Cuit Oghe Kito

Anwar masih perlu Zahid hadapi PRU16?

Oleh M Faqih |

ADA pihak menggambarkan semangat feudalisme begitu menebal di Johor sebagai salah satu faktur kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu. Sejarah mencatat Umno dilahirkan pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru.

Umno diasas Dato’ Onn Jaafar bagi menyatukan orang Melayu untuk mempertahankan kedaulatan dan hak istimewa. Dan selepas 76 tahun kemudian cicit Onn Jaafar pula dilantik menerajui Umno Johor.

Dato’ Onn Hafiz Ghazi merupakan generasi keempat pengasas Umno. Beliau juga cucu kepada Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn.

Maka tidak pelik kalau Umno Johor mempunyai hubungan rapat dengan Istana Johor. Malah, pada 11 Mei lepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menghadiri sambutan Ulangtahun Umno ke-80 di Istana Besar Johor.

Hubungan istimewa tersebut sedikit sebanyak ada tempias pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu lepas. Selain itu ada ketikanya Istana Johor mengkritik kerajaan Pusat yang diketuai Pakatan Harapan (PH).

Kelebihan itu memihak kepada Umno-Barisan Nasional (BN) sehingga berjaya melonjak kemenangan daripada 40 kerusi Dun pada PRN lepas kepada 48 pada 11 Julai lalu.

Tempias juga menimpa DAP. Parti terbabit hanya berjaya mempertahan enam daripada 10 kerusi yang dimenangi sebelum ini. Dun yang mempunyai hampir 80 peratus pengundi Cina masih berpihak kepada DAP. Antaranya Kulai, Bukit Indah dan Senai.

Paling malang Perikatan Nasional (PN) apabila gagal mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi pada PRN lepas.

Biarpun PAS-PN gagal memenangi sebarang kerusi, namun gesaan Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang supaya penyokong parti itu menyokong calon BN di kerusi tidak ditandingi PN mengena sasaran.

Beralih undi

Hakikat itu turut diakui Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook. Beliau mengakui undi yang sebelum ini memihak kepada PN beralih kepada BN di kawasan yang tidak ditandingi gabungan itu.

“Berbeza dengan PRN 2022 yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru, pilihan raya kali ini kebanyakan kerusi ditandingi secara satu lawan satu,” katanya seperti dilapor laman berita.

Kekalahan PAS dan PN di Johor tidak bermakna PAS terus lumpuh di selatan Semenanjung. Di Johor terdapat 20 cawangan Sekolah Rendah Integrasi Tunas Islam (SRITI) yang dikendalikan PAS.

Selain itu terdapat ratusan PASTI yang memberi khidmat kepada rakyat Johor. “Ramai ibu bapa yang hantar anak ke SRITI namun memberi undi kepada BN.

“Tiada masalah.. siapa pun boleh berteduh di bawah payung pendidikan PAS. Kami tidak berkubur, PAS akan terus mekar di bumi Johor. PAS tidak terkilan dengan pilihan rakyat Johor. Tahniah buat para pengundi,” ujar seorang pemimpin PAS di Johor.

Tanpa memiliki sebarang kerusi Dun, PAS tetap meneruskan gerak kerja dalam bidang siasah, dakwah dan tarbiah (pendidikan) di Johor.

Produk atas jenama PAS berkembang pesat di Johor sekarang. Murid-murid yang lahir dari ‘kampus’ PASTI dan SRITI lebih memahami erti politik Islam dan negara demokrasi. Mereka lah yang akan menjual produk PAS pada pilihan raya akan datang.

Kemelut yang melanda rakan tahaluf dalam PN juga tidak dinafikan menjejaskan sokongan rakyat Johor terhadap PN-PAS.

Kemelut Bersatu

Bekas editor kanan, Yusri Yusof mencadangkan Bersatu direhatkan daripada menyertai gelanggang PRN di Negeri Sembilan. Baginya, krisis dalaman Bersatu menjejaskan parti sekutu dalam PN.

“Majlis Presiden PN perlu berani membuat keputusan merehatkan sementara Bersatu sehingga kemelut yang melanda parti terbabit diselesaikan. Sekiranya dibiarkan Bersatu berada di medan sama, dibimbangi mengulangi apa yang berlaku di Johor sebelum ini,” katanya.  

Biarpun di Johor, PH dan BN berkerat rotan, namun kemungkinan strategi boleh berubah di Negeri Sembilan. Berdasar perkembangan sekarang ramai tidak yakin Dato’ Seri Anwar Ibrahim berani menyingkirkan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kabinet Madani.

Malah, tidak keterlaluan PH masih memerlukan bantuan Zahid bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 biarpun taawun politik ditolak Umno Johor.

“Saya yakin Zahid akan kekal bersama Anwar menghadapi PRU16. Never take things for granted! Maka PRU16 peluang terbaik PAS lead the government. Mesej jelas perlu difahamkan rakyat. Kena fokus kepada matlamat asal mendaulatkan Islam, penyatuan ummah Melayu-Islam dan bukan Islam tidak extreme adalah vehicle bukan matlamat utama.

“Penegasan perlu dalam tindakan, keterbukaan perlu dalam perbincangan,” kata Yusri, seorang pemerhati politik dari Ketereh, Kelantan.

Wawasan

Sekiranya Bersatu sedia untuk berehat pada PRN Negeri Sembilan, kehadiran Parti Wawasan Negara boleh mengisi ruang yang ditinggalkan.

Prof Dr Ahmad Fauzi Abd Hamid dari Universiti Sains Malaysia menjangka Wawasan mempunyai peluang keemasan mengisi kelompangan dalam PN selepas dilihat berjaya membebaskan diri daripada kepompong konservatisme.

Beliau menyarankan PN menonjolkan wacana Islamis yang moderat dan bukan ekstremis yang boleh dibuktikan dengan pentadbiran adil tanpa kira agama dan bangsa di negeri bawah teraju PAS.

“Tidak mustahil Wawasan mengambil alih peranan Bersatu, namun kedua-dua parti perlu segera berunding. Wawasan hendakah mengangkat semula gagasan Konsensus Nasional yang bersifat inklusif serta merentasi batas kaum dan agama,” ujarnya.

Pengarah Pilihan Raya PAS PRN Negeri Sembilan, Dato’ Dr Wan Nik Wan Yussof menjangka PRN Negeri Sembilan juga akan berlaku pertembungan banyak penjuru iaitu BN-PN-PH-Bersama.

Bagaimanapun situasi semasa di Negeri Sembilan berbeza dengan Johor. Krisis pemecatan Yang di-Pertuan Besar ke-11 dianggap kegagalan kerajaan negeri sehingga membawa pelantikan Yang di-Pertuan Besar ke-12.

Kata Dr Wan Nik, krisis Yang di-Pertuan Besar turut menyaksikan DAP turut berperanan menghangatkan lagi ketegangan sistem adat yang menjadi akar kepada kesultanan Negeri Sembilan.

“Tiada lagi dalam kerajaan Persekutuan sebelum ini berlaku pertembungan antara parti yang membentuk kerajaan Pusat. PH dan BN berlawan di gelangang pilihan raya,” katanya.

Kegagalan paling besar Kerajaan Negeri yang dipimpin PKR iaitu membubar Dun sebelum genap tiga tahun penggal ke-15. Menurut Dr Wan Nik isu yang berlaku tersebut melebar lagi krisis politik di Negeri Sembilan sehingga memaksa Dun dibubar lebih awal.

“Isu yang berlingkar itu belum lagi disentuh isu nasional yang cukup kecamuk melibatkan parti mendukung kerajaan Madani,” ujarnya.

Krisis istana dan pertembungan dalam gelangang antara PH-BN boleh memberi kelebihan kepada PN sekiranya kemelut Bersatu tidak diheret ke Negeri Sembilan.

Kehadiran Wawasan setidak-tidaknya boleh memberi imej baharu PN untuk mencorak haluan baru politik di Negeri Sembilan. Impian itu ada asasnya dengan mengambil kira prestasi PAS di parlimen Seremban, Port Dickson dan Tampin meningkat ketara pada PRU15.

Di parlimen Seremban undi PAS meningkat kepada 33,075 pada PRU15 berbanding 11,506 (PRU14). Begitu juga di Port Dickson 6,594 undi kepada 18,235 dan Tampin 4,598 undi kepada 14,962.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *