Cuit Oghe Kito

PRN Johor simbolik ‘lafaz cerai’ BN terhadap PH

Oleh M Faqih |

KETIKA Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru 17 Mei lepas begitu bersemangat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mencabar Umno Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Kalau Johor nak lawan 56 Dun, Negeri Sembilan pun kita lawan 36 Dun. Kalau Dun Johor bubar esok, Negeri Sembilan pun boleh bubar esok,” katanya ketika berucap pada konvensyen tersebut.

Dun Johor sudah dibubarkan Isnin lepas. Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dun Johor ke-15 berkuat kuasa 1 Jun lalu. Sudah tiga hari berlalu, namun tiada tanda-tanda Dun Negeri Sembilan juga dibubarkan.

Bagi Pengerusi Bersatu Terengganu Dato’ Razali Idris, skrip Loke mengulangi adegan serupa pernah disebut Pengerusi PH, Dato’ Seri Anwar Ibrahim beberapa tahun lepas.

Kata Anwar ketika kempen PH ‘Menang hari ini, esok turun harga minyak’. “Itu janji Presiden PKR suatu ketika dahulu,” ujar Razali.

Taktik sama diulang semula Loke. Bagi anggota Exco Kerajaan Terengganu itu kedua-dua tokoh terbabit seumpama berbohong sebagai ulam nasi!

“Rakyat berhak menilai sama ada kata-kata pemimpin sekadar retorik politik atau benar-benar disusuli dengan tindakan. Pemimpin dinilai bukan pada janji dan slogan, tetapi pada kejujuran serta keberanian menunaikan apa yang diperkatakan,” katanya di laman sosialnya.

Presiden Gerakan, Dato’ Dr Dominic Lau Hoe Chai pula membayangkan pembubaran Dun Melaka dan Negeri Sembilan dijangka menyusul selepas Johor.

“Peluang sentiasa berpihak kepada mereka yang bersedia dan kemenangan milik pasukan yang tidak pernah berputus asa,” ujarnya.

Negeri Sembilan benteng PH

Johor tidak dapat dinafikan sebagai kubu Umno dan Negeri Sembilan pula benteng PH. Ia diakui banyak pihak. Anthony Loke mempunyai pengaruh yang begitu kuat di Negeri Sembilan.

Ketika 14 Adun Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, Loke tiba-tiba muncul mendukung kepimpinan Aminuddin.

Malah, beliau dilapor menegaskan Kerajaan Negeri Sembilan tidak jatuh dan pentadbiran pimpinan Aminuddin diteruskan.

Loke juga memberi isyarat jelas, PH sedia berkonfrontasi dengan Umno. Sedangkan pada prinsipnya kerajaan Negeri Sembilan tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.

Tanpa sokongan 14 Adun Umno, kerajaan negeri tinggal 17 kerusi, manakala pihak lawan pula 19 kerusi apabila dicampur Umno dan Perikatan Nasional (PN). PN mempunyai lima kerusi Dun di mana dua daripada Bersatu dan PAS (3).

Aminuddin benar-benar berada di hujung tanduk selepas lima Adun PN turut  menyatakan kebersamaan dengan kepemimpinan BN menarik sokongan terhadap Aminuddin.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pembangkang dari Bersatu, Mohamad Hanifah Abu Baker ketika sidang media pada 27 April lepas.

Kata beliau lima Adun PN bersedia bekerjasama dengan 14 Adun BN untuk menjamin kestabilan kerajaan negeri dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan. Banyak media massa menggambarkan kerajaan PH-BN Negeri Sembilan jatuh.

Malah, pakar perlembagaan Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof memberitahu Amiruddin hanya ada dua pilihan iaitu membubarkan Dun atau meletak jawatan.

“Kedudukan Aminuddin seperti diumumkan Tuanku Muhriz adalah sementara sebelum keputusan berkaitan kehilangan sokongan majoriti dilakukan,” katanya kepada media.

Namun, malangnya seminggu kemudian dua Adun Bersatu buat pusingan U (u-turn). Inilah adegan yang sering dibiarkan berlaku dalam Bersatu.

Mereka mengambil tindakan mengejutkan apabila mengumumkan bersikap berkecuali pula. Hanifah dilapor mengikut jejak Adun Gemas, Ridzuan Ahmad (Bersatu) tidak lagi menyokong tindakan 14 Adun Umno.

Tindakan flip flop dua Adun Bersatu membolehkan Aminuddin terus bertahan di kerusi Menteri Besar dengan kelebihan satu kerusi. Aminuddin kekal dengan sokongan 17 Adun dan Umno-PAS pula (16 kerusi). Dua Adun Bersatu berkecuali.

Kembali ke pangkuan

Mungkinkah sikap dua Adun Bersatu berubah pendirian ada kaitan dengan pendedahan bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Rafizi Ramli, khabar angin Bersatu mahu kembali ke pangkuan PH.

Rafizi dilapor mendakwa Azmin sering mengadakan pertemuan dengan Anwar. Ahli parlimen Machang Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika mengulas kenyataan Rafizi, mempersoalkan sama ada pertemuan disebut Rafizi dimaklumkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

“Oh, betulkah dakwaan YB Pandan ni berkaitan dengan perjumpaan yang kerap dilakukan seperti dakwa beliau antara PMX dengan Dato’ Seri Azmin Ali?,” ujarnya seperti dilapor laman berita.

Persoalannya mengapa Umno Johor lebih berani berbanding PH Negeri Sembilan. Sedangkan hayat penggal ke-15 Dewan Undangan Negeri Johor sah hingga April 2027.

Bagi wartawan veteran, Dato’ A Kadir Jasin berdasar pandangan mata kasar, tidak nampak ada keperluan yang mendesak bagi membubarkan Dun Johor dan mengadakan PRN lebih awal.

“Kerajaan negeri kuat. Daripada 56 kerusi, Barisan Nasional ada 40 iaitu 33 Umno, 4 MCA dan 3 MIC. Campur 12 kerusi confidence & supply daripada Pakatan Harapan (10 DAP, 1 PKR dan 1 Amanah) jadi 52.

“Pembangkang ciput. Empat kerusi sahaja. Bersatu 2, PAS 1 dan Muda 1. Ditambah sokongan padu Istana Johor, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi adalah harimau tunggal di atas bukit,” catatnya di laman sosial.

Jelaslah dalam situasi sekarang kerajaan PH Negeri Sembilan berada di hujung tanduk. Di manakah maruah Setiausaha Agung DAP mahu membubarkan Dun sebagai cabaran terhadap Umno Johor yang bernekad bertanding solo.

Hujah itu dikuatkan lagi apabila Pengerusi BN, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Mei lalu mengesahkan Umno dan BN hampir pasti bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16.

“Boleh jadi Umno-BN bertujuan menjadikan PRN Johor sebagai alasan melafazkan cerai terhadap PH,” ujar A Kadir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *