Serantau

Etnik Rohingya disisih negara Islam

Oleh A Alis Surya |

ETNIK Rohingya dipercayai berasal daripada keturunan pedagang Arab dari abab ke-7 adalah salah satu etnik di Myanmar yang majoriti Muslim (sekitar 8 peratus).

Mereka adalah penduduk di wilayah Takhine (Arakan) di sebelah barat Myanmar yang bersempadan dengan Bangladesh. Warna kulit mereka agak gelap berbanding rakyat Myanmar yang berkulit cerah.

Kebanyakan bermastautin di Maungdaw, Buthidaung, Akyab, Rathedaung dan Kyauktaw. Etnik Rohingya perawakan dan bahasa mereka hampir sama dengan penduduk Bangladesh. Sejak Myanmar diperintah oleh junta tentera pada tahun 1978, etnik Muslim Rohingya menjadi mangsa penindasan yang dahsyat.

Myanmar adalah negara majoriti penduduknya beragama Buddha (85 peratus), minoriti Kristian (4.5 peratus) dan Hindu (1.5 peratus), sebahagian besar tinggal di luar bandar. Populasi Muslim terbesar ialah Rohingya (3.5 peratus). 

Sejak puluhan tahun dahulu, ratus ribu etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh disebabkan kekejaman junta tentera Myanmar dan penganut Buddha terhadap mereka.

Selain Bangladesh, mereka juga melarikan diri ke Pakistan, Arab Saudi, UAE, Thailand dan Malaysia untuk berlindung. Sebahagian besar mereka masih berstatus pelarian sehingga kini.

Penolakan Bangladesh dan negara Muslim lainnya menyebabkan kaum Rohingya dipaksa kembali semula ke Myanmar. Nasib mereka bertambah malang. Pada tahun 1982 pemerintah junta tentera Myanmar meluluskan undang-undang yang dinamakan ‘Burma Citizenship Law of 1982’.

Undang-undang ini bersifat sentimen keagamaan dan penuh diskriminasi. Masyarakat Rohingya tidak diakui sebagai warganegara, malah diberikan jolokan ‘pendatang’ di tanah air mereka sendiri.

Setelah itu, keseluruhan hak mereka dinafikan dan masyarakat Rohingya ditangkap secara besar-besaran, dipukul, diseksa dan dijadikan buruh paksa.

Pemerintah junta tentera Myanmar menafikan semua sejarah penduduk Rohingya sama ada bahasa, kebudayaan, adat istiadat dan segala hubungan mereka dengan Arakan, yang merupakan tanah tumpah darah mereka.

Dengan undang-undang baharu tersebut, masyarakat Rohingya tidak dibenarkan terbabit dengan segala bentuk perdagangan.

Pihak junta menyebarkan propaganda jahat dan segala informasi yang salah untuk memberikan citra buruk Muslimin Rohingya untuk mendapatkan dukungan penganut Buddha.

Dinafikan pendidikan

Sejak diluluskan undang-undang tersebut, anak-anak Muslimin Rohingya tidak mendapat hak belajar di luar dari Arakan, memandangkan semua institusi pendidikan profesional terletak di luar Arakan.

Pelajar Muslim dari Arakan langsung tidak berpeluang melanjutkan pendidikan. Undang-undang zalim menyebabkan mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran. Ini menyebabkan sebahagian mereka buta huruf. Selain itu berdepan tekanan ekonomi, penangkapan, penyeksaan dan lain-lain.

Umat Islam juga tidak dibenarkan terbabit dalam politik ataupun lembaga-lembaga sosial yang dilarang memberi bantuan kepada mereka. Muslim Rohingya tidak dibenarkan menunaikan haji atau menyembelih korban pada Hari Raya Haji.

Mereka juga sering dipaksa meninggalkan nama Muslim dan diganti dengan nama Buddha. Semenjak junta tentera Myanmar berkuasa pada tahun 1962, sinario politik di Myanmar berubah dengan drastik. Dengan kuasa dan kekuatan ketenteraan, penindasan besar-besaran ke atas masyarakat Rohingya terus meningkat.

Selama hampir empat dekad sahaja, lebih kurang 1.5 juta masyarakat Rohingya dipaksa keluar dari tanah air mereka. Pada tahun 1942, terjadi kekosongan pemerintahan saat British keluar dari Arakan. Penduduk Myanmar mengambil kesempatan untuk memprovokasi penganut Buddha di Arakan.

Akibatnya, terjadilah rusuhan besar yang menyebabkan 100,000 masyarakat Rohingya dibunuh dan ratusan ribu lagi melarikan diri ke Bangladesh Timur.

Pada tahun 1949, sekali lagi terjadi rusuhan yang dicetuskan oleh Burma Territorial Forces (BTF) yang melakukan keganasan dan pembunuhan ke atas ribuan Rohingya dan ratusan tempat tinggal mereka dimusnahkan.

Lebih kejam, melalui ‘Rancangan 20 Tahun Pembasmian Rohingya, Majlis Negeri Arakan di bawah kekuasaan Majlis Negara Burma telah melancarkan ‘kod operasi’ yang dinamakan ‘Naga Min’ (King Dragon Operation).

Ia merupakan operasi terbesar, terkejam dan mungkin yang terbaik pernah didokumentasikan pada tahun 1978. Operasi itu dimulai pada 6 Februari 1978 di sebuah perkampungan Muslim terbesar, Sakkipara di Akyab, yang menghantar gelombang kejutan ke seluruh kawasan dalam masa yang singkat.

Pembunuhan

Berita mengenai penangkapan dan pembunuhan besar-besaran masyarakat Rohingya di Akyab meresahkan kaum muslimin di Arakan Utara.

Pada Mei 1978, operasi sampai ke Buthidaung dan Maungdaw, ratusan muslim lelaki dan wanita disumbat ke dalam penjara dan ramai yang diseksa dan dibunuh.

Ketakutan melihat kekejaman yang tidak berperikemanusiaan itu menyebabkan sebilangan besar masyarakat Rohingya lari meninggalkan kediaman mereka sampai ke perbatasan Myanmar-Bangladesh.

Pada 18 Julai 1991, kempen pembasmian etnik dilancarkan dengan nama kod ‘Pyi Thaya’. Terjadi pembunuhan dan pemerkosaan kejam ke atas masyarakat Rohingya, pemusnahan tempat tinggal termasuk masjid-masjid.

Keadaan ini sekali lagi memaksa masyarakat Rohingya lari beramai-ramai meninggalkan kampung halaman mencari perlindungan di Bangladesh. Akan tetapi, kerana ada perjanjian Bangladesh-Myanmar, sebahagian mereka dikembalikan ke Arakan.

Tahun 1999 sahaja, dilaporkan tidak kurang dari 20 operasi besar dilancarkan terhadap masyarakat Rohingya oleh pemerintah junta. Laporan juga menyebutkan antara tahun 1992 hingga 1995, lebih 1,500  Rohingya (kebanyakannya pemuda) dibunuh, ribuan lagi ditangkap dan diseksa.

Masjid diroboh

Masjid-masjid yang diroboh diganti dengan pagoda-pagoda baharu penganut Buddha. Lebih menyedihkan, semua pagoda dibangun dengan peluh dan keringat kaum muslimin Rohingya yang dipaksa bekerja keras dan diseksa untuk menyiapkannya.

Pemerintah junta juga ‘mencipta’ keadaan kelaparan di kawasan tersebut sehingga memaksa masyarakat Rohingya keluar dari situ. Pada tahun 2001, rusuhan terjadi lagi di Arakan, di mana ratusan masjid dirobohkan dan 10 Muslim serta dua penganut Buddha dilaporkan terbunuh.

Rusuhan itu meletus antara lain kerana pemusnahan patung Buddha yang dijumpai di Lembah Bamiyan, Afghanistan oleh Taliban.

Tersebar juga berita yang memfitnah kaum muslimin yang dilakukan oleh penganut Buddha dan anggota-anggota ‘State Peace and Development Council (SPDC) oleh Ketua Tertinggi Junta, Than Shwe.

SPDC memang terkenal dengan gerakan ‘anti-Muslim’. Ulama dan guru-guru agama Muslim Rohingya sering menjadi korban kekejaman mereka.

Kebanyakan pemimpin Muslim Rohingya sekarang sedang menjalani hukuman penjara atas dakwaan-dakwaan palsu yang diada-adakan terutamanya berkaitan kewarganegaraan.

Selain kerusuhan dan pembunuhan, propaganda anti-Muslim merupakan perkara rutin yang dimainkan media Myanmar. Pada tahun 2003, buku-buku dan pita-pita rakaman yang menghina Islam dan kaum muslimin Rohingya disebar di seluruh Myanmar. 

Dianggarkan 250,000 orang mengalami penyeksaan, rogol, penahanan secara rambang, pembunuhan tanpa bicara, dipenjara, pemusnahan masjid, paksaan keluar daripada Islam dan menjadi penganut Buddha.

Sejak 1962, tidak ada masjid baharu yang dibangunkan, bahkan para pemimpin agama dipenjara kerana merenovasi masjid. Perlakuan junta Myanmar terhadap kaum minoriti Muslim Rohingya disebut-sebut “seburuk-buruk perlakuan terhadap kemerdekaan manusia”.

Seorang senior PBB yang sering bertugas ke daerah-daerah krisis kemanusiaan menggambarkan kekejaman yang terjadi di Arakan Utara bahagian barat Myanmar, “kalian akan mengerti erti kesengsaraan ketika kalian melihatnya”.

Masalah etnik Rohingya bermula apabila kerajaan junta tentera Myanmar kurang senang dengan mereka. Mereka menganggap etnik itu tiada hak untuk menetap di Myanmar kerana agama dan asal usul.

Kemuncak kepada episod duka apabila kerajaan junta melancarkan genosid (penghapusan etnik) secara meluas dan terbuka kepada etnik Rohingya.

Genosid sejak 1962

Genosid bermula pada tahun 1962 ekoran episod rampasan kuasa oleh General Nay Win di Myanmar. Pada November 1948 sehingga awal 1992, sebanyak 19 kempen ketenteraan dilakukan bagi menghalau etnik Rohingya dari tanah air mereka.

Antara operasi yang paling kejam ialah Operasi Burma Territorial (BTF) pada tahun 1949-1950, Operasi Nagamin pada Februari 1978-1979 dan Operasi Na-Sa-Ka (Pasukan Keselamatan Sempadan) yang bermula pada tahun 1992 sampai sekarang.

Menurut Amnesty International, masyarakat Rohingya terus menderita akibat pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar sejak tahun 1978. Kumpulan pejuang hak kemanusiaan telah membukukan penganiayaan yang tersebar luas termasuk buruh paksa, rampasan tanah dan rogol.

Tahun 1989, Burma berubah nama menjadi Myanmar dan Rohingya langsung tidak didaftar sebagai etnik di negaranya. Daripada 137 etnik yang diakui di Myanmar, Muslim Rohingya tidak pernah mendapat pengiktirafan sebagai warga negara dalam sebuah negara merdeka.

Etnik Rohingya disebut sebagai Stateless and Forgotten People (warga tanpa kewarganegaraan dan dilupakan) oleh kalangan aktivis. Hampir sejuta etnik Rohingya tinggal di Myanmar yang dipinggirkan oleh pemerintahan junta tentera dan tidak diberi status kerakyatan.

Kini, sebahagian besar etnik Rohingya menetap di negara lain dan bekerja secara haram. Ramai hidup dalam buangan di Pakistan, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Tumpuan pelarian etnik Rohingya paling ramai di sempadan antara wilayah Arakan, Myanmar dan Bangladesh. Di sempadan Thailand–Myanmar terdapat 10 kem pelarian.

Sejak tahun 1970, dua serangan yang dilakukan pihak junta tentera dan penduduk kampung beragama Buddha memaksa ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri sehingga ke Bangladesh. Kini, jumlah pelarian Rohingya mencecah hampir setengah juta di seluruh Bangladesh.

Etnik Rohingya dianggap sebagai penduduk sementara dan tidak mendapat hak kewarganegaraan penuh. Mereka diharuskan mendapat keizinan sebelum berkahwin, dan keizinan tersebut biasanya disahkan setelah beberapa tahun.

Pergerakan mereka dibatasi. Mereka sering dihalangi untuk mendapat perubatan dan pendidikan. Sebagai ‘orang asing’, masyarakat Rohingya tidak diperbolehkan bekerja sebagai pengajar dan terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan.

Sebahagian masyarakat Rakhine dan Burma menolak untuk mengakui Rohingya sebagai golongan etnik dan mereka ditolak dalam keanggotaan Dewan Nasional Etnis. ‘Muslim Arakan’, ‘Muslim Burma’ atau ‘Bengal dari Burma’ adalah nama-nama yang disematkan kepada Rohingya sebagai bahan ejekan.

Masyarakat Rohingya bukan sekadar mempertahankan identiti etnik mereka di Myanmar, perjuangan yang mereka lancarkan bertujuan mendaulatkan agama Islam di Myanmar.

Etnik Rohingya menjerit kepada dunia sejak tahun 1978, namun suara-suara itu hilang terus tanpa mendapat sebarang respons terutamanya daripada negara-negara Islam.

Halangan birokratik yang dihadapi umat Islam berikutan serangan 11 September, menyebabkan ramai di antara mereka datang ke Thailand dengan menaiki bot dan kemudian melalui jalan darat ke Malaysia.

Sehingga kini tiada kumpulan atau masyarakat yang menyokong mereka. Boleh dikatakan tidak ada daripada mereka mempunyai status sah menduduki mana-mana negara di dunia.

Tidak seperti penduduk Kurdis dan Palestin. Kebanyakan negara Islam melihat mereka sebagai sumber buruh murah untuk kerja yang kotor dan berbahaya. Masyarakat Rohingya merupakan etnik yang dilupakan dan dipinggirkan oleh masyarakat Islam termasuk negara-negara ASEAN dan NGO Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *