Gelanggang Rakyat

Kenyataan ahli parlimen DAP bahaya

KENYATAAN ahli parlimen penyokong kerajaan dari Jelutong, RSN Rayer dianggap merbahaya kerana cuba memberi gambaran hanya Kelantan berlaku kes gangguan seksual.

Ahli parlimen Putrajaya, Dato’ Dr Mohd Radzi Jidin menyifatkan gambaran yang diberi ahli parlimen DAP dari Jelutong sangat bahaya. Sedangkan jenayah seksual juga berlaku di Selangor dengan mencatat paling tinggi di negara ini.

“Saya cukup kecewa dengan apa yang dibangkitkan Jelutong sebentar tadi. Beliau memberi gambaran Kelantan begitu teruk dengan jenayah seksualnya.

“Jadi saya cuba cari apakah artikel yang dirujuk Jelutong tadi. Artikel yang dirujuk Jelutong bertarikh Mac 2023, menyebut Kelantan antara negeri yang tertinggi jenayah seksual,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Seksual di Dewan Rakyat petang ini.

Pada 16 Mei 2024 media melaporkan Selangor merekodkan kes jenayah seksual tertinggi dalam tempoh tiga tahun terakhir dengan 90 peratus pelaku melibatkan warga tempatan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Siti Kamisah Hasan dilapor berkata, kepadatan penduduk, aktiviti ekonomi, desakan hidup serta capaian internet yang meluas menjadi antara faktor Selangor merekodkan kadar jenayah seksual paling tinggi berbanding negeri lain.

Kata beliau sebagai sebuah negeri maju, kedudukan Selangor bersempadan dengan Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perak memudahkan akses kemasukan penduduk dari luar yang antara lain turut menyumbang kepada kadar jenayah di negeri tersebut.

Manakala pada 22 Oktober 2025 media melaporkan Polis Kelantan membuka 349 kertas siasatan berkaitan jenayah seksual sejak Januari hingga September 2025, meningkat 92 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dr Mohd Radzi menegaskan tidak perlu hendak berpolitik dalam isu tersebut kerana dari segi jumlah penduduk Selangor lebih ke hadapan.

“Jadi apa yang cuba diberi gambaran oleh Jelutong kononnya jenayah seksual hanya berlaku di negeri tertentu. Sedangkan ia tidak begitu. Kalau hendak beri pandangan hendaklah lebih adil.

“Kes jenayah seksual kalau dibiarkan ia akan memberi kesan yang cukup besar kepada masyarakat. Oleh itu kerajaan perlu menyediakan peruntukan lebih besar untuk beri kesedaran terhadap jenayah seksual.

“Wujudkan pendekatan yang lebih menyeluruh bagi membangkitkan kesedaran mengenai jenayah seksual,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *