Cuit Oghe Kito

Isyarat dari Johor gugat kerajaan Madani

Oleh M Faqih |

KEMENANGAN bergaya Umno-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor semalam bukan sekadar memperlihatkan kelincahan politik Dato’ Onn Hafiz Ghazi, sebaliknya boleh menjejaskan usia kerajaan Madani.

Pendirian tegas Onn menolak kerjasama dengan DAP dianggap berbaloi. Tindakan itu mengundang kemarahan pemimpin Pakatan Harapan (PH). Kemuncaknya Menteri Besar Johor itu diperlekeh kerana menolak debat dengan calon PKR Dun Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.

Onn diberi gambaran negetif termasuk moderator debat tersebut. Sebelum itu Onn menolak cabaran berdebat dengan menganggap hanya membuang masa. Ternyata telahan PH tersasar apabila Onn berjaya menjulang BN ke puncak kuasa.

Begitu juga media arus perdana memberi gambaran negetif. Sedangkan banyak analisis dan tinjauan ketika kempen menggambarkan kelebihan kepada BN berbanding PH. Kajian Merdeka Center dan Ilham Center memberi markah tinggi kepada BN. Hanya NBO Political Analytics meletak jumlah kerusi Dun PH mengatasi BN.

Dan ternyata perkiraan dibuat Merdeka Center dan Ilham Center hampir mengena, manakala NBO Political tersasar. Rakyat Johor memberi kemenangan besar kepada BN dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi Dun.

Sedangkan pada PRN 2022 BN menang 40 kerusi Dun. Berlaku peningkatan lapan kerusi. Umno memenangi 36 kerusi, MCA (8) dan MIC (4). Sebanyak 1.118,559 pengundi atau 59.66 peratus mengundi BN.

PH memperolehi 32.6 peratus undi popular apabila memenangi lapan Dun. PH dianggap masih bertapak kukuh di kawasan bandar dan bukan majoriti Melayu di Johor.

Kesan kemelut Bersatu

Perikatan Nasional (PN) pula tidak dapat mengekalkan gelombang PRN 2022 apabila hanya meraih 5.4 peratus undi popular dan gagal menguasai  sebarang kerusi.

Krisis rumahtanggan Bersatu ternyata memberi kesan besar terhadap kemerosotan pengaruh PN. Ia dihidu sejak awal apabila Bersatu ditimpa krisis dalam tempoh begitu lama.

Kemelut yang memanjang membuatkan rakyat menjadi jemu dan bosan. Jenama PN yang dianggap subur sebelum ini, dibiarkan layu. Bersatu juga memasuki gelanggang menggunakan jenama PN. Kesannya rakyat Johor menghukum jenama PN yang juga dianggotai PAS, Pejuang dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Oleh itu bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan ada pemerhati politik mencadangkan PAS perlu bertanding lebih dua pertiga kerusi dan mengelakkan berkempen simpati mengundi BN lagi.

Selain itu, PAS perlu mengemukakan dengan jelas calon MB (poster boy) bagi menyakinkan pengundi. “Pengerusi PN kena tegas dan selesaikan dengan segera status PN dan Bersatu.. jangan biarkan berkecamuk ibarat gantung tidak bertali,” ujarnya.

Ini kerana sejarah sudah terakam di Johor apabila pengundi Umno yang beralih kepada Bersatu pada PRN lepas, dilihat kembali ke pangkuan Umno. Kelompok pengundi atas pagar juga mengambil sikap serupa. 

Bagaimanapun PN dianggap mempunyai peluang lebih terbuka pada PRN Negeri Sembilan memandangkan BN dan PH berada dalam kerajaan sama. Strategi kempen PH dan BN di Negeri Sembilan tentunya agak berbeza berbanding Johor.

Biarpun 14 Adun Umno sebelum Dun dibubar pernah menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, namun hayat kerajaan negeri masih bersisa.

Arahan Zahid supaya kesemua 14 Adun Umno Negeri Sembilan terus menyokong pentadbiran pimpinan Aminuddin menyebabkan 14 Adun terbabit membuat pusingan U.

Negeri Sembilan tidak ada Onn Hafiz. Pengerusi Umno Negeri Sembilan Dato’ Seri Jalaluddin Alias dianggap tidak sehebat Onn. Jalaluddin mudah u-turn setelah Zahid campurtangan. Sedangkan pendiriannya sebelum itu agak tegas.

Setidak-tidak kehadiran Parti Wawasan Negara pada PRN Negeri Sembilan boleh mengambil alih tempat Bersatu seketika bagi menarik sokongan rakyat. PN perlu ada kekuatan baharu bagi mengelakkan rakyat terus keliru dengan dilema Bersatu.

Sekiranya kesepaduan PN dapat dijalin lebih awal usaha untuk menyala api permusuhan antara PH-Umno akan menjadi lebih mudah.

Nasib Umno

Isu yang berputar sekarang rakyat bertanya apa nasib Umno dalam kabinet Madani sekarang. Rekod kecaman dan pukul belakang ketika kempen PRN Johor tidak dapat dipadam.

Dendam politik tidak mampu disembunyikan lagi. Biarpun Presiden Umno dilihat masih menguntum senyum di sebelah Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, namun tahap kesetiaan pastinya semakin luntur. Aksi sindir menyindir dijangka akan terus membengkak. Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa tahu.

Baru-baru ini Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir, membidas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. Kor Ming yang didakwa melabel Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai lembab seperti kura-kura berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Dr Zambry kemudian menempelak pemimpin DAP terbabit, sepatutnya menghormati prinsip tanggungjawab kolektif jemaah menteri dan tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Menjelang hari terakhir kempen PRN Johor beberapa calon PH menegaskan Onn Hafiz tidak seharusnya lupa bahawa Umno dan BN merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan yang mempunyai lapan wakil dalam jemaah menteri.

“Mengapa apabila pilihan raya menjelang, dasar-dasar yang dipersetujui bersama dijadikan modal politik sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah Umno tidak terlibat dalam membuat keputusan?” kata calon Stulang, Andrew Chen Kah Eng; calon Perling, Tee Boon Tsong; calon Skudai, Kartiyaini Jeyapalan; calon Tiram, Nor Zulaila Abd Ghani dan calon Johor Jaya, Lee Wern Yiing.

Biarpun pelbagai serangan dihala terhadap Onn, namun reputasi BN terus meningkat. Di sebalik kecamanan itu PH pula hilang empat kerusi berbanding PRN 2022.

Kerusi Dun PH hanya lapan kerusi berbanding 12 sebelumnya. DAP merosot daripada 10 kerusi kepada enam, manakala PKR dan Amanah masing-masing mengekalkan satu kerusi.

Ahli parlimen Bachok Syahir Sulaiman menyifatkan faktor ‘poster boy’ Onn Hafiz dan peralihan undi atas pagar menyumbang kepada kemenangan mutlak BN.

Kata beliau psikopolitik pengundi lebih cenderung memilih parti atau gabungan yang dilihat mempunyai ‘upaya dan wibawa’ untuk membentuk kerajaan.

“Tanpa calon MB dan tawaran manifesto yang meyakinkan, PN tidak dilihat sebagai alternatif kepada BN dan PH di Johor, di samping berdepan penguasaan media serta jentera kerajaan, di peringkat Persekutuan  mahupun negeri.

“Namun objektif PAS tercapai iaitu mengekalkan kuasa politik Melayu-Islam dalam masyarakat majmuk; dan mengekang kemaraan PH di Johor dan seterusnya di Parlimen,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Syahir turut menyifatkan Anwar kini berdepan defisit kepercayaan yang semakin melebar dalam kalangan pengundi Melayu, Cina dan India. Begitu juga di mata anak muda dan netizen.

Bagaimanapun kemenangan besar BN di Johor belum mampu dianggap sebagai titik jenama BN sudah diterima rakyat. Bagi Syahir peralihan undi kepada BN di Johor lebih bersifat sementara kerana sentimen rakyat menolak DAP-PH.

Mungkinkah rakyat Negeri Sembilan mengikut jejak langkah pengundi di  Sabah dan Johor menghantar isyarat jelas kepada Anwar sebagai perdana menteri sepengggal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *