Khabar SG4

RUU Kesalahan Syariah peruntuk hukuman lebih berat

Oleh Aslani M |

KERAJAAN negeri Kelantan menjelaskan terdapat seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (1) 2019 terpaksa digugur dan tidak digubal semula.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pendekatan gubalan (drafting approach) mengambil kira penghakiman kes Nik Elin dan ruang lingkup kompetensi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Katanya, langkah itu dibuat berdasarkan kajian dan semakan serta penelitian pakar-pakar perundangan yang bersidang melalui jawatankuasa teknikal.

“Peruntukan tersebut ialah Seksyen 31 (gangguan seksual), Seksyen 36 (apa-apa yang mengkhayalkan) dan Seksyen 39 (mengurangkan skala, ukuran dan berat) EKJS (1) 2019.

“Langkah tidak menggubal semula tiga peruntukan tersebut kerana kerajaan negeri menghormati bidang kuasa persekutuan yang mana akta-akta persekutuan sedia ada bagi menangani kesalahan berkaitan,” katanya ketika membentang RUU tersebut pada persidangan Dun Kelantan hari ini.  

Menurut beliau setiap kesalahan yang digubal melalui rang undang-undang terbabit berdasarkan punca hukum yang jelas iaitu hukum syarak.

Namun, kata beliau terdapat kekeliruan yang sengaja dicetus pihak-pihak yang mencabar undang-undang syariah di negara ini, yang sentiasa mengelirukan hakim-hakim yang membicarakan sesuatu kes.

Beliau berkata, keadaan itu lebih diburukkan jika seseorang hakim yang membicarakan sesuatu cabaran tidak langsung mempunyai pengetahuan tentang kewajipan atau taklifan, serta sumber hukum dalam konteks hukum syarak.

Timbalan Menteri Besar juga menjelaskan usaha menggubal semua RUU tersebut membuktikan undang-undang syariah sentiasa mampu berkembang melalui proses ijtihad perundangan, selaras dengan prinsip maqasid syariah dan kedaulatan perlembagaan negara serta Undang-undang Tubuh Negeri.

“Saya dengan segala hormatnya memohon mencadangkan supaya RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 yang bertujuan untuk menggantikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dibentangkan dalam persidangan hari ini,” ujarnya.

Pemahaman sempit

Menurutnya juga apa yang diusahakan dan telah diterima umat Islam sejak sekian lama, namun dirobek dengan pemahaman sempit yang mengutamakan teknikal perundangan. Bagaimanapun kata beliau Kelantan tidak berdiam diri dan tidur lena bersama penghakiman sedemikian.

Beliau juga berkata, Jawatankuasa Teknikal yang diwujudkan kerajaan negeri dipengerusikan Adun Melor Wan Rohimi Wan Daud yang juga seorang peguam.

Ia turut melibatkan pakar-pakar undang-undang dan perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Kolej Universiti Islam Antabangsa Sultan Ismail Petra serta peguam-peguam senior.

Menurutya melalui dua jawatankuasa terdapat 14 ‘legal eagle’ secara intensif mengendalikan 10 bengkel undang-undang serta mesyuarat yang pelbagai.

“Mereka membuat kajian, mengendalikan sumbang-saran, meneliti semula implikasi keputusan kes Nik Elin dan kes-kes terdahulu, membedah semula ruang lingkup kuasa dan kompetensi Dun berdasarkan undang-undang Tubuh Negeri Kelantan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Setiap kesalahan yang digubal adalah berdasarkan punca hukum yang jelas berpandukan hukum syarak,” tambahnya.

Menurutnya juga RUU terbabit menyediakan bab huraian dan memperincikan taklifan-taklifan syarak ke atas orang Islam, di mana taklifan merupakan sumber hukum syarak yang terkandung dalam konteks kesalahan Syariah.

Oleh itu kata beliau perlanggaran terhadap taklifan itu oleh seseorang Muslim adalah suatu kesalahan syariah.

“RUU ini memperuntukkan kadar hukuman yang lebih berat dan menjadikan hukum sebat sebagai keutamaan bagi kesalahan-kesalahan berat seperti  percubaan keluar Islam, mengabaikan akidah anak atau kanak-kanak di bawah jagaannya, kewajipan menjaga alat kemaluan, kewajipan menjaga anggota atau bahagian badan selain alat kemaluan.

“Selain itu kesalahan meminum minuman yang memabukkan, berjudi, persetubuhan luar nikah dan hamil luar nikah, dan juga kesalahan kali kedua,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *