Identiti negeri di sebalik ‘hab penternakan babi’

Oleh Salmah Mat Husain & Aslani M |
SEKIRANYA budaya melontar pandangan secara terbuka terhadap institusi diraja terus dinormalisasikan, dibimbangi semangat menghormati institusi terbabit akan terhakis.
Namun, perkembangan mutakhir menyaksikan pandangan institusi diraja mula diperdebatkan secara terbuka sehingga mencetuskan polemik awam.
Sedangkan Malaysia dibina atas kerangka Raja Berperlembagaan dan prinsip ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ dalam Rukun Negara perlu terus dihayati sebagai asas perpaduan rakyat.

“Budaya mempertikai institusi raja tidak wajar dibiarkan kerana institusi diraja sebagai payung perpaduan kaum di negara ini. Perbezaan pandangan sepatutnya diurus dengan penuh hikmah, bukan dijadikan polemik awam,” kata Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah pada kenyataan semalam.
Baru-baru ini pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki dilapor tidak sehaluan dengan titah Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi.

Berikutan itu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilapor berkata, parti itu akan mempertahankan hak wakil rakyat bersuara ‘tanpa mengira akibat’.

Seorang peguam Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar menyifatkan pendirian Sultan Selangor dalam isu ternakan babi tidak boleh disalahertikan sebagai suatu bentuk campur tangan yang bercanggah dengan prinsip Raja Berperlembagaan.
Pada awal tahun ini kerajaan Selangor pada kenyataan akan melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor sebagai langkah strategik jangka panjang.
Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Dato’ Izham Hashim, langkah itu bagi memastikan industri ternakan babi diurus secara lebih bersih, tersusun dan moden.
112 ladang

Kata beliau sementara projek di Bukit Tagar disiapkan, kerajaan negeri membenarkan penternak sedia ada di 112 ladang di Tanjung Sepat untuk tempoh tiga tahun sebelum dipindahkan.
Sebanyak 112 ladang ternakan babi yang beroperasi di Selangor melibatkan anggaran 100,000 ekor khinzir. Tapak di Bukit Tagar meliputi kawasan seluas kira-kira 500 ekar.

Kenyataan kerajaan Selangor itu mengundang kekecewaan Sultan Sharafuddin. Baginda tidak bersetuju dengan perancangan membenarkan aktiviti penternakan babi di Tanjung Sepat sebelum pemindahan ke Bukit Tagar pada 2030.
Mohd Amar turut mengingatkan kerajaan dan semua pihak lebih beradab dalam menangani perbezaan pandangan yang membabitkan institusi diraja demi menjamin kestabilan hubungan dalam sistem bernegara.
Beliau turut menegaskan tidak ada mana-mana negeri Melayu Islam di negara ini mahu dikenali sebagai hab industri penternakan babi berskala besar kerana ia melibatkan identiti negeri serta sensitiviti masyarakat.
“Perkara ini melibatkan identiti negeri dan sensitiviti masyarakat. Kegagalan mengurus perbezaan pandangan secara berhikmah boleh merosakkan sendi kekuatan negara serta menghakis rasa hormat masyarakat terhadap kedaulatan Raja-raja Melayu. Saya berharap semua pihak memberi perhatian serius terhadap perkara ini,” katanya.
