Dr Puad Zarkashi ada keberanian politik

Oleh M Faqih |
KETIKA Umno mengimpikan untuk mempertahankan dominasi kuasa politik di Johor pada pilihan raya negeri (PRN) 11 Julai ini, tiba-tiba seorang pemimpin kanan parti itu mengumumkan keluar parti.
Biarpun mungkin boleh dianggap sebagai kes terpencil, namun ketika kempen pilihan raya berlangsung ia tetap memberi kesan besar. Siapa Dato’ Dr Mohd Puad Zarkashi. Beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Johor pada April 2022 sehingga Dun dibubarkan.
Pada pilihan raya negeri (PRN) Mac 2022 beliau menang di Dun Rengit. Sebelum itu pernah mewakili parlimen Batu Pahat apabila menang pada pilihan raya umum (PRU) 2008.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pendidikan di era pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak pada 2009. Selain itu Puad pernah dilantik sebagai seorang Senator selepas tewas pada PRU 2013 kepada Mohd Idris Jusi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau juga menduduki kerusi ahli Majlis Tertinggi Umno dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pada Mac 2015. Bagaimanapun beliau meletakkan jawatan pada 25 April 2018 sebagai protes kerana tidak dicalonkan oleh BN pada PRU 2018.
Dan hari ini Puad membuat kejutan sekali lagi apabila mengumum keluar daripada Umno. Katanya tanpa berat hati beliau mengumum keluar Umno berkuatkuasa serta merta mulai 25 Jun 2026 bagi mengelakkan Umno memecatnya.
Kata beliau langkah itu memudahkannya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang.
“Kini saya bebas mengkritik Umno satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia. Ada yang akan menuduh saya keluar Umno kerana kepentingan diri. Buat apa saya keluar ketika Umno dilihat kuat sehingga mahu berlawan solo di 56 kerusi.
“Saya tinggalkan Umno di saat KJ, Hishamuddin, Noh Omar kembali masuk Umno bila melihat parti tambah kuat. Maka siapa yang ada kepentingan. Mereka atau saya?,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Kritik Umno

Puad juga mendakwa alasannya keluar Umno kerana Umno Johor dilihat tidak lagi bebas membuat keputusan kerana dikawal oleh istana dalam membuat keputusan.
Dakwa beliau bukti jelas apabila Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz sendiri membuat pengakuan kepadanya semasa pertemuan di Saujana pada 21 Jun lepas.
“Dia (menteri besar) maklum kepada saya bahawa pihak istana yang titah kepadanya agar Dun Johor dibubar pada 1 Jun 2026.
“Banyak lagi contoh contoh lain Onn Hafiz hanya pak turut. Itu menjadikan Umno Johor boneka yang terikat. Saya perlu melakukan ‘keberanian politik’ mendedahkan kemungkaran ini sebelum menjadi parah,” ujarnya.
Kata lagi beliau sedar akan dikecam dan dihina sehingga menyebabkan keselamatannya terancam. Namun menurutya berbekalkan ‘keberanian politik’ beliau bersedia bertempur dalam apa jua keadaan.
“Saya tidak mahu Umno dipimpin oleh ‘pengecut politik’ sehingga menyebabkan calon BN diketawakan sebagai kitar semula, tiada aspirasi orang muda dan mediocre. Saya bertawakal kepada Allah. Kaulah pelindung yang tidak ada tolok bandingnya,” kata beliau.
Sebelum pengumuman itu dibuat Puad hadir memberikan sokongan moral kepada calon BN, Yusla Ismail di majlis Sambutan Hari Ibu bapa peringkat Dun Senggarang anjuran JPKK Kampung Baru Senggarang.

Malah, pada sabtu lepas beliau menghadiri program Semarak Subuh terakhir di bawah anjuran Pejabat Adun Rengit di Surau Al Hijrah Kampung Sungai Dulang Darat Rengit.
Pada program itu diadakan solat Subuh berjemaah, membaca surah Kahfi, tazkirah dan diakhiri dengan sarapan pagi beramai ramai.
Pada majlis itu Puad berkata, oleh kerana beliau tidak akan bertanding lagi pada PRN Johor 2026, maka selepas ini akan datang solat Subuh di masjid atau surau sebagai individu biasa.
