Teori kerajaan sepenggal semakin nyata

Oleh M Faqih |
SUDAH beribu kali pemerhati politik menyebut orang Melayu tidak berpadu seperti kaum lain. Jauh berbeza ketika melawan penjajah sebelum 1957. Pemimpin Melayu ketika itu bersatu di bawah bumbung Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuh pada 1945.
Bukan sahaja dalam bidang perniagaan, malah lebih teruk lagi di gelanggang politik. Orang Melayu mudah dirasut dengki dalam perniagaan. Tidak boleh tengok kedai sebelah maju sedikit. Sedangkan kaum Cina ada persatuan yang sering membantu apabila ada ahli terjejas dalam perniagaan.
Orang Melayu juga boleh dinobat sebagai juara mencipta parti politik. Sedangkan parti milik kaum lain tidak banyak. Orang Melayu ada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Melayu Semangat 46, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Amanah Negara (Amanah).
Selain itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) kemudian dijelma sebagai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

Sedangkan asas parti Melayu di negara ini hanya dua iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang diitubuhkan pada 1946, kemudian diikuti Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada 1951.
Dan terkini lahir pula satu lagi parti politik juga dipelopori orang Melayu. Parti Bersama Malaysia (Bersama) kini dikendalikan Dato’ Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Parti yang tidak dikenali itu didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang dan diasas oleh Tan Gin Theam.
Seorang pengamat politik, Amin Mubarak menggambarkan apa yang berlaku itu sebagai kelelahan politik khususnya melibatkan anak muda. Beliau cuba melihat politik kehilangan elemen harapan dan pembaharuan.
“Pada saya, ia bukan sekadar soal menubuhkan sebuah parti baru, tetapi satu cubaan membina naratif, budaya dan arah politik yang berbeza daripada kebiasaan,” katanya kepada sebuah laman berita.
Penyatuan

Ketua Penerangan Bersatu, Dato’ Tun Faisal Ismail Aziz pula menyifatkan sejarah politik Malaysia menunjukkan penyatuan politik Melayu-Islam sebagai prasyarat untuk kestabilan negara.
Manakala perpecahan membawa kepada kelemahan kuasa, kerugian agenda dan keterancaman kedudukan Islam dan Ummah.
“Selagi politik Melayu-Islam terus berpecah kepentingan Melayu-Bumiputera akan terhakis, kedudukan Islam akan menjadi defensif dan masa depan ummah dalam negara ini berada dalam keadaan tidak menentu.
“Penyatuan tidak boleh lagi bersifat sementara, elitistik dan oportunis. Ia mesti dibina atas prinsip Islam, kepentingan ummah, budaya politik berinstitusi dan kesedaran bahawa perpaduan adalah syarat kelangsungan kuasa, maruah dan kedaulatan Melayu-Islam di Malaysia,” katanya.
Berdasar hujah tersebut tunggak ideologi politik orang Melayu di Malaysia boleh dikategori tiga elemen utama iaitu nasionalisme, Islamisme dan sosialisme atau demokrasi sosial.

Ideologi nasionalisme memfokus mempertahan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan hak istimewa Melayu. Aliran utama jalur tersebut antaranya Umno. Islamisme pula memperjuangkan pemerintahan yang berteraskan nilai-nilai Islam dan mendahulukan agenda kesatuan ummah. PAS merupakan parti utama yang merintis ideologi tersebut.
Manakala jalur sosial demokrasi berteras keadilan ekonomi, pembasmian kemiskinan merentasi kaum dan tadbir urus yang bersih. Aliran tersebut dibawa PKR, Bersatu dan Amanah.
PKR juga dilihat lebih dekat dengan jalur liberal. Prof Madya Dr Takiyuddin Ismail dan Mohd Aziz Jaeh mendapati golongan reformasi yang menggerakkan PKR lebih berkiblat kepada liberal, sosialis dan Islamis.
Isunya Parti Bersama Malaysia memilih jalur mana? Banyak parti di negara ini memilih jalur nasionalisme dan sosial demokrasi bagi memeriahkan segmen politik.
Bagaimanapun parti yang berteras nasionalisme dan sosial liberal lebih mudah terdedah kepada pergolakan dalaman. Namun, ia tidak dinafikan turut melibatkan parti berideologi Islamis.
Krisis PKR
Paling ketara yang berlaku sekarang menimpa PKR apabila berlaku perpecahan dalaman sehingga melahirkan Parti Bersama Malaysia.

Tokoh wartawan veteran Dato’ A Kadir Jasin menggambarkan bukan saja PKR tidak bertambah kuat sejak pilihan raya umum (PRU) 2022, sebaliknya terus dilanda perpecahan biarpun ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim berada di kerusi Perdana Menteri.
“Sama ada PRU ke-16 akan diadakan secara mengejut atau mengikut jadual, harapan PKR dan Pakatan Harapan (PH) memperbaiki kedudukan adalah kabur,” katanya pada lontaran di laman sosialnya.

Perpecahan PKR turut dilebarkan lagi apabila Ketua Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan, Asheeq Ali Sethi Alivi dilapor mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta. Asheeq menyertai PKR selepas kejatuhan kerajaan PH pada 2020.
“Pada awalnya saya masih cuba menyesuaikan diri dengan haluan parti, namun akhirnya terhimpit antara idealisme perjuangan dan pendekatan pragmatisme baru yang semakin menebal dalam PKR.
“Banyak keputusan yang diambil oleh kerajaan pada hari ini menyimpang daripada asas perjuangan yang saya percaya sejak zaman aktivisme saya dahulu sehingga kini,” katanya di laman sosialnya.
Sebelum itu pada 12 Mei lalu, lapan pemimpin Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) juga keluar PKR atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar.
Tun Faisal mendedah krisis antara Rafizi dan Anwar bermula sejak pemilihan PKR 2022 kerana didakwa berlaku penyelewengan sistem undi elektronik.
Namun, ketika itu Rafizi menang sebagai Timbalan Presiden dengan membawa agenda pembaharuan dan ketelusan. Dan selepas pembentukan Kerajaan Madani perbezaan pandangan antara Anwar dan Rafizi berkisar pula dasar ekonomi dan hala tuju parti.
“Akhirnya pada Jun 2025 Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan menteri, mengakibatkan pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 tertangguh. Dan Julai 2025 sembilan Ahli Parlimen PKR yang pro-Rafizi mengadakan sidang media khas mengkritik kepimpinan parti dan sistem kehakiman,” katanya.

Krisis Anwar-Rafizi mengulangi apa yang berlaku terhadap Dato’ Seri Azmin Ali. Pada Februari 2020 Azmin Ali bersama 10 lagi Ahli Parlimen meninggalkan PKR. Mereka membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.
Kemelut yang berlaku itu membawa kepada kejatuhan kerajaan PH pada Mac 2020. Situasi tersebut boleh berulang semula. Ia akan melengkap teori kerajaan sepenggal seperti dimomok sebelum ini.

