Gelanggang Rakyat

Bersatu ‘tenggelam’ di sebalik populariti Hamzah

Oleh Aslani M & Salmah Mat Husain |

RUMAH siap pahat berbunyi. Apa maksudnya. Ia membawa pengertian tindakan bersungut, membantah atau memberi komen mengenai sesuatu keputusan setelah ia diputuskan.

Tiba-tiba Bersatu mendakwa Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang seolah-olah lebih berkuasa dalam menentukan keputusan Perikatan Nasional (PN).

Isu itu muncul selepas Dato’ Seri Hamzah Zainudin diumumkan kekal sebagai Ketua Pembangkang. Selain itu Parti Wawasan Negara pimpinan Hamzah akan menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan.

“Kedua-dua keputusan itu tidak dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN. Ia juga bertentangan dengan keputusan MT PN melantik Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri sebagai Ketua Pembangkang,” katanya bekas setiausaha Presiden Bersatu, Dato’ Dr Marzuki Mohamad.

Hujah Dr Marzuki ada asasnya, di mana pada pertengahan Mei lepas PN melantik pengerusinya, Dr Ahmad Samsuri sebagai Ketua Pembangkang baharu menggantikan Hamzah. Pelantikan terbabit diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN kali ke-2 tahun 2026. Namun mengapa tiba-tiba ia berubah pula.

Mungkin agak tidak sukar untuk merungkai isu tersebut. Ketika Dr Samsuri dilantik Ketua Pembangkang, PAS masih lagi bekerjasama dengan Bersatu. Belum ada keputusan mufarakah politik.

Keduanya, agak janggal Dr Samsuri dibeban dua tanggungjawab besar dalam satu masa. Keputusan terbabit dilihat sebagai strategi bersifat sementara ketika hubungan PAS-Bersatu agak panas.

Maka bagi meredakan suasana, Dr Samsuri diumum sebagai Ketua Pembangkang. Dan ternyata ia berjaya meredakan kemarahan Bersatu terhadap Hamzah. Namun, episod Mei 2026 seperti hilang dengan sendiri selepas PAS tiada lagi hubungan politik dengan Bersatu.

Siapa Ketua Pembangkang, perlu diselesai secara pantas dalam situasi kecamuk politik. Ia dibolehkan dibuat tanpa proses perbincangan yang panjang dengan mengambil kira keutamaan mewujudkan kestabilan politik.

Malah, ahli falsafah kuno Marx pernah menghurai panjang mengenai ‘kediktatoran proletariat’. Ia digambarkan sebagai langkah perantaraan bagi menggantikan ‘kediktatoran borjuasi’.

Peraturan Dewan Rakyat

Isu yang dibangkit Bersatu juga boleh dijelaskan berdasar kaedah pelantikan Ketua Pembangkang di Malaysia yang tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) serta konvensyen amalan sistem demokrasi berparlimen.

Ketua Pembangkang dilantik berdasar sokongan dan konsensus majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen blok pembangkang. Ia bukanlah jawatan yang dilantik secara unilateral.

Peraturan 4A(3) PMDR merujuk kepada ahli Majlis Mesyuarat yang sedang menjadi Ketua Kumpulan pihak pembangkang. Penetapan boleh ditentukan oleh Speaker berdasar (Peraturan 4A (4) PMDR) apabila berlaku sebarang keraguan atau pertikaian mengenai siapa yang mendapat sokongan majoriti.

Dan akhirnya pengesahan rasmi akan dibuat Speaker mengenai pelantikan atau keabsahan individu berkenaan akan diperakui secara bertulis.

Isunya sekarang blok pembangkang mana yang lebih ramai. Berdasar perkembangan sekarang PAS memiliki 43 Ahli Parlimen. Ahli parlimen Bersatu yang dipecat enam orang termasuk Hamzah. Selain itu 10 lagi ahli parlimen Bersatu digantung. Manakala tiga lagi ahli parlimen diberi amaran. Jumlah ahli parlimen dipecat, digantung dan diberi amaran berjumlah 19 orang.

Itu belum lagi diambil kira enam bekas ahli parlimen Bersatu dipecat lebih awal kerana menyokong kerajaan Madani. Berdasar jumlah ahli parlimen PAS 43 dan geng Reset 19 orang, ia menjadikan jumlah keseluruhan 62.  

“Ini bermakna kira-kira 80 peratus Ahli Parlimen blok pembangkang menyokong Hamzah terus kekal sebagai Ketua Pembangkang,” kata ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah.

Kaedah serupa digunapakai sistem Demokrasi Westminster yang diikuti di Malaysia. Mengikut tradisi, Ketua Pembangkang dipilih berdasarkan parti pembangkang yang membentuk jumlah kerusi terbesar di Dewan Rakyat.

Perkara itu ditegas lagi Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendedah hasrat untuk mengekalkan Hamzah berlaku sejak awal lagi.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff pula mendedah sebelum ini Muhyiddin membenarkan Presiden PAS membuat pelantikan Ketua Pembangkang atas dasar PAS mempunyai jumlah ahli parlimen lebih ramai.

“Lagipun mengikut konvensyen dalam sistem Westminster dan amalan Parlimen Malaysia, Ketua Pembangkang ialah seorang ahli parlimen yang dipersetujui majoriti ahli parlimen bukan kerajaan,” ujarnya.

Semalam pada majlis Konvensyen Reset Malaysia di Tanah Merah Kelantan, Hamzah diumum kekal sebagai Ketua Pembangkang selepas mendapat persetujuan secara musyawarah pimpinan PAS dan Ahli Parlimen pembangkang.

Pengumuman tersebut dibuat Tuan Guru Abdul Hadi. Pada majlis sama turut diumum Dr Samsuri kekal sebagai Pengerusi Perikatan National.

Berdasar perkembangan terbabit ia memperlihatkan Bersatu benar-benar tersepit. Lebih-lebih lagi konvensyen Reset Malaysia turut dihadiri Presiden Gerakan Dato’ Dr Dominic Lau dan Pemangku Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Dato’ Mohamed Ismail. Manakala MIPP turut merakam ucapan tahniah kepada Reset Malaysia.

Gerakan dan MIPP merupakan parti kompenan PN. PN didaftar secara rasmi sebagai sebuah gabungan parti politik di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 7 Ogos 2020.

Pada peringkat awal STAR Sabah dan SAPP turut menyertai PN. Manakala Umno dan Barisan Nasional tidak menjadi ahli rasmi PN, dan hanya sekadar memberi sokongan kepada kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin.

Bersatu sekarang tidak lagi mewakili suara majoriti dalam PN. Berdasar hierarki terbaharu PN, Bersatu berada di tempat ketiga selepas PAS dan Parti Wawasan Negara. Berdasar hujah tersebut, sudah tentu Bersatu terpaksa menerima Hamzah sebagai Ketua Pembangkang sekiranya parti itu sedia kekal bersama PN.

Kronologi yang berlaku memperlihatkan strategi awal ‘team’ Muhyiddin menyingkir Hamzah seperti melantung semula ke badan badan sendiri. Siapa lebih popular antara Muhyiddin atau Hamzah?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *