Selatan Thailand terus bergolak

Oleh A Alis Surya |
USAHA damai di selatan Thailand melalui banyak kali proses rundingan, namun masih dibayangi kekecewaan dalam kalangan banyak pihak.
Keganasan dan sabotaj menjadi sebahagian daripada sebab berlaku kegagalan tersebut. Penafian hak dan ketidakadilan terhadap kaum Melayu Muslim menjadi pertikaian yang tidak pernah reda.
Agensi melaporkan, sejarah panjang konflik di wilayah selatan Thailand berakar daripada penggabungan wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Sanggoro ke dalam kerajaan Siam pada abad ke-19.
Penduduk Melayu Muslim majoriti mendiami wilayah tersebut berasa terpinggir akibat dasar asimilasi kerajaan yang menekan identiti budaya dan agama mereka.
Kekacauan mula tercetus dengan lebih ketara pada awal 2000-an apabila kumpulan pemisah seperti Barisan Revolusi Nasional (BRN) mula melancarkan serangan bersenjata terhadap anggota keselamatan dan institusi kerajaan.
Pihak kerajaan beberapa kali cuba mengadakan rundingan damai dengan kumpulan pemisah, di mana Malaysia bertindak sebagai orang tengah. Namun, usaha tersebut menemui jalan buntu kerana ketidakyakinan kedua-dua pihak.
BRN, sebagai kumpulan pemisah paling berpengaruh masih berkeras mahukan autonomi penuh bagi wilayah selatan, ia dianggap sebagai tuntutan yang sukar diterima oleh Bangkok.
Selain itu, perpecahan dalam kalangan kumpulan militan turut merumitkan proses perundingan dengan sesetengah kumpulan yang menolak sebarang bentuk damai.
Ketidakstabilan

Ketidakstabilan politik di Thailand juga menjadi faktor utama mengapa konflik sukar diselesaikan. Kerajaan Thailand sering mengalami perubahan pucuk pimpinan, menyebabkan dasar terhadap wilayah selatan berubah-ubah.
Rundingan yang dimulakan kerajaan sering kali terbengkalai apabila berlaku pertukaran kepimpinan sehingga mengakibatkan usaha damai tidak mencapai kejayaan yang mampan.
Penganalisis keselamatan berpendapat penyelesaian jangka panjang konflik terbabit memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial.
Salah satu langkah yang boleh diambil iaitu memberi lebih banyak kuasa autonomi kepada wilayah selatan bagi membolehkan penduduk tempatan mengurus pentadbiran mereka sendiri.
Dalam situasi semasa, keamanan di selatan Thailand masih jauh daripada menjadi kenyataan. Walaupun terdapat beberapa inisiatif ke arah perdamaian, peristiwa sabotaj seperti letupan bom menunjukkan keganasan belum berakhir.
Selagi tuntutan masyarakat Melayu tidak diambil serius dan dasar kerajaan tidak mengalami perubahan drastik, ketidakstabilan dijangka akan terus berlarutan.
Persoalannya sekarang adakah Bangkok bersedia untuk mengubah pendekatan dan memberi ruang kepada wilayah selatan untuk menentukan masa depannya sendiri?
Atau adakah konflik tersebut terus membayangi wilayah selatan dengan lebih banyak pertumpahan darah pada masa hadapan?Jawapannya belum jelas, tetapi tanpa penyelesaian politik yang menyeluruh, keamanan kekal sebagai impian yang sukar dicapai.
Sejarah

Puak pemisah berjuang menuntut empat wilayah iaitu Narathiwat, Yala, Pattani dan Sanggora (Songkhla) majoriti penduduk Melayu Muslim.
Wilayah terbabit sebahagian daripada kerajaan Kesultanan Patani yang diserahkan kepada Thailand dalam Perjanjian Bangkok 1909 oleh British.
Antara gerakan puak pemisah yang lain termasuk Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP), Gerakan Islam Patani (GIP) dan beberapa lagi pertubuhan kecil.
Insiden terbaharu berlaku serangan membabitkan enam anggota polis di perbatasan Thailand, di mana dilaporkan ada yang cedera dan dua lagi parah. Peristiwa itu berlaku selepas serangan bom di pinggir jalan yang disusuli dengan tembakan oleh kumpulan bersenjata di Yala baru-baru ini.
Petugas keamanan setempat menjelaskan peristiwa serangan tersebut terjadi di daerah Thanto ketika petugas sedang melakukan rondaan menggunakan kenderaan.
Kumpulan penyerang misteri mengaktikan alat peledak rakitan yang ditanam di tepi jalan raya. Serangan bom menggoncangkan kenderaan petugas, dan berlaku tembakan menggunakan senjata api.
Tragedi Tak Bai

Tragedi berdarah Tak Bai pada 20 Oktober 2004, seolah-olah sukar dilupakan kerana sehingga kini mereka yang bertanggungjawab mengakibatkan 78 nyawa penduduk Melayu Islam terkorban masih lagi bebas.
Ekoran Tragedi Tak Bai membawa kepada penahanan 1,370 penduduk Melayu Islam di sebuah kem ketenteraan. Ia berlaku ketika pemerintahan Thaksin Shinawatra.
Oleh yang demikian, kebenaran terhadap pencabulan hak asasi manusia semasa insiden Tak Bai harus diakui secara rasmi. Pihak berkuasa Thailand perlu mengesahkan keputusan dikeluarkan Mahkamah Narathiwat, seterusnya mengambil langkah tegas.
BRN menuntut komuniti Islam berkaitan peristiwa Tak Bai dipenuhi kerana peristiwa hitam itu menjadi prasyarat membina keyakinan kepada rundingan pihak berkonflik di selatan Thailand.
Malah, tragedi yang berlaku pada Ramadan 2004 kini diperingati setiap tahun oleh penduduk Islam di selatan Thailand sebagai sejarah hitam.

Pergolakan yang berlarutan sekian lama itu menjejaskan kehidupan penduduk di selatan Thailand terutamanya dari sudut ekonomi. Selain itu aspek keselamatan turut menghantui penduduk untuk menjalani aktiviti harian mereka.
Kesannya ramai anak muda tempatan berhijrah mencari pekerjaan di Malaysia. Sedangkan selatan Thailand sebuah kawasan yang kaya dengan hasil pertanian, perladangan, ternakan, perlombongan dan pelbagai lagi.
Kekayaan hasil bumi tidak dapat dimanfaat sepenuhnya penduduk kerana diskriminasi Bangkok serta suasana yang tidak aman. Keadaan itu menjejaskan sumber ekonomi rakyat. Konflik yang berlarutan dilihat sebagai simbol persoalan ketidakadilan dan kelemahan sistem keadilan yang masih membelenggu wilayah berkenaan.
Usaha ke arah perdamaian harus dilakukan secara serius oleh semua pemegang taruh sebagai manifestasi untuk terus mencari kebenaran dan mewujudkan keamanan berkekalan di Patani dan wilayah selatan.
Walaupun selatan Thailand kaya dengan warisan budaya, namun ia kekal sebagai kawasan paling terpinggir dari segi ekonomi dan keselamatan di Thailand.

Kemiskinan secara berterusan dan penafian pengiktirafan budaya serta peminggiran politik mencetuskan rungutan yang berlarutan sehingga sekarang.
Konflik kekerasan etnik di selatan Thai bersifat kompleks dan ia memerlukan pendekatan integratif untuk menganalisis penyebab dan dinamika yang terjadi. Selatan Thailand terus bergolak kerana wujud kepentingan elit lokal untuk mempertahankan kekuasaan politik dengan melakukan asimilasi dan sentralisasi.
