Sekolah agama benteng pengaruh Barat di Kota Batam

Oleh Aslani M |
KOTA Batam di Kepulauan Riau Indonesia menjadi pilihan anak-anak muda dari kota lain di Sumatera mencari rezeki. Mereka berhijrah di usia muda bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Kebanyakan mereka bekerja dalam industri pelancongan. Kota Batam menjadi pilihan memandangkan pulau itu kini berkembang pesat. Sektor ekonomi terutamanya pelancong menerima limpahan pelancong dari Malaysia dan Singapura.
Selain itu, kemudahan asas juga semakin berkembang. Jalan raya di kawasan Pusat Pemerintahan Batam di Jalan Jenderal Ahmad Yani dibina sehingga lima lanjur (link) sebelah.
Bangunan-bangunan baru dalam pembinaan boleh dilihat di sana sini terutamanya di Batu Ampar, Nagoya, Batam Centre, Muka Kuning dan Waterfront City. Batam merupakan kota terbesar di Kepulauan Riau dan keempat di wilayah Sumatera selepas Medan, Palembang dan Pekanbaru.

Muka Kuning sedang pesat membangun sebagai kawasan industri. Selain itu Kuang Hwa dan Kabil juga sedang dibangunkan kawasan perindustrian. Manakala Bandar Udara Hang Nadim pula terletak Lapangan Terbang Antarabangsa Batam.
Kota Metropolitan Batam terdiri daripada pulau Batam, Rempang dan Galang yang dihubungkan dengan Jambatan Barelang. Kelebihan Batam kerana lebih dekat dengan Singapura dan Malaysia.
Lebih dekat

Perjalanan menggunakan perkhidmatan feri dari jeti Pasir Gudang hanya mengambil masa sejam setengah. Jarak antara Johor Bahru dengan Batam kira-kira 59 km.
Terdapat tiga terminal feri di Johor Bahru untuk ke Kota Batam iaitu Stulang Laut, Pasir Gudang dan Puteri Harbour, Iskandar Puteri. Terminal Stulang Laut paling sibuk dan paling kerap digunakan pelancong Malaysia untuk ke Batam. Feri yang beroperasi di Stulang Laut iaitu Batam Fast Ferry, IndoFalcon Ferry, Dolphin Ferry, Marine Hawk Ferry, Puteri Anggreini Ferry dan IGS Ferry.
Terminal Feri Pasir Gudang pula menjadi laluan feri Dolphin Ferry, Marine Hawk Ferry dan Puteri Anggreini Ferry. Batam Fast Ferry dan Bintan Resort Ferries pula beroperasi di Terminal Feri Puteri Harbour, Iskandar Puteri.
Bagaimanapun Kota Batam lebih dekat dengan Singapura dengan jarak 39 km. Perjalanan feri hanya mengambil masa kira-kira sejam 8 minit. Kedudukan geografi Kota Batam lebih dekat dengan Malaysia dan Singapura memberi kelebihan kepada pulau itu untuk berkembang dan membangun.

Maka tidak hairanlah ramai perantau dari wilayah lain di Sumatera memilih Kota Batam sebagai tempat mencari rezeki. Antaranya Elfi, 21 sekarang berkhidmat di Hotel Beverly. Katanya beliau berhijrah dari Padang sejak enam bulan lalu bagi mencari rezeki selepas tamat alam persekolahan.
Kata beliau ramai anak muda dari Padang memilih merantau ke Kota Batam kerana menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Lebih mudah mencari kerja di Kota Batam kerana pertumbuhan ekonomi lebih pesat sejak kebelakangan ini. Ramai yang bekerja dalam industri pelancongan terutamanya perhotelan.
“Saya merancang untuk menghabiskan usia muda dengan bekerja di Kota Batam. Saya berusaha mengumpul wang sebelum kembali membina kehidupan di kampung kelahiran di Padang,” katanya ketika ditemui semalam.

Hotel Beverly menjadi tempat penginapan 21 ahli rombongan dari Tumpat, Kelantan yang diketuai Mohd Yasin Yusof. Rombongan terbabit menjejaki beberapa tempat menarik di Kota Batam termasuk Masjid Agung Raja Hamidah, Masjid Tanjak, Masjid Sultan Mahmud Riayat Shah.
Selain itu Jambatan Barelang, Koffie Factory, Masjid Cheng Ho, Blue Fire Pink Beach, Pasar Jodoh dan Kedai Keropok Tiaris. Lawatan tersebut dikendalikan Bantera Kembara Holidays Sdn Bhd.

Sumatera Barat
Elfi juga berkata, Padang merupakan ibu kota dan bandar terbesar di wilayah Sumatera Barat yang terkenal sebagai pusat kebudayaan Minangkabau. Kota Padang terletak di pantai barat pulau Sumatera juga sebagai hab ekonomi dan pintu masuk pelancong ke kawasan tanah tinggi termasuk Bukittinggi. Jarak Kota Padang di Sumatera Barat, Indonesia dengan Batam sejauh 783.4 km.
“Paling ramai pelancong yang datang ke Kota Batam dari Malaysia dan Singapura. Paling ramai datang pada hujung minggu,” ujarnya.
Ketika ditanya pengaruh asing yang mulai menular dalam kalangan anak-anak muda di Kota Batam, kata beliau ia dianggap masih lagi terkawal kerana masih terdapat banyak sekolah agama.

Antaranya Institut Agama Islam Abdullah Said Batam Kampus Utama, Sekolah Tinggi Agama Islam (STAI) Ibnu Sina Batam, Institut Agama Islam Hidayatullah Batam Kampus II, Sekolah Islam Hang Tuah Batam. Selain itu, Yayasan Islam Al-Kahfi Batam, Sekolah Tahfizhul Quran Cahaya Ilmu Batam, Yayasan Ulil Albab Batam, Darul Ulum Al Waliyyah dan Yayasan Pendidikan Islam Mohammad Al-Fateh.
Dengan wujud banyak institusi pendidikan agama, setidak-tidaknya boleh menjadi benteng kehadiran budaya Barat yang semakin membiak di Kota Batam sekarang.
