Terus Terang

Lagi kenyataan provokatif pemimpin DAP

Oleh Aslani M |

KENYATAAN veteran DAP Teng Chang Khim ‘nama Tanah Melayu telah berakhir’ dianggap bersifat provokatif dan jahat, malah daif memahami sejarah pembentukan negara serta semangat Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana Tanah Melayu merupakan satu-satunya tanah air bagi orang Melayu, sedangkan keadaan tersebut tidak semestinya terpakai kepada kaum-kaum lain yang mendiami Semenanjung untuk tempoh singkat atau lama.

Bekas pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulkeflee Yaacob menjelaskan nama Tanah Melayu termaktub dalam sejarah dan perlembagaan negara.

Kata beliau ia bukan retorik kerana dipertegaskan pelbagai pihak termasuk ucapan Lord Ogmore di House of Lord ketika House of Lords membahaskan bacaan kali kedua Federation of Malaya Independence Bill pada Julai 1957, sebulan sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. 

Lord Ogmore berhujah “One has to remember that Malaya is the Malays’ only home, and that that does not necessarily apply to any of the other races who occupy the peninsula, or to people who live in it for a shorter or a longer time.”

“Apabila ada pihak menafikan nama Tanah Melayu telah berakhir setelah berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan menggambarkan hujah mereka terlalu dangkal,” katanya.

Chang Khim pada hantaran di laman sosialnya menyifatkan nama Tanah Melayu berakhir dengan memetik Perkara 1(1) Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya “Perkara 1(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Persekutuan hendaklah dikenali sebagai Malaysia. Nama Tanah Melayu berakhir dengan berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan. Titik.”

Dr Zulkeflee mengingatkan pemimpin politik menjaga ruang kebebasan bersuara dengan bertanggungjawab kerana ia boleh mengelirukan masyarakat dan menimbulkan ketegangan kaum. 

Menurutnya nama Tanah Melayu disebut oleh tiga tokoh British dalam perbahasan di Parlimen United Kingdom, iaitu Mr Oliver Stanley pada 1946, Lord Killearn (1949) dan Lord Ogmore (1957).

Tanah orang Melayu

Oliver Stanley menjelaskan Tanah Melayu merupakan tanah air asal (tradisional) orang Melayu berdasar rekod rasmi British.

Beliau menyebut perkara itu ketika membahaskan rancangan Malayan Union melalui bacaan kali kedua Straits Settlements (Repeal) Bill [Lords], Mr Oliver Stanley, Ahli Parlimen bagi Bristol West, pada 8 Mac 1946.

Selanjutnya Oliver Stanley menegaskan “masyarakat Cina dan India yang datang ke sana (Malaya) dalam jumlah yang lebih besar, sekurang-kurangnya pada zaman kebelakangan itu, dan sebahagian besarnya atas undangan kita.”

“Pengesahan dokumen sejarah yang bermaksud Tanah Melayu pada asalnya ialah sebuah wilayah Melayu dan merupakan tanah air tradisional orang Melayu.

“Kepelbagaian masyarakat apabila pertambahan besar masyarakat Cina dan India pada zaman penjajahan tidak boleh dipisahkan daripada dasar ekonomi dan pentadbiran British yang membawa masuk tenaga buruh serta menggalakkan penghijrahan,” ujarnya.

Malaysia dibentuk pada 1963 berakar negeri Melayu diikat nama Persekutuan Tanah Melayu bukan menggantikan atau memadam sejarah kewujudan Tanah Melayu.

Persekutuan disertai negeri-negeri Tanah Melayu, Malaya dan Singapura yang mengekalkan nama Tanah Melayu. Perkara itu ditegaskan lagi pada Akta (Pindaan) 2021 Perlembagaan Malaysia.

Pindaan Perkara 1 menggantikan Fasal (2), bahawa Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan Negeri-Negeri Borneo (Sabah dan Sarawak).

Hakikat tersebut ditegaskan lagi dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 21 Januari 1948 di King House, Kuala Lumpur oleh Raja-Raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British Sir Edward Gent.

Melalui perjanjian terbabit, sembilan negeri-negeri Melayu dan dua Negeri-negeri Selat (Melaka dan Pulau Pinang) bergabung di bawah satu persekutuan. Singapura tidak dimasukkan dan kekal sebagai koloni mahkota British yang berasingan.

Dr Zulkeflee mengingatkan dokumen Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu merupakan jalur memakzulkan Malayan Union dan mengembalikan kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Ia menetapkan syarat kewarganegaraan, pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan negeri serta penubuhan Majlis Raja-Raja,” katanya.  

Kerajaan Persekutuan di bawah perjanjian itu diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British (1948–1957), sebelum digantikan dengan Yang di-Pertuan Agong selepas kemerdekaan. Badan perundangan pula dikenali sebagai Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu, manakala hak kewarganegaraan diperketatkan berbanding Malayan Union. 

Antaranya kerakyataan dikategorikan rakyat Sultan mana-mana negeri Melayu dan rakyat British bagi mereka yang lahir di Melaka atau Pulau Pinang dan prasyarat menetap 15 tahun.

Bahasa Melayu

Manakala individu yang lahir di Persekutuan dan bertutur bahasa Melayu serta mengikut adat Melayu layak mendapat kewarganegaraan di samping elemen ‘naturalisasi’ melalui syarat tinggal lama dan kelakuan baik.

“Inilah keteguhan dan konkrit nama Tanah Melayu seutuh tembok besar yang menjadi warisan dunia. Oleh itu nilai kesetiaan dan kesopanan serta kesantunan yang tertera dalam Rukun Negara untuk kemenjadian warga yang mempunyai atribut jati diri dan patriotisme yang tinggi,” kata Dr Zulkeflee .  

Pakar sejarah Prof Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong pula memberitahu Malaysia dibentuk daripada tiga entiti iaitu Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya apabila merujuk kepada wilayah Tanah Melayu atau Malaya, namanya tidak berakhir seperti yang dikatakan. Kata beliau Tanah Melayu dan Malaya masih kekal sebagai rujukan di mana sekarang dikenali sebagai Semenanjung.

“Cuma nama Malaya dan Tanah Melayu sudah jarang digunakan selepas pembentukan Persekutuan Malaysia sehingga ramai orang lupa,” katanya seperti dilapor laman berita.

Kenyataan veteran DAP terbabit turut dibidas Ketua Pemuda Umno Dato’ Dr Muhamad Akmal Saleh dengan mengingatkan Chang Khim perlu melakukan kajian terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan.

Menurutnya Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pada 2021 dalam Fasal 1 dan digantikan dengan Fasal 2 yang menyatakan bahawa negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) pula menyifatkan Chang Khim sebagai cubaan mencabar fakta sejarah serta mengelirukan rakyat.

Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, kenyataan itu bukan sekadar tafsiran sempit terhadap Perlembagaan, malah boleh dianggap sebagai usaha memadam identiti sejarah yang menjadi asas kepada pembentukan negara Malaysia.

Menurut beliau, Malaysia tidak muncul daripada ruang kosong, sebaliknya lahir hasil pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 yang berteraskan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *