Serantau

Di Bangkok terdapat 4 sekolah pondok

Oleh Aslani M |

LEBIH 100 tahun lalu Masahhat Ud Deen 2 hanya bermula dengan sebuah balai sebagai tempat belajar agama. Ketika itu penduduk Melayu yang tinggal di Bangkok, Thailand menghantar anak belajar agama di balai berkenaan.

Bangunan balai dibina daripada kayu dengan atap zink. Balai tersebut turut dilengkapi tempat tidur. Balai itu dibina di tengah-tengah masyarakat Siam di Thanon Rat Phatthana, Saphan Sung, Bangkok.

Sekolah pondok terbabit diasas seorang penduduk tempatan, Cher Samai Ibrahim yang berasal dari Narathiwat. Selepas mendapat sambutan masyarakat Islam tempatan, balai tersebut diperbesarkan sedikit demi sedikit bagi menampung pertambahan pelajar.

Namun, sekarang segalanya sudah jauh berubah. Balai yang serba usang hari ini bertukar menjadi bangunan dua tingkat, tempat pelajar mendalami ilmu agama.

Di tingkat atas turut disediakan surau dan kelas pengajian kitab. Sebuah dewan terbuka dibina di hadapan bangunan dua tingkat. Selain itu terdapat rumah pengasas sekolah agama tersebut yang sudah diubahsuai.

Terdapat padang yang agak luas bagi membolehkan pelajar beriadah pada waktu petang. Turut disediakan peralatan senaman.

Di bahagian belakang terdapat rumah tetamu dua tingkat dan deretan pondok kediaman pelajar. Lebih istimewa lagi terdapat kolam tempat pelajar mandi manda.

Persekitaran kawasan pondok kediaman pelajar kelihatan bersih. Pelajar boleh berenang sambil mandi di kolam tersebut. Terdapat juga kediaman pelajar dua tingkat tidak jauh dari situ.

Di sebelahnya pula terdapat rumah panjang yang juga menempatkan pelajar. Kawasan pondok tersebut seluas tujuh rai (tiga ekar).

Sekolah pondok tersebut agak terlindung dari jalan utama kerana terletak di belakang sebuah stesen minyak. Laluan masuk ke pondok tersebut terpaksa melalui tepi stesen minyak terbabit.

Tengah Kota Bangkok

Kedudukan sekolah Masahhat Ud-Deen begitu strategik kerana terletak di tengah Kota Bangkok. Harga tanah di kawasan berkenaan sekarang sekitar 10 juta baht satu rai. Satu rai bersamaan 0.4 ekar.

Penempatan di sekitar pondok tersebut didiami lebih 10,000 penduduk Muslim, di mana sebahagian besar datuk nenek mereka berasal dari Selatan Thailand.

Mudir pondok terbabit Ustaz Umar Hamdan memberitahu sekolah itu bermula hanya beberapa orang pelajar kira-kira 100 tahun lalu, kini bertambah kepada 500 pelajar. Malah ramai lagi pelajar memohon untuk belajar di sekolah agama tersebut, namun kekangan asrama bagi menempatkan pelajar baharu.

“Pelajar datang dari seluruh Thailand. Ada juga yang berasal dari Selatan Thailand datang belajar di pondok ini. Ada dalam kalangan mereka juga melanjut pelajaran di institusi pengajian tinggi yang terdapat di Bangkok.

“Pelajar terbabit belajar di pusat pengajian tinggi pada hujung minggu. Pada hari Sabtu dan Ahad sekolah agama ini cuti. Ada pelajar yang memanfaatkan cuti hujung minggu dengan menghadiri kelas di institusi pengajian tinggi yang terdapat di Bangkok. Mereka belajar secara sambilan pada hari minggu,” katanya ketika ditemui Sabtu lepas.

Pada hari berkenaan sekolah agama tersebut cukup bertuah kerana menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan rombongannya sempena perhimpunan alumni pelajar Kelantan.

Ramai ulama dan guru agama yang tinggal di Bangkok pernah belajar di sekolah agama dan pondok di Kelantan, mereka berhimpun sempena program berkenaan. Sempena kunjungan tersebut juga Menteri Besar Kelantan menyampaikan sumbangan kepada sekolah berkenaan. Turut diadakan jamuan tengahari.

Ramai guru yang mengajar di sekolah terbabit juga mendalami ilmu agama di Pondok Pasir Tumboh, Kelantan dan pondok di Patani. Sekarang terdapat 20 guru yang berkhidmat di sekolah terbabit. 

Ustaz Umar berkata, sekolah terbabit melahirkan ramai ulama yang kini berbakti kepada masyarakat di Bangkok dan seluruh Thailand.

Menurutnya ramai pelajar lepasan sekolah agama tersebut melanjut pelajaran ke pondok di Patani, Universiti Al Azhar, pusat-pusat pengajian tinggi di Timur Tengah, pesantren di Indonesia dan pusat pengajian pondok di Malaysia.

“Sebelum ini ramai pelajar dari Kempuchea datang mendalami ilmu agama di sini, namun sekarang sudah berkurangan kerana masalah kewangan.

“Setiap pelajar dikenakan yuran sebanyak 1,000 baht untuk tempoh enam bulan,” katanya yang pernah mendalami ilmu agama di Pondok Pasir Tumboh, pondok Besut, Terengganu dan Mekah. Pembelajaran di Masahhat Ud-Deen hanya menekuni kitab-kitab agama dan tidak ada pembelajaran akademik.

Minum teh

Sekolah agama itu juga mengadakan majlis minum teh setiap tahun bagi memunggut derma daripada orang ramai untuk mengisi tabung dana pengurusan.

Kata Ustaz Umar, program minum teh diadakan dua hari dianjur sekolah terbabit setiap tahun. Tahun ini dianjurkan program minum teh sambil menderma pada Februari lepas. Sambutan begitu menggalakkan.

“Kebiasaannya pada program itu kita berjaya memunggut antara 5 hingga 6 juta baht. Wang tersebut digunakan untuk pengurusan sekolah termasuk membayar gaji guru, bil elektrik dan pelbagai lagi,” ujarnya.

Menurutnya hasil sumbangan orang ramai boleh dimanfaatkan bagi mengurus sekolah sepanjang tempoh setahun. 

Ustaz Umar juga memberitahu perancangan sekolah pondok itu pada masa hadapan membina asrama bagi menampung pertambahan pelajar. Kata beliau asrama pondok yang ada sekarang hanya dapat memuat 500 pelajar menyebabkan permohonan pelajar baharu terpaksa ditangguh.

“Sekiranya dana mencukupi bangunan asrama akan dibina berdekatan dengan pondok pelajar yang ada sekarang,” katanya.

Ustaz Umar juga tinggal kawasan sekolah yang terletak di laluan masuk. Rumah dua tingkat tersebut kelihatan sedang diubahsuai.

Selain Masahhat Ud-Deen terdapat tiga lagi sekolah pondok seumpama itu yang terdapat di Bangkok. Madrasah Latifuddin yang juga dikenali sebagai Pondok Ta’it merupakan institusi pengajian Islam yang terbesar di Bangkok.

Terletak di daerah Ta-et, Nonthaburi, kawasan Metropolitan Bangkok. Sekolah aliran pondok dan akademik itu mempunyai 2,800 pelajar. Seramai 2,500 pelajar belajar akademik dan 300 pelajar lagi menuntut ilmu secara berkitab.  

Sekolah tersebut dibangunkan di lembangan Sungai Chao Phraya di kawasan seluas 29 ekar. Semua sekolah pondok terbabit diurus secara persendirian dan mendapat kebenaran kerajaan Thailand.

Sebelum ini tidak ramai mengetahui di Kota Bangkok juga ada pusat pengajian pondok seperti di Patani. Cuma membezakan bangunan sekolah lebih moden dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *