PKR-PH dibelit reformasi rakyat
Oleh M Faqih |
PILIHAN raya negeri (PRN) Negeri Sembilan seolah menghantar isyarat, penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) sedang bergerak ke penghujung era. Petanda itu dimulakan di Sabah pada November 2025.
Biarpun masih lagi menguasai kerajaan Pusat, namun PH hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah. Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) bernasib baik apabila kuasai enam kerusi Dun.

PAS pula membuat kejutan melalui Perikatan Nasional (PN) apabila Dato’ Dr Aliakbar Gulasan menang kerusi sulung di Karambunai. Parti tempatan mendominasi politik Sabah dengan didahului Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila menang 29 kerusi.
Dan diikuti rapat Warisan (25), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO – 3), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR – 2), Bebas (5) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM – 1). Keadaan serupa juga berlaku di Johor. Dominasi PH semakin lemah. Kerusi Dun PH berkurang daripada 12 kepada 8 pada PRN 11 Julai lepas.
Sekiranya PH gagal mempertahankan kerajaan Negeri Sembilan Sabtu ini, petanda tidak sihat melanda gabungan yang diketuai DAP itu. Ia memberi makna menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, PH hanya mampu bertahan di Selangor dan Pulau Pinang.
Biarpun kerusi DAP lebih banyak berbanding PKR di Negeri Sembilan dan Selangor, namun pemimpin PKR dilantik sebagai Menteri Besar. Pada PRN 2022 PKR hanya mempunyai lima kerusi di Negeri Sembilan berbanding DAP (11) dan Amanah (1).
Di Selangor PH memenangi 32 kerusi iaitu DAP (15), PKR (12) dan Amanah (5). Sebaliknya PN menguasai 22 kerusi dan BN (2).
Begitu juga di Pulau Pinang PH memenangi 27 kerusi daripada 40 kerusi Dun pada PRN ke-15 tanggal 12 Ogos 2023. Daripada jumlah kerusi tersebut DAP memenangi 19, PKR (7) dan Amanah (1). BN pula menguasai (2) dan PN 11 kerusi iaitu PAS (7) dan Bersatu (4).
Kubu negeri
Berdasar statistik tersebut jelas PKR tidak memiliki kubu negeri atau ‘state base‘. Negeri Sembilan dan Selangor didominasi DAP biarpun kerusi Menteri Besar dihadiahkan kepada PKR.

Pemerhati politik, Dr Kamarazaman Yacob menyifatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri hanya secara kebetulan. Kata beliau situasi itu berlaku apabila Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa 30 orang Ahli Parlimen BN bergabung dengan PH.
PH ketika itu memiliki 82 kerusi Parlimen (MP) termasuk Syed Sadiq Syed Abdul Rahman (Muar). Hasil kerjasama itu membentuk majoriti mudah 112 bagi menerajui kerajaan.
Kerajaan di bawah Anwar bertambah kuat setelah mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memiliki 23 MP dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – 8 MP. Selain itu turut disokong Warisan (3), KDM (2), PBM dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Begitu juga di Negeri Sembilan. Kata Dr Kamarazaman, Dato’ Seri Amirudin Harun ‘bertenggek’ di kerusi MB atas ihsan DAP dan bukan atas kekuatan PKR.
Dan setelah menerajui kerajaan negeri hampir lapan tahun Amirudin kini bertemu buku dan ruas. Penyatuan ummah membuatkan Amir tidak senang duduk. Kemelut yang sama juga dipercayai menghantui Anwar.
Kekuatan politik Anwar yang berpangkal semangat reformasi 1998 semakin pudar. Ketika itu ramai keliru. Mereka membela Anwar selepas disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Isunya berkisar dakwaan liwat.
Orang Melayu simpati mendalam selepas Anwar muncul dengan mata lebam dikatakan akibat dipukul Ketua Polis Negara. Lebih dua dekad Anwar dijulang sebagai wira reformasi. Dan selepas menduduki kerusi Perdana Menteri (PM) Malaysia ke-10 pada 24 November 2022, Anwar yang dikenali sebagai tokoh reformasi tiba-tiba berubah.

Menurut Dr Kamarazaman, Anwar dilantik sebagai PM ketika PKR hanya mempunyai 31 MP daripada jumlah 222 kerusi Parlimen.
Kedudukan Anwar tidak seperti PM di era Umno menerajui negara. “Berbeza dengan Anwar, di mana PKR jauh lebih kecil daripada DAP yang mempunyai 40 MP.
“Sedangkan semasa Presiden Umno menjadi PM mempunyai kedudukan yang kukuh dengan mempunyai jumlah MP jauh lebih banyak dari rakan komponen sejak era Perikatan sehingga zaman BN,” katanya pada kenyataan di media.

Menurutnya juga keadaan serupa berlaku terhadap Dato’ Seri Amirudin Shaari di Selangor. Beliau dilantik Menteri Besar bukan atas kejayaan PKR memenangi kerusi yang banyak pada PRN November 2023.
Pahang-Perak
Ramai melihat gelombang yang dimulakan di Negeri Sembilan dijangka turut merubah landskap politik di Perak dan Pahang. Angin penyatuan ummah sedang bergerak menolak DAP daripada puncak kuasa.

Di Pahang PH hanya menguasai lapan kerusi Dun iaitu DAP (6) dan PKR (2) berbanding PN (17). Kerjasama BN-PH kemungkinan akan dipertimbang semula atas neraca perpaduan ummah.
Sekiranya penyatuan ummah digerak semula ke Pahang, lapan Adun PH boleh bertukar ke saf pembangkang menggantikan tempat PN. Kerjasama BN-PN di Pahang sudah tentu akan membentuk majoriti jauh lebih besar iaitu 34 kerusi.
Teori sama juga tidak dapat ditolak boleh berlaku di Perak. Pada PRU15 PN memenangi 26 daripada 59 kerusi Dun. Manakala PH pula menguasai 24 Dun dan BN menang di sembilan kerusi Dun.

Dato’ Seri Saarani Mohamad yang menang atas tiket BN di Dun Kota Tampan masih berpeluang menduduki kerusi menteri besar sekiranya penyatuan ummah menjalar ke Perak.
Malah, kerajaan penyatuan ummah lebih kuat berbanding kerajaan perpaduan Perak. Ia dapat dicongak 26 (PN) dicampur 9 (BN) menjadikan jumlah penyokong kerajaan 35 Dun.
Sedangkan sekarang kekuatan kerajaan perpaduan Perak 9 (BN) campur 24 (PH) berjumlah 33 kerusi Dun. Mengambil kira momentum yang berlaku sekarang penyatuan ummah tidak boleh dibiarkan beku di Negeri Sembilan selepas PRN16 berlalu.
Bergelut
Dalam tempoh masa berkempen yang akan berakhir jam 12 malam Jumaat ini, PH kelihatan sedang bergelut untuk mempertahankan kerajan negeri yang dikuasai sejak 2018. Namun, masa sudah terlambat. Banyak kenyataan pemimpin DAP yang melukakan orang Melayu akan dibalas di kertas undi pada Sabtu ini.

Bagi bekas editor kanan Dr Wan Nordin Wan Yaacob, penguasaan DAP di kawasan majoriti Cina di kawasan bandar di Negeri Sembilan tidak seghairah dahulu. Menurutnya kekuatan DAP tidak seperti sebelum ini. Ia dapat dilihat di Bahau, Bukit Kepayang dan beberapa Dun lagi, keadaan sudah terbalik.
“Penduduk Cina di kawasan bandar yang ditemui rata-rata tidak berapa senang terhadap banyak kenyataan pemimpin DAP yang dianggap boleh menggugat keharmonian kaum.
“Banyak rungutan kedengaran dalam kalangan profesional dan peniaga Cina. Mereka bimbang sekiranya orang Melayu memboikot perniagaan orang Cina sudah tentu menjejaskan kehidupan mereka,” katanya.
Orang Cina mulai skeptikal terhadap DAP. Hampir empat tahun PH menerajui kerajaan Persekutuan bebanan hidup rakyat semakin bertambah. Pelbagai cukai baharu diperkenalkan dan tarif elektrik meningkat berganda.
Pengundi Cina di bandar dan pinggir bandar mulai beralih daripada politik jalur keras kepada pendekatan sederhana seperti diperjuangkan MCA dan Gerakan.
Menurut Wan Nordin, kedudukan BN semakin kuat setelah menjalin kerjasama dengan PN. Situasi itu benar-benar menggusarkan PH. Telahannya gelombang BN-PN boleh mengikat kedudukan 26:10. Bukan lagi seperti kedudukan sekarang 14:5:17.

Telahan itu tidak jauh berbeza dengan jangkaan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming. Ong meramalkan gabungan BN-PN menang 23 hingga 25 kerusi, manakala PH berdepan risiko tewas dengan hanya meraih 11 hingga 13 kerusi.
Apapun 889,490 pemilih berdaftar akan menentukan kedudukan sebenar Sabtu ini. Dan semalam seramai 14,995 pengundi atau 91.0 peratus anggota tentera dan polis serta pasangan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih. Apakah benar khabar seperti disebut ‘Oh Jang’ rakyat Negeri Sembilan tidak sabar menunggu kerajaan baharu dibentuk Ahad ini.

