‘Patut pun PAS tamatkan kerjasama Bersatu’

Oleh Salmah Mat Husain |
KEPUTUSAN PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu turut disokong pelbagai pihak termasuk tokoh wartawan negara, bekas veteran Bersatu Selangor, peguam dan Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Bekas Ketua Pengarang NST, Dato’ A Kadir Jasin pada komentar di laman sosialnya mencatat, patut pun PAS tamatkan kerjasama dengan Bersatu kerana parti itu asyik berpecah.

Bekas pemimpin Bersatu, Tan Sri Noh Omar berharap Umno dapat bekerjasama dengan PAS bagi menyatukan lagi kekuatan perpaduan Melayu.
“Saya yakin kalau Umno dengan PAS boleh bersama, mereka boleh tubuhkan kerajaan tanpa perlukan bantuan daripada parti-parti lain,” katanya di Johor Bahru Ahad lepas.
Krisis dalaman Bersatu membawa kepada pemecatan 11 ahli parlimen, manakala sembilan lagi digantung. Selain itu tiga diberi amaran.
Ahli parlimen Bersatu sekarang hanya tinggal Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Dato’ Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Dato’ Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi), Dato’ Ali Biju (Seratok) dan Dato’ Azman Nasrudin (Padang Serai).

Seorang peguam Haniff Khatri Abdulla menyifatkan langkah PAS menamatkan kerjasama dengan Bersatu sebagai keputusan berani bagi mewujudkan amalan politik lebih sihat.
Menurutnya sejak Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lepas PAS mempunyai peluang lebih baik untuk berkembang sekiranya tidak lagi bergantung kerjasama dengan Bersatu.
“Politik sihat mesti berpaksikan keikhlasan dan kejujuran demi kepentingan rakyat serta negara, bukannya semata-mata mengejar kerusi, kuasa atau kepentingan peribadi,” katanya kepada laman berita.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi pula menyifatkan keputusan menamatkan hubungan dengan Besatu membuktikan PAS kekal dengan prinsip perjuangan meletakkan kepentingan ummah dan kestabilan politik negara sebagai keutamaan.
Kata beliau Pemuda PAS yakin setiap keputusan yang dibuat kepimpinan parti berdasarkan penelitian mendalam serta berpandukan syura, hukum dan maslahat perjuangan.
“Keputusan itu membuktikan PAS berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam serta mengutamakan kepentingan ummah dan kestabilan politik negara.
“Kami yakin setiap keputusan yang dibuat hasil penelitian yang mendalam serta mengambil kira panduan syura, hukum dan maslahat perjuangan,” katanya pada kenyataan.
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat malam tadi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Landskap politik

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan keputusan itu dibuat setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan Bersatu.
Firdaus turut melihat langkah meneroka bentuk persefahaman politik baharu dan kerjasama pilihan raya sebagai pendekatan yang matang dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Pendekatan tersebut penting bagi memastikan agenda penyatuan ummah terus diperkasakan demi kepentingan rakyat dan negara.
Sehubungan itu beliau berharap ahli dan penyokong PAS khususnya golongan muda terus memperkukuhkan saf perjuangan, menjaga adab berjemaah serta memberikan kepercayaan penuh kepada kepimpinan parti.
“Anak-anak muda perlu terus bersama perjuangan Islam dan memberi keyakinan kepada kepimpinan parti dalam menentukan hala tuju terbaik demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
Beliau turut menyambut baik keterbukaan PAS menerima penyertaan golongan profesional, akademik, aktivis masyarakat serta generasi muda untuk memperkukuhkan perjuangan Islam di negara ini.
Kata beliau PAS bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya merupakan gerakan dakwah dan tarbiah yang membawa penyelesaian Islam untuk semua.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam perlu terus dijadikan panduan dalam memperjuangkan agenda Islam dan kebajikan rakyat,” tambah beliau.
