PAS sedia melangkah ke Putrajaya

Oleh Borhanuddin Ahmad |
PERSOALAN sama ada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) layak memimpin Putrajaya kini bukan lagi sekadar angan-angan politik, melainkan didiskusi secara mendalam bagi membongkar landskap demokrasi Malaysia hari ini.
Memandangkan landskap politik tanah air bersifat dinamik, kelayakan sesebuah parti memimpin kerajaan Persekutuan harus dinilai secara objektif berdasarkan syarat tadbir urus, rekod sejarah, dan tawaran masa depan.
Beberapa kriteria perlu dipertimbangkan sebagai prasyarat prima untuk melayakkan sesebuah parti menuju ke Putrajaya. Ini kerana untuk menggalas tanggungjawab di Putrajaya, sesebuah parti atau gabungan politik tidak boleh sekadar popular, tetapi wajib memenuhi kriteria fundamental antaranya:
1.Sokongan majoriti di Dewan Rakyat

Memenangi kerusi yang mencukupi (minimum 112 kerusi) secara bersendirian atau melalui gabungan yang stabil. Keupayaan memiliki jumlah kerusi yang mencukupi dapat melahirkan kestabilan politik dengan keupayaan membina pakatan antara parti. Kerjasama tersebut turut mencakupi masyarakat majmuk tanpa mencetuskan polarisasi ekstrem.
Kerajaan yang dibentuk perlu mempamerkan tadbir urus bersih dan berintegriti. Paling penting perlu bebas daripada skandal rasuah berskala kecil atau besar demi keyakinan pelabur dan rakyat.
Kerajaan perlu ada kemampuan melahirkan kompetensi ekonomi melalui gandingan teknokrat dengan merumus formula ekonomi yang mampan untuk mendepani cabaran kos sara hidup global.
2. Mengimbas rekod Umno

Sebagai rujukan sejarah, Umno memimpin Putrajaya lebih enam dekad kerana mempunyai rekod kekuatan yang sukar dinafikan. Pemimpin Umno pernah dianggap sebagai arkitek pembangunan negara berdasar keupayaan rekod prestasi (track record) membina infrastruktur moden, menstrukturkan ekonomi daripada pertanian ke perindustrian, dan menguruskan kestabilan makroekonomi.
Keupayaan itu dibantu pengalaman birokrasi yang memiliki jaringan kepimpinan yang mahir tentang selok-belok pentadbiran penjawat awam (civil service).
Berdasar sejarah itu jelas formula perkongsian kuasa melalui Perikatan kemudian Barisan Nasional membolehkan Umno menterjemahkan kestabilan politik melalui kontrak sosial yang diterima pelbagai kaum dalam tempoh yang begitu lama.
Bagaimanapun selepas enam dekad Umno dan BN menerajui negara, parti itu berdepan dengan tamparan hebat apabila gagal mempertahankan Putrajaya pada pilihan raya umum 2018. Kegagalan itu disebabkan beberapa faktor, antaranya.
2.1 Kemerosotan sokongan akar umbi
Meskipun Umno mempunyai rekod sejarah yang panjang sebagai tunjang pentadbiran negara, namun landskap politik hari ini menyaksikan parti keramat Melayu itu mengalami hakisan sokongan yang kritikal di peringkat akar umbi.

Faktor utama yang menyebabkan kegagalan mengekalkan kesetiaan pengundi tradisi termasuk kesan krisis integriti dan persepsi rasuah. Rentetan- rentetan skandal profil tinggi melibatkan pemimpin-pemimpin utama parti itu telah menghakis ‘moral high ground’ terhadap Umno.
Di mata akar umbi, terutamanya generasi muda, Umno dilihat sukar memisahkan diri daripada imej politik elit yang terpalit dengan isu tatakelola dan salah guna kuasa.
2.2 Kompromi jajaran politik baharu
Langkah Umno membentuk jajaran politik pasca-PRU15 dengan menyertai Kerajaan Perpaduan bersama musuh tradisinya, Pakatan Harapan (khususnya DAP), telah mencetuskan ideological shock (kejutan ideologi) di peringkat bawahan.
Slogan keramat seperti ‘No Anwar, No DAP’ yang digenggam pengikut di peringkat akar umbi runtuh apabila ia dilanggar sewenang-wenang oleh pemimpin atasan Umno. Impaknya menyebabkan sebahagian besar ahli merasa dikhianati dan keliru dengan hala tuju perjuangan parti.
2.3 Pembersihan dalaman dan perpecahan kem
Tindakan memecat dan menggantung beberapa pemimpin berprofil tinggi, panglima perang (warlords), serta figura muda yang lantang mengkritik kepimpinan pusat telah melemahkan struktur organisasi parti.
Hal ini menyebabkan sebahagian penyokong tegar pemimpin berkenaan bertindak melakukan ‘protes senyap’ dengan memboikot pilihan raya atau beralih arah.
2.4 Gagal mendepani naratif politik baharu
Umno dilihat masih bergantung kepada formula politik naungan (patronage politics) kuno, sedangkan naratif politik hari ini telah berubah kepada isu ketelusan, ekonomi siber, dan penekanan moral.
Kegagalan menawarkan idea pembaharuan (reformasi dalaman) yang segar menyebabkan pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar melihat Umno bukan lagi wadah tunggal untuk mempertahankan hak mereka.
Kesan kepincangan dan kelonggaran benteng pertahanan Umno telah membuka ruang yang besar kepada parti alternatif menarik sokongan segmen akar umbi yang kecewa mencari wadah baharu.
Mereka mahu kepemimpinan ‘lebih bersih dan berprinsip’. Kerapuhan sokongan terhadap Umno sekali gus memberi kelebihan strategik kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) mengisi ruang dengan merebut sokongan terutamanya pengundi Melayu.
3. Rekod PAS

PAS sekarang bukan lagi parti kedaerahan, tetapi sebuah entiti yang telah diuji dalam pentadbiran moden. Misalnya Kelantan mengekalkan rekod bersih daripada kes rasuah lebih 30 tahun. Ini membuktikan daya tahan politik yang tinggi, dengan fokus kepada model ‘Membangun Bersama Islam’.
Terengganu dan Kedah juga menunjukkan lonjakan dalam pengurusan pelaburan industri dan pembangunan ekonomi tempatan. Pencapaian itu membuktikan PAS mampu menguruskan kekayaan hasil bumi dan negeri jelapang padi.
PAS pernah menganggotai Kerajaan Persekutuan (kabinet) di era Kerajaan Perikatan Nasional (Februari 2020–November 2022) dengan diberi tanggungjawab menerajui portfolio penting seperti Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Sepanjang tempoh itu, menteri-menteri mewakili PAS membuktikan mampu bekerja dalam sistem persekutuan dengan mematuhi kerangka perlembagaan dan mengekalkan integriti tanpa isu salah guna kuasa.
4. Tawaran PAS ke Putrajaya
Apabila PAS menawarkan diri untuk menerajui Putrajaya, parti terbabit perlu tampil dengan naratif baharu yang lebih inklusif dan progresif. Beberapa tawaran perlu diketengahkan secara meluas sebagai daya penarik kepada rakyat antaranya:-
4.1 Saf kepimpinan dinamik
PAS sekarang tidak hanya diwakili oleh golongan agamawan (ulama), tetapi diperkukuh oleh saf kepimpinan profesional termasuk golongan korporat, jurutera, doktor, peguam, ahli akademik dan sebagainya yang sedia menggalas portfolio di peringkat kementerian dan agensi kerajaan.
4.2 Visi jelas dan bersih
Menawarkan model tata kelola berteraskan Siasah Syariyyah yang menekankan keadilan sejagat, ketelusan, dan sifar toleransi terhadap rasuah. Ia sebagai jawapan kepada kegelisahan rakyat yang mahukan penstrukturan semula moral dalam pentadbiran negara.
4.3 Memupuk perpaduan dan kestabilan
Melalui pendekatan ‘Politik Matang dan Sejahtera’, PAS komited untuk menjaga hak kaum-kaum lain berpandukan Perlembagaan Persekutuan. Ketegasan PAS dalam mempertahankan kestabilan politik adalah jaminan bahawa peralihan kuasa atau dasar negara akan dilakukan secara aman dan demokratik.
Kesimpulan

Landskap politik Malaysia tidak sunyi daripada heretan kes mahkamah profil tinggi, di mana hampir kesemua parti utama mempunyai liabiliti tersendiri.
Umno paling sinonim dengan skandal mega seperti kes penyelewengan dana 1MDB dan SRC International yang melibatkan pemimpin utama, di samping kes-kes rasuah pimpinan di pelbagai peringkat.
Bersatu juga tidak terlepas daripada badai undang-undang apabila kepimpinan tertinggi dituduh di mahkamah atas dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana Jana Wibawa.
Manakala PKR pula mempunyai rekod sejarah lampau melibatkan kes-kes salah laku moral dan penyelewengan pimpinan yang pernah menjadi peluru politik pihak musuh.
DAP turut berdepan polemik perundangan yang menguji kredibiliti parti melalui kes salah guna kuasa berkaitan pembelian banglo dan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang yang melibatkan figura utama.
Amanah pula mengalami krisis kepercayaan rakyat kerana hilang identiti dan autonomi politik sejak berada di dalam koridor kuasa. Di mata pengundi khususnya segmen Melayu-Muslim, Amanah dilihat gagal berfungsi sebagai wadah alternatif Islam yang progresif, sebaliknya kerap dikritik sekadar ‘pak turut’ atau pelindung kepada agenda naratif DAP dan Pakatan Harapan.
Ditambah pula ketiadaan impak yang signifikan daripada menteri mewakili Amanah dalam usaha menyelesaikan isu-isu kritikal rakyat seperti kos sara hidup dan keterjaminan makanan menyebabkan parti terbabit berdepan defisit kepercayaan yang semakin parah.
Amanah dilihat semakin hanyut daripada prinsip asal perjuangan demi mempertahankan survival kuasa dan kerusi dalam kerajaan Persekutuan.
Rakyat pilih siapa?

Berdasarkan kebejatan kepimpinan parti-parti terbabit apakah PAS layak mengisi ruang di Putrajaya? Setidak-tidaknya keupayaan PAS mentadbir beberapa negeri dan pengalaman berada dalam kabinet Persekutuan, PAS dianggap mampu memenuhi syarat mengisi ruang di Putrajaya.
Bagaimanapun cabaran utama PAS sekarang untuk meyakinkan pengundi di kawasan bandar dan masyarakat bukan Melayu terhadap ‘Tawaran Putrajaya Baharu’ yang lebih makmur, adil untuk semua, dan kompetitif sehingga ke pentas global.
Keupayaan mengentengahkan saf kepimpinan yang bersih dan dinamik, PAS kini berdiri sebagai pencabar utama untuk melangkah ke era baharu di Putrajaya.
