Umno ‘impi’ jawatan MB di Negeri Sembilan

Oleh M Faqih |
HAMPIR tiga tahun lalu, enam negeri mengadakan pilihan raya negeri (PRN) secara berasingan. PRN terbabit diadakan pada 12 Ogos 2023 membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Tiga negeri tersebut di bawah Perikatan Nasional (PN) dan tiga lagi di bawah Pakatan Harapan (PH). Dan berdasar perkembangan semasa, kemungkinan situasi serupa akan berulang semula.
Kali ini kemungkinan besar empat negeri akan mengadakan pilihan raya serentak. Sedangkan sebelum ini Negeri Sembilan tidak termasuk dalam senarai keperluan PRN kerana tempoh penggal ke-15 masih tiga tahun lagi, namun kerana pergolakan politik dalaman, negeri terbabit juga terjerat sama.
Penggal Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak sekarang akan berakhir pada 18 Disember 2026. PRN12 terakhir di Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021.
Penggal Dun Melaka ke-15 juga dijadualkan berakhir pada 30 Disember 2026. Kedua-dua negeri terbabit perlu mengadakan pilihan raya tahun ini.
Manakala penggal ke-15 Dun Johor juga akan berakhir dalam tempoh yang tidak jauh dengan Melaka dan Sarawak. Penggal Dun Johor sekarang dijangka berakhir pada April 2027.
Bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan untuk mengurus pilihan raya, kemungkinan tiga negeri terbabit boleh mengadakan PRN serentak. Namun, situasi politik yang semakin membengkak di Negeri Sembilan membolehkan negeri itu juga disenarai dalam kelompok sama.
Ulangi krisis Melaka
Krisis dalam politik kerajaan Madani di Negeri Sembilan mengulangi episod yang pernah berlaku di Melaka sebelum ini.
Pembubaran DUN Melaka ekoran krisis politik dalaman yang berlaku. Antaranya perebutan jawatan Ketua Menteri, perebutan projek pasir, ‘Ketua Menteri Boneka’ dan pelbagai lagi. Krisis politik Melaka yang berlaku pada Oktober 2021 memuncak apabila Ketua Menteri, Dato’ Seri Sulaiman Md Ali membubarkan Dun selepas hilang sokongan majoriti.
Empat Adun menarik sokongan terhadapnya. Adun terbabit iaitu Dato’ Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Dato’ Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Dato’ Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Dato’ Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Sebelum itu kerajaan Melaka yang diterajui Barisan Nasional (BN) diwakili 17 Adun, di mana 14 mewakili Umno, dua (Bersatu) dan satu Bebas.
Pembangkang pula mempunyai 11 kerusi iaitu DAP tujuh Adun, PKR (2) dan Amanah (2). Dan apabila empat Adun menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, di mana kerajaan susut kepada 13 kerusi.
Ekoran kerajaan BN hilang majoriti, Ketua Menteri mengambil langkah memohon membubarkan Dun bagi mendapat mandat baharu. Keadaan yang berlaku di Melaka berulang semula hari ini di Negeri Sembilan.
Pada 27 April lalu, 14 Adun Umno mengumum menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun. Apabila 14 Adun menarik diri, jumlah kerusi kerajaan susut kepada 17 Adun, berbanding pihak lawan 19 wakil rakyat.
Pada peringkat awal blok BN-Perikatan Nasional (PN) mempunyai 19 kerusi, namun pada perkembangan terbaharu dua Adun Bersatu mengambil sikap berkecuali. Dun Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi. Biarpun berlaku beberapa kali pusingan U (u-turn) Umno, namun kemelut politik di Negeri Sembilan semakin rumit.
Maka jalan terbaik Dun Negeri Sembilan perlu dibubar bagi mendapat semula mandat rakyat, seperti yang berlaku di Melaka hampir lima tahun lalu.

Isyarat PRN Negeri Sembilan tidak mampu disembunyikan lagi apabila pemimpin PH secara terbuka membuat kenyataan sedia menghadapi PRN.
Malah, abang besar PH iaitu DAP telah mengarahkan jentera parti itu bersiap siaga menghadapi kemungkinan PRN mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilapor berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti terbabit.
“Langkah itu diambil sebagai persediaan awal sekiranya Dun di tiga negeri dibubarkan dalam masa terdekat,” katanya pada satu kenyataan.
Selepas mendapat ‘fatwa’ di peringkat tertinggi, Umno dikatakan kekal menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan, namun keputusan tarik balik sokongan kepada Aminuddin kekal.

Usul tidak percaya
Sebuah laman berita pula melaporkan kemungkinan Adun Umno akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Aminuddin di Dun, juga mengulangi episod serupa di Perak pada 4 Disember 2020.
Ketika itu Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperolehi sokongan majoriti Adun. Usul undi percaya terhadap Faizal hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 tidak menyokong dan satu berkecuali.
Usul dibawa Adun Barisan Nasional Pengkalan Baru Dato’ Abd Manap Hashim. BN mengimpikan jawatan MB kerana parti itu mempunyai bilangan Adun paling ramai. BN mempunyai 25 Adun, Bersatu (5), PAS (3), DAP (16), PKR (3), Amanah (5), Gerakan dan Bebas masing-masing satu.
Buat masa sekarang Aminuddin disebut dititah untuk terus menjalankan tugas seperti biasa sehingga ada keputusan muktamad. Kerajaan PH-BN di Negeri Sembilan nampaknya hanya bertahan sementara selepas Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan mahu kerajaan yang ada sekarang dipertahan.
“Majlis Perundingan Pimpinan Umno-PH mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Majlis Perundingan Pimpinan Umno-PH juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan,” kata satu kenyataan. Kenyataan itu dikeluarkan Setiausaha Agung PH Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung Umno Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Namun, kenyataan bersama itu tidak meredakan kemelut kerana kesepatan hanya kelihatan di pusat dan bukan di peringkat negeri.

