Cuit Oghe Kito

Kerajaan hilang majoriti belum jatuh

Oleh M Faqih |

PADA 27 April lepas 14 Adun Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Berikutan itu kerajaan Pakatan Harapan (PH)-BN Negeri Sembilan dianggap sudah runtuh. Dalam situasi sekarang kerajaan diketuai Aminuddin ada 17 Adun, berbanding pihak lawan 19 wakil rakyat.

Pada sifir demokrasi, kerajaan PH-BN Negeri Sembilan sudah tidak wujud lagi. Ia juga diakui pemerhati politik Dr Jamaie Hamil dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Baginya kerajaan negeri Negeri Sembilan sudah runtuh kerana tidak mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

“Dari segi teori sepatutnya kerajaan sudah tumbang dan bermakna tiada lagi menteri besar di Negeri Sembilan. Namun mungkin yang akan berlaku selepas ini adalah perundingan semula,” katanya seperti dilapor laman berita.

Sebaliknya Aminuddin dilapor memberitahu setakat ini kerajaan pimpinannya berjalan seperti biasa bagi memastikan keperluan rakyat didahulukan.

“Setakat ini, saya tak ada bincang dengan 14 Adun BN yang menarik sokongan. Saya juga belum ada maklumat lagi dakwaan ada Adun Umno nak rujuk,” katanya kepada media pada sidang media pasca mesyuarat Exco hari ini.

Pelik kan. Hari ini bermakna sudah tiga hari kerajaan pimpinan Aminuddin hilang majoriti. Mungkinkah menteri besar PH-BN itu masih mahu menunggu fatwa daripada pimpinan utama PH. Mereka dikatakan masih berunding dengan Presiden Umno Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pusingan U

Ekoran rundingan itu muncul desas-desus ada Adun Umno mahu u-turn. Lapor media empat Adun BN disebut buat pusingan U. Isunya apakah Ketua Umno Negeri Sembilan Dato’ Seri Jamaluddin Alias tidak mendapat isyarat awal dari Zahid sebelum mengumumkan menarik sokongan terhadap Aminuddin.

Tidak lojik isu yang begitu besar tidak dirunding dengan presiden Umno. Atau kemungkinan kedua, Zahid u-turn selepas ‘diserbu’ pemimpin PH dan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Gambar pertemuan Anwar; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Zahid dan Dato’ Seri Saifuddin Nasution sudah beredar di alam maya. Tidak pula kelihatan Presiden Amanah, Dato’ Seri Mohamad Sabu. 

Mungkinkah ekoran pertemuan pemimpin utama PH-BN, maka muncul khabar angin ada empat Adun BN mahu berpatah balik. Sekiranya maklumat itu ada asasnya, di mana mahu diletak maruah Pengerusi Umno Negeri Sembilan.

Pada 24 Ogos 2023 Jalaluddin yang juga Adun Pertang dilantik Exco kanan kerajaan negeri. Turut dilantik sebagai anggota Exco mewakili BN iaitu Adun Senaling, Ismail Lasim, Mustapha Nagoor (Palong) dan Faizal Ramli (Linggi).

DAP dan BN masing-masing mempunyai empat wakil dalam saf Exco, manakala dua lagi dari PKR iaitu Noorzunita Begum Abdullah (Pilah) dan Tengku Zamrah Sulaiman (Ampangan).

Pada PRN 12 Ogos 2023, PH memenangi 17 kerusi, BN (14) dan Perikatan Nasional (5). Dun Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi.

PH memenangi kerusi Dun Chennah, Klawang, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Sikamat, Ampangan, Pilah, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Chuah, Lukut, Sri Tanjung dan Repah.

BN pula menguasai Dun Pertang, Sungai Lui, Palong, Jeram Padang, Lenggeng, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Johol, Chembong, Rantau, Kota, Linggi dan Gemencheh.

Biarpun kemungkinan wujud u-turn dalam kalangan Adun BN bagi mengekalkan kerajaan PH-BN, namun bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru. Retak sudah membawa belah.

Sertai PN

Di sebaliknya kemelut politik melanda PH-BN, PN pula terus mara bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor tidak lama lagi. PN diperkukuhkan dengan penyertaan Parti Pejuang Tanah Air, Berjasa, Parti Iman serta Putra. Parti terbabit telah menghantar surat permohonan kepada gabungan tersebut.

Timbalan Pengerusi PN Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu ada yang berulang kali membuat permohonan termasuk Pejuang, Berjasa, Parti Iman dan yang terbaru Putra.

Selain itu, Parti Keluarga Malaysia turut mengemukakan permohonan untuk menyertai PN. Bagaimanapun setakat ini katanya permohonan yang diterima hanya melibatkan parti-parti dari Semenanjung Malaysia.

“Tiada sebarang permohonan diterima daripada parti politik di Sabah dan Sarawak. Di Sabah dan Sarawak tak ada parti yang mohon setakat ini,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *