Parti Melayu halang kemaraan DAP di Johor
Oleh M Faqih |
PARTI mana yang akan mentadbir Johor Sabtu ini. Berdasar perkembangan terkini ia dikatakan lebih terarah kepada dua blok. Masing-masing ada kelebihan kerana sokongan jentera kerajaan.
Umno dan Barisan Nasional (BN) ada jentera kerajaan negeri. Pakatan Harapan (PH) pula dibantu jentera kerajaan Pusat. Selain jentera kerajaan, terdapat lagi beberapa indikator lain bagi melihat kekuatan sesebuah parti.
Antaranya sokongan akar umbi yang diterjemahkan dengan kekuatan parti di peringkat cawangan. Tanpa cawangan bermakna tiada jentera di peringkat akar umbi.
Siapa yang hendak kempen dari rumah ke rumah. Siapa bertugas gantung poster. Dan lebih mendesak lagi ramai petugas diperlukan di hari mengundi termasuk ‘polling agent’, mengangkut pengundi ke tempat mengundi dan pelbagai lagi.

Dengan adanya cawangan parti, petugas boleh direkrut. Kewujudan cawangan parti merupakan elemen amat penting. Selain itu kredibiliti calon, tawaran parti dan prestasi calon dalam pilihan raya sebelum ini juga menjadi faktor penyumbang.
Sehingga sekarang Umno mempunyai jentera peringkat akar umbi lebih ramai di Johor. Pada tahun lepas direkod terdapat sebanyak 2,197 cawangan Umno di Johor. Pengerusi Umno Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi menyifatkan jumlah cawangan itu sebagai petanda denyut perjuangan Umno di negeri kelahiran parti terbabit.
Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula menurut laporan mempunyai 22 cabang di Johor. Dan tiada rekod jumlah cawangan yang dilahirkan daripada cabang terbabit.
Cawangan DAP

Bagaimanapun DAP dianggap lebih kuat berbanding PKR di Johor. Berdasar laporan terdapat 210 cawangan DAP yang berdaftar di negeri tersebut. Jumlah itu meningkat ketara berbanding 87 cawangan pada tahun 2018.
PAS juga ada kekuatan di Johor biarpun tidak setara dengan negeri-negeri lain. PAS terdapat 26 kawasan parlimen di Johor.
Bagaimana pula dengan Bersatu yang dianggap Johor sebagai negeri kelahiran parti berkenaan. Sebelum berlaku perpecahan, media melaporkan terdapat 26 bahagian Bersatu di Johor.
Bagaimanapun pada Februari lepas 11 bahagian Bersatu di Johor dilapor dibubar ekoran peletakan jawatan beramai-ramai. Berdasar perkembangan tersebut, kekuatan Perikatan Nasional (PN) mungkin agak terjejas pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Bersatu dan PAS mewakili PN pada PRN tersebut. Begitu juga Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Pejuang turut bertanding menggunakan logo PN.

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) turut memeriahkan PRN Johor 2026. Namun, kehadiran parti terbabit dianggap tidak memberi cabaran sengit. Kekurangan petugas dan faktor kewangan membuatkan kempen mereka agak hambar.
Mengambil kira kondisi tersebut pertembungan secara jantan pada PRN Johor kali ini berlaku antara BN dan DAP (PH). Malah liputan media juga nampaknya lebih terarah kepada dua blok tersebut.
Onn vs Anwar

Umno Johor di bawah pimpinan Onn Hafiz Ghazi sering menjadi sasaran PH. Pasukan serangan PH diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saban hari Menteri Besar Johor diserang hendap PH dan Anwar.
Namun, berdasarkan tinjaan di lapangan dan media sosial, di sebalik tindakan Anwar ia disifatkan lebih menguntung Onn Hafiz dan BN untuk mengekalkan kerusi dimenangi pada PRN lepas.

Pertembungan Onn Hafiz dengan Anwar bagi pemerhati politik, Abadi Romeo menguntungkan Onn. Antaranya tindakan Anwar menggelar Onn Hafiz sebagai ‘budak’ menyebabkan orang muda terasa seperti dihina.
Beliau juga menyifatkan Onn Hafiz lebih bersih berbanding Anwar yang mempunyai rekod mahkamah. Selain itu prestasi ekonomi Johor dengan pertumbuhan sebanyak 8 peratus dianggap terbaik di Malaysia.
Perangkaan itu berdasar laporan Kementerian Kewaangan. Kejayaan Johor mengatasi Selangor dan Pulau Pinang. Kejayaan tersebut disifatkan Abadi boleh menjadi daya penarik kepada pengundi Cina.
Malah, serangan keterlaluan Anwar terhadap Onn menyebabkan sentimen kenegerian muncul. Bangsa Johor sudah tentu akan mempertahankan pemimpin Bangsa Johor.

Perkembangan tersebut tambah menarik ekoran pendedahan kajian Merdeka Center. Badan itu menjangka BN mengekalkan kedudukan sebagai kerajaan negeri, manakala DAP berpotensi menjadi parti terbesar dalam blok pembangkang.
Menurut Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian, BN dijangka mengekalkan antara 40 hingga 42 kerusi. Selain itu Amanah dan PKR mungkin sekadar meraih satu dan dua kerusi.
“Kami berpendapat kedudukan Umno di Johor bertambah baik berbanding PRU ke-15 apabila kami menganggarkan mereka memperoleh sekitar 45 peratus undi Melayu ketika itu. Di peringkat negeri angka itu kini meningkat kepada sekitar 55 hingga 60 peratus,” katanya kepada laman berita.
Pada PRN 2022 BN menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor. Umno membolot 33 kerusi, MCA (4 kerusi) dan MIC (3). DAP pula menang 10 kerusi, Bersatu (2), manakala PKR, Amanah, PAS dan Muda masing-masing memegang satu kerusi.
Pengaruh DAP

DAP sudah tentu berusaha mengekalkan 10 kerusi Dun yang dinenangi pada PRN ke-15 iaitu Bekok diwakili K. Raven Kumar; Tangkak (Ee Chin Li); Yong Peng (Chew Peck Choo); Paloh (Sheikh Umar Bagharib Ali). Selain itu, Johor Jaya (Liow Cai Tung); Stulang (Andrew Chen Kah Eng); Perling (Liew Chin Tong); Skudai (Marina Ibrahim); Senai (Wong Bor Yang) dan Pekan Nanas (Yeo Tung Siong).
Dan pada PRN kali ini DAP dikatakan cuba memperluaskan pengaruh ke Yong Peng, Tiram, Bukit Permai dan Pekan Nenas. DAP juga menampilkan calon Melayu di Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani.
Pada PRN 2026 DAP menonjolkan tiga calon Melayu daripada 17 orang yang mewakili parti terbabit. Selain itu dua calon India dan 12 lagi daripada kaum Cina.

Pada PRN lepas DAP menampilkan Marina Ibrahim di Dun Skudai dan memenangi Dun terbabit. Berdasar data statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, komposisi etnik di Skudai merangkumi etnik Cina 54.5 peratus, Bumiputera (31.5 peratus), India (13.6 peratus) dan lain-lain (0.4 peratus).
Bagaimanapun pada 31 Mei lepas Marina mengumumkan tidak akan mempertahankan Skudai. Beliau juga berundur daripada arena politik dikatakan ada kaitan ‘diarah’ bertanding di Dun Tiram.
Marina mungkin dapat mengesan awal beliau akan dikorbankan di Dun Tiram memandangkan Dun terbabit merupakan kawasan campuran, di mana demografi pengundi Melayu lebih 55 peratus.

Ekoran Marina berundur, DAP menggantikan dengan Kartiyaini Jeyapalan bagi mempertahankan Dun Skudai. Manakala seorang lagi calon Melayu, Nor Zulaila Abdul Ghani, 38, pula sebagai calon PH di Dun Tiram.
Zulaila sudah tentu berdepan saingan sengit bagi merampas Dun Tiram yang dikuasai BN pada PRN lepas melalui Azizul Bachok. Tiram dianggap kubu tradis Umno kecuali pada 2018 dimenangi S Gopalakrishnan daripada PKR.
Pemerhati politik Kamaruzaman Yaacob menyifatkan perancangan DAP bagi memperluaskan pengaruh di kawasan majoriti Melayu di Johor mulai kelihatan.
Kata beliau DAP ada perancangan di kerusi mempunyai 56 peratus pengundi Melayu di Johor seperti dilaksanakan di Parlimen Raub, Pahang.
Parlimen Raub sejak pilihan raya umum (PRU) 1955 sehingga 2008 dimenangi BN. Pada PRU 1955 hingga 1974 dimenangi calon daripada Umno. Kemudian pada PRU 1978 hingga 2008 dimenangi MCA.
“Sejak 1978 calon DAP di Raub daripada etnik Cina. Bagaimanapun pada PRU 2008 DAP meletak calon Melayu, A Bakar Lebai Sudin. DAP mendapat 16,526, manakala Ng Yen Yen daripada MCA memperolehi 18,678 undi.
“Dan pada PRU 2013 calon DAP, Mohamad Ariff Sabri berjaya menewaskan Ng Yen Yen. Dan pada PRU 2018 DAP sekali lagi meletak calon Melayu, Tengku Zulpuri dan menang lagi. Bagaimanapun pada PRU 2022 DAP meletak calon Cina, Chow Yu Hui dan menang Parlimen Raub dengan majoriti 4,357,” katanya pada catatan di laman sosial.

Strategi di Tiram mengulangi apa yang berlaku di Raub, di mana DAP menampilkan calon Melayu. Dan apabila kedudukan DAP agak kukuh, kemungkinan besar Tiram akan diwakili calon Cina pada pilihan raya akan datang.
DAP juga dianggap tidak bermasalah untuk mempertahankan kerusi majoriti pengundi Cina di Johor iaitu Jementah, Bentayan, Yong Peng, Penggaram, Stulang, Skudai, Bukit Batu, Senai dan Puteri Wangsa.
Bagaimanapun Umno dan Perikatan Nasional ada potensi di kerusi yang mempunyai kira-kira 60 peratus pengundi Melayu.
Dun terbabit iaitu Pemanis, Bukit Serampang, Jorak, Serom, Bukit Naning, Maharani, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Semarang, Parit Raja, Senggarang, Tanjung Puteri, Benut, Pulai Sebatang dan Kukup.
PRN kali ini turut memperlihatkan kerjasama politik di luar pakatan rasmi. Parti-parti Melayu berpakat menghalang kemaraan DAP di Johor. Sekiranya strategi itu menjadi kenyataan gelombang biru dan hijau akan mengatasi tsunami merah.

Namun, kekuatan Umno di Johor belum mampu untuk menular ke negeri lain. Hakikat itu diakui Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia yang menyifatkan gelombang BN belum cukup meluas.
“Naratif itu lebih mudah difahami jika dilihat dalam konteks usaha membina semula jajaran parti Melayu-Islam atau dikenali Muafakat Nasional 2.0.
“BN tidak boleh mendabik dada terlalu awal kerana masih berdepan cabaran untuk menarik semula sokongan bukan Melayu dan Melayu bandar,” katanya.
