0 seperti disebut Zahid, dibimbangi undi Melayu terus berpecah dan PH yang diketuai DAP akan mengaut untung lagi.
