Serantau

Donald Trump cabuli perjanjian

Oleh A Alis Surya |

SPEAKER Parlimen Iran yang juga ketua perunding negara itu, Mohammad Bagher Qalibaf sebelum ini menjelaskan diplomasi merupakan elemen penting untuk menjamin keuntungan politik dan perundangan daripada pencapaian ketenteraan.

Beliau turut menegaskan kedaulatan ke atas seluruh wilayah Lubnan mesti dipulihkan sepenuhnya. Agensi berita melaporkan, Qalibaf berharap rundingan yang diadakan dapat menjamin kedaulatan penuh Lubnan ke atas seluruh wilayahnya.

“Setiap kejayaan ketenteraan, walau sebesar atau sepenting mana sekali pun, hanya akan menunjukkan kesan sebenar apabila ia direkodkan serta diperkukuh dari sudut politik dan perundangan,” katanya.

Beliau menjelaskan proses itu tidak akan dicapai tanpa diplomasi kerana pengorbanan dan kos yang ditanggung di medan perang tidak akan membawa kepada hasil muktamad tanpa melalui saluran politik dan diplomatik.

Menurutnya, apabila keadaan tertentu diwujudkan di medan perang, diplomasi perlu memainkan peranan melengkapkan apa yang tidak dapat dicapai sepenuhnya menerusi tindakan ketenteraan.

Qalibaf menyifatkan rundingan sebagai ‘satu kaedah perjuangan’ dan kesinambungan kepada perjuangan yang sama, sambil menegaskan Iran sudah lama berpegang kepada pendirian itu.

Beliau turut mengkritik anggapan tindakan ketenteraan dan diplomasi saling bercanggah, sambil menegaskan kedua-duanya sebenarnya saling melengkapi.

Menurut Qalibaf, Memorandum Persefahaman Islamabad yang ditandatangani Iran dan AS baru-baru ini menekankan usaha menamatkan peperangan di Iran dan dalam kalangan sekutunya yang disifatkan Teheran sebagai “paksi penentangan”.

Selat Hormuz

Beliau berkata permusuhan di wilayah Iran berulang semula. Begitu juga ketegangan berterusan di Selat Hormuz memandangkan sekatan perkapalan yang dikenakan semasa gencatan senjata disifatkan sebagai ‘satu bentuk peperangan’.

Mengenai Lubnan keadaan berbeza apabila operasi ketenteraan Israel masih diteruskan walaupun terdapat kerangka persefahaman yang lebih luas, termasuk serangan di pinggir selatan Beirut.

Menurut Qalibaf pasukan yang disokong Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel, sambil menegaskan bahawa antara ‘garis merah’ Teheran ialah menghalang serangan terhadap Beirut dan memastikan gencatan senjata di selatan Lubnan dipatuhi.

“Israel menentang keras proses rundingan kerana melihat kemusnahannya dalam laluan ini dan berusaha untuk menggagalkannya,” katanya.

Beliau juga berkata penyertaan Iran dalam rundingan di Switzerland serta usaha diplomatik susulan membantu mengurangkan intensiti pertempuran dan menghentikan permusuhan di Lubnan dalam tempoh dua hari.

Rundingan itu menghasilkan persefahaman bahawa Iran dan AS akan menjamin integriti wilayah Lubnan. Jaminan itu dimasukkan ke dalam memorandum berkenaan dan sebuah pusat penyelarasan akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaannya.

Pengurusan laluan strategik di Selat Hormuz akan terus berada di bawah pentadbiran Iran dengan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Sebelum ini kedua-dua pihak bersetuju mewujudkan talian komunikasi langsung selama 30 hari bagi menyelesaikan pertikaian maritim, insiden perkapalan dan masalah teknikal.

Talian itu bukan bertujuan memberikan kebenaran pelayaran, sebaliknya hanya untuk menangani masalah melibatkan kapal atau sebarang insiden yang mungkin berlaku.

Qalibaf berkata, Fasal II memorandum berkenaan memperuntukkan pelepasan dua peringkat aset Iran bernilai US$6 bilion yang dibekukan sebelum ini, dan urusan itu telah dimulakan ketika lawatannya ke Qatar sebelum dimuktamadkan di Switzerland.

Fasal 10 pula meliputi eksport minyak mentah, produk petrokimia, perbankan, insurans dan perkapalan.

Walaupun perjanjian muktamad belum dicapai dan sekatan yang lebih luas masih berkuat kuasa, sekatan terhadap minyak digantung sementara di bawah pengaturan interim sehingga tamat tempoh pelaksanaan selama 60 hari.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Iran dan AS mengadakan rundingan selama 18 jam di Switzerland dengan pengantaraan Pakistan dan Qatar bagi membincangkan peruntukan memorandum yang masih belum dimuktamadkan, termasuk penamatan permusuhan di semua medan konflik, termasuk Lubnan.

Menurut RCTI, Israel melakukan segala cara untuk menggagalkan perundingan Iran dan AS. Israel mensabotaj perundingan damai dengan mengganggu kesepakatan Arab-AS yang sedang berkembang dengan meningkatkan ketegangan di Lubnan, menurut Imad Salamey, Profesor Madya Ilmu Politik dan Hubungan Internasional di Universiti Lebanon-Amerika.

“Israel tidak senang dengan kesepakatan itu,” kata Salamey kepada Al Jazeera. Ia mengatakan pemimpin Israel secara terbuka menyuarakan kemarahan atas kesepakatan tersebut, terutama kerana senjata Hizbullah dan peranannya di Lubnan.

“Israel bertindak seperti perosak dalam kesepakatan ini, mencuba mensabotaj seluruh proses,” katanya. Salamey membandingkan posisi Israel dengan apa yang ia gambarkan sebagai perubahan nada bicara Teheran.

Rami Khouri, seorang peniliti kebijakan publik terkemuka di Universiti Amerika Beirut, mengatakan hubungan AS-Israel telah mencapai “momen yang menentukan”.

“Kita benar-benar telah sampai pada momen perhitungan di sini untuk AS, untuk Israel dan untuk pihak-pihak Arab, serta para mediator. Semua orang sedang diuji,” kata Khouri.

Israel sering gagal mematuhi gencatan senjata. Khouri mengatakan AS dan Israel memiliki rekod gagal mematuhi perjanjian gencatan senjata, dan kini menghadapi tantangan yang lebih berat kerana keterlibatan Iran.

China beri amaran

Memetik Save Palestine, China memberi amaran kepada Israel agar tidak menghalang perundingan antara Iran dan AS. Israel diminta tidak menghalang pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Iran dan AS, dan menggesa semua pihak untuk mengambil langkah-langkah konkrit bagi menyokong keamanan di rantau itu.

Al Jazeera melaporkan, Iran mengecam kenyataan bersama AS dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dengan menyifatkannya sebagai campur tangan, provokatif serta tidak bertanggungjawab.

Kementerian Luar Iran dalam kenyataan berkata, kehadiran ketenteraan AS di Tantau Teluk menjadi punca utama ketidakstabilan dan ketegangan di Asia Barat.

Bidasan itu dibuat susulan mesyuarat peringkat menteri di Manama, Bahrain yang dihadiri Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bersama menteri luar negara anggota GCC.

Dalam menyuarat tersebut, AS dan GCC menekan kepentingan memastikan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz tanpa sebarang sekatan atau bayaran.

Namun, Iran menegaskan laluan strategik itu berada di bawah bidang kuasa wilayahnya bersama Oman, dengan pengurusan pelayaran ditadbir berdasarkan memorandum persefahaman yang dipersetujui sebelum ini.

Teheran turut menolak dakwaan dalam kenyataan bersama berkenaan yang mengaitkan kumpulan penentangan Palestin dan Lubnan sebagai proksi Iran.

Sebaliknya, Iran mendakwa Israel merupakan pihak luar yang mencetuskan ketegangan dan konflik ketenteraan di rantau berkenaan. Kestabilan jangka panjang di Asia Barat hanya boleh dicapai melalui kerjasama antara negara serantau tanpa campur tangan kuasa luar.

Bebas pengaruh luar

Sehubungan itu, Iran menyeru negara-negara Teluk untuk mempertimbangkan pendekatan keselamatan kolektif baharu yang bebas daripada pengaruh luar.

Reuters melaporkan, Jepun mengumumkan geran kecemasan bernilai AS$15 juta (kira-kira RM61.5 juta) bagi menyokong keperluan kemanusiaan di Iran, Lubnan dan Tebing Barat.

Kementerian Luar Jepun memaklumkan bantuan itu akan disalurkan melalui organisasi antarabangsa termasuk Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) serta Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulat Sabit Merah (IFRC).

Sumbangan tersebut akan memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan, bekalan makanan, perlindungan serta kemudahan air dan sanitasi di wilayah terjejas di Asia Barat.

Selain itu, Jepun turut menyediakan bantuan tambahan berjumlah AS$640,000 (kira-kira RM2.63 juta) melalui mekanisme Japan Platform (JPF) bagi menyokong operasi kemanusiaan yang dilaksanakan badan bukan kerajaan di Lubnan.

Menurut kementerian itu, bantuan berterusan berkenaan mencerminkan komitmen Jepun dalam membantu memulihkan keadaan komuniti terjejas serta menyokong kestabilan jangka panjang di rantau Asia Barat.

AFP melaporkan, aliran trafik maritim melalui Selat Hormuz terus menunjukkan peningkatan berbanding tahap sebelum perjanjian antara Iran dan AS dicapai dengan beberapa kapal mula menggunakan laluan pemindahan baharu Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

Jumlah keseluruhan dijangka meningkat memandangkan proses mengenal pasti pelayaran kapal dilakukan secara retrospektif, terutamanya menerusi imej satelit. Peningkatan itu berlaku susulan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara Iran dan AS pada 14 Jun.

Data Kpler menunjukkan sejak 15 Jun, purata 22 kapal melintasi selat itu setiap hari berbanding kurang daripada 10 lintasan sehari dalam tempoh antara 1 Mac hingga 14 Jun.

Dalam keadaan aman, sekitar 120 kapal biasanya melalui Selat Hormuz setiap hari dengan membawa kira-kira satu perlima daripada eksport minyak dan gas asli cecair (LNG) global, menjadikannya antara laluan air paling penting di dunia.

Laman web Marine Traffic milik Kpler turut memaparkan beberapa kapal melalui laluan baharu yang diluluskan IMO. Laluan itu diumumkan oleh badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan bagi membantu memindahkan 11,000 pelaut yang masih terkandas di Teluk.

Laluan berkenaan merangkumi laluan yang merapati pesisir pantai Oman bagi kapal yang keluar dari Teluk, serta laluan di perairan Iran untuk trafik dari kedua-dua arah.

Ketua IMO, Arsenio Dominguez, memberitahu AFP bahawa agensi PBB itu berharap dapat melihat sekitar 50 kapal dipindahkan melalui laluan berkenaan setiap hari dalam masa terdekat.

AS mengumumkan penggantungan sementara sekatan ke atas Iran bagi membolehkan negara itu mengeluarkan, menjual dan menghantar minyak mentah serta produk berkaitan sehingga 12 Ogos depan.

Sebelum ini, trafik melalui selat berkenaan menyusut mendadak ekoran sekatan AS ke atas pelabuhan Iran yang dikuatkuasakan sejak 13 April lalu.

Ketegangan terbaharu tercetus susulan tindakan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran menyerang kedudukan tentera AS di Asia Barat sebagai tindak balas terhadap serangan udara oleh jet pejuang AS ke atas kemudahan peluru berpandu, dron dan pangkalan radar maritim milik Iran di selatan negara itu sebelumnya.

Sebelum itu, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, menuduh Teheran melakukan pelanggaran yang tidak masuk akal terhadap perjanjian terbabit susulan serangan dron ke atas kapal kargo komersial berbendera Singapura, Ever Lovely, di Selat Hormuz beberapa hari sebelumnya.

Naib Presiden AS, JD Vance, memberi amaran bahawa sebarang tindakan agresif akan ditangani secara ketenteraan.

“Keganasan akan dibalas dengan keganasan, jika mereka mempunyai perbezaan pendapat mengenai pelaksanaan memorandum persefahaman, mereka boleh menghubungi kami,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Sementara itu, IRGC mempertahankan tindakan berkenaan dan menegaskan kawalan laluan di Selat Hormuz adalah hak Iran berdasarkan persepakatan terdahulu.

Menurut kenyataan rasmi yang disiarkan menerusi saluran Telegram media kerajaan, pihak itu turut memberi amaran tindak balas lebih besar akan dilancarkan sekiranya AS mengulangi pencerobohan.

Trump khianat

Dalam pada itu, Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Laut Parlimen Iran, Ebrahim Azizi, menyelar tindakan Washington melancarkan serangan ketika rundingan damai masih berlangsung.

Menurut kenyataan pejabat media IRGC yang disiarkan agensi berita Tasnim dan IRNA, pasukan tentera laut Iran telah melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi yang menempatkan pasukan AS, namun tidak memperincikan lokasi atau butiran operasi tersebut.

“AS seperti biasa melanggar komitmennya dan melancarkan serangan udara ke pantai Iran,” menurut kenyataan itu.

IRGC turut mendakwa tindakan tersebut mencabul perjanjian yang berkaitan dengan pengurusan keselamatan dan pergerakan di Selat Hormuz, laluan perdagangan penting dunia.

Namun, mereka mendakwa tindakan AS yang “menghasut pelbagai pihak” telah cuba menggugat komitmen tersebut.

“Tindakan ini telah ditangani dengan respons yang sewajarnya,” kata IRGC. IRGC turut memberi amaran bahawa sebarang tindakan agresif lanjut akan dibalas dengan lebih tegas.

“Jika pencerobohan ini berulang, respons kami akan menjadi lebih meluas. Sebarang campur tangan atau percubaan untuk mewujudkan struktur selari hanya akan merumitkan lagi keadaan, mencetuskan ketegangan tambahan dan melambatkan pembukaan semula laluan air yang sangat penting dan strategik ini,” katanya.

Pada Februari lepas, apabila Israel dan AS mula menyerang Iran, Teheran bertindak melumpuhkan trafik perkapalan di Selat Hormuz melalui ancaman dan serangan, sekali gus menggunakan selat itu sebagai kelebihan untuk merundingkan penamatan konflik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *