Langkau ke kandungan
Dari Kelantan, untuk semuaKhabar negeri. Suara masyarakat. Perspektif serantau.
Khabar SG4

Jumlah pelaburan SG4 cecah RM220.43 bilion

Editor: Arus Lebir1:11 petang1 views
Saiz teks20px

 

Oleh Lanjusoh |
STATE Government 4 (SG4) kini bukan lagi sekadar blok politik. Sebaliknya muncul sebagai kuasa ekonomi tidak kurang penting dalam arus pembangunan negara.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, negeri-negeri yang tidak sehaluan dengan Pusat berupaya membentuk blok kerjasama sendiri. Namun SG4 membukti keupayaan itu.

Sedangkan setiap pembangunan ekonomi peringkat wilayah di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan. Antaranya Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECER merupakan wilayah pembangunan ekonomi membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing serta Segamat, Johor.

Ia dilancarkan pada 29 Oktober 2007. Begitu juga Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) merupakan wilayah pembangunan ekonomi strategik meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan utara Perak. Dilancar secara rasmi pada 30 Julai 2007.

Usaha itu dirintis Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi memastikan pembangunan lebih seimbang antara wilayah. Kewujudan ECER dan NCER membolehkan lebih banyak pelaburan dibawa masuk ke negeri-negeri terbabit.

Langkah itu setidak-tidaknya mengelakkan ada negeri yang tidak sehaluan politik dengan Pusat dipinggirkan. Inilah antara jasa besar Pak Lah, yang dikenali Tokoh Pembangunan Ihsan.

Denai yang dirintis Pak Lah kini diteruskan SG4. SG4 tidak boleh mengharapkan sepenuhnya ihsan kerajaan Pusat supaya dialir juga projek pembangunan ke Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Namun apa yang berlaku sekarang seakan wujud diskriminasi.

Contoh jelas Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok menghadapi kelewatan kronik aspek skop, tempoh, kos dan kualiti.

Wan Suraya

Ketua Audit Negara, Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd mendedahkan projek PLSB Sungai Golok masih belum disiapkan seperti yang ditetapkan.

Fasa satu Projek PLSB mengalami kelewatan dan dilulus pelanjutan masa sehingga 21 Julai 2027 berbanding tarikh siap dalam perjanjian tambahan pada 13 Ogos 2024. Selain itu, pelaksanaan Fasa 2 turut tertangguh akibat kelewatan proses perolehan.

Mengambil kira birokrasi politik, SG4 perlu mengambil langkah proaktif. Maka pada Isnin lepas berlangsung SG4 Business & Economic Forum 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Forum itu menghimpunkan pemimpin kerajaan negeri, wakil-wakil kedutaan di Malaysia, tokoh industri dan pemain ekonomi. Ia menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama strategik, meneroka potensi pelaburan dan memperluas peluang ekonomi antara empat negeri SG4.

Lebih menarik lagi forum tersebut juga menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) serta pengumuman pelaburan. Perkembangan yang berlaku itu mencerminkan sokongan dan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri-negeri SG4.

Ucaptama forum terbabit menampilkan Menteri Besar (MB) Perlis Abu Bakar Hamzah, MB Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, MB Terengganu Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan MB Kelantan Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud serta Pengerusi SG4 Group Dr Haim Hilman Abdullah.

Dr Hairul Azhar

Rektor Kolej Universiti TATI, Prof Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid menyifatkan SG4 memiliki institusi pengajian tinggi negeri (IPTN) tersendiri, yang didukung kerajaan negeri.

Kedah ada UniSHAMS yang menawarkan lebih 40 program termasuk Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) serta kewangan Islam.

Kelantan ada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Nilam Puri, mewarisi tradisi Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan sejak 1965.

KIAS menawarkan program pengurusan halal, kaunseling dan pendidikan awal kanak-kanak, dengan laluan pengajian bersama Universiti Al-Azhar serta pelajar dari Indonesia, Thailand, China, Kemboja dan Nigeria.

Terengganu ada UC TATI beroperasi sejak 1993, berteraskan kejuruteraan dan TVET. Dan Perlis ada UniSIRAJ di bawah naungan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), menawarkan 27 program dengan penerapan teknologi digital dan keusahawanan.

“IPTN mempunyai kelebihan yang relevan kepada agenda SG4. IPTN selari secara langsung dengan dasar dan keutamaan pembangunan negeri.

“Kedua, struktur tadbir urus yang lebih fleksibel membolehkan program baharu dan kerjasama industri digerakkan dengan lebih pantas. Ketiga, IPTN berakar dalam komuniti setempat dan berperanan mengekalkan bakat di negeri asal,” katanya pada kenyataan.

Baginya SG4 mempunyai potensi kerana ada kekuatan. SG4 juga telah menggariskan wawasan. Kini masanya untuk membuktikan kerjasama empat negeri mampu mencipta nilai ekonomi bagi membawa kesejahteraan kepada rakyat serta negara.

Ts Abdul Razak

Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Muslim Profesional Sejahtera Malaysia (MPROS), Ts Abdul Razak Ab Halim melihatkan keutamaan wajar diberi kepada menaik taraf Lebuh Raya Timur Barat sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.

Langkah itu bertujuan memperkukuh jaringan lebuh raya Timur–Barat dengan dua lorong setiap arah, menghubungkan kawasan industri berteknologi tinggi Kulim Hi-Tech Park di Kedah sehingga ke Pelabuhan Tok Bali di Kelantan.

Menurutnya hubungan infrastruktur yang cekap antara kawasan perindustrian, pusat logistik dan pelabuhan mampu mengurangkan kos pengangkutan, mempercepat pergerakan barangan dan meningkatkan daya saing industri.

Namun, ia memerlukan kajian kebolehlaksanaan secara menyeluruh termasuk penilaian kos pembangunan, unjuran trafik, kesan alam sekitar, pembiayaan serta pulangan ekonomi kepada masyarakat.

“Kita mahu infrastruktur yang dibangunkan benar-benar menjadi pemangkin pertumbuhan, bukannya sekadar projek pembangunan berskala besar tanpa impak ekonomi yang setimpal,” katanya pada kenyataan.

Kelebihan SG4 kerana memiliki unsur nadir bumi (REE) yang menjadi input penting kepada industri teknologi tinggi.

Malah, menurut Menteri Besar Terengganu negeri-negeri SG4 dianggar memiliki sekitar 70 peratus sumber REE negara.

Ts Abdul Razak menyifatkan potensi itu amat besar, memandang dunia semakin bergantung kepada mineral strategik untuk penghasilan komponen elektronik, kenderaan elektrik, teknologi tenaga boleh baharu dan pelbagai aplikasi industri berteknologi tinggi.

Oleh itu, beliau menyarankan SG4 perlu bergerak ke arah pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri, bermula daripada penerokaan sumber, pemprosesan, teknologi pengasingan dan penulenan, penghasilan bahan sehingga pembuatan produk hiliran bernilai tinggi.

“Saya berpandangan kerjasama strategik bersama universiti, institusi penyelidikan, syarikat teknologi dan pemain industri antarabangsa amat penting bagi membolehkan pemindahan teknologi dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau juga melihat empat negeri mempunyai kekuatan berbeza, namun diikat dengan satu matlamat ekonomi. Terengganu mempunyai kelebihan industri petroleum dan gas, petrokimia, maritim, industri berat serta pelancongan.

Kelantan pula mempunyai potensi dalam industri asas tani, makanan halal, perdagangan rentas sempadan, warisan dan pelancongan.

Kedah memiliki ekosistem industri pembuatan berteknologi tinggi, khususnya semikonduktor dan elektrik serta elektronik, di samping sektor pertanian dan logistik.

Perlis pula ada kelebihan kedudukan geografi strategik bagi perdagangan rentas sempadan, industri asas tani, tenaga boleh baharu dan hubungan ekonomi dengan selatan Thailand.

Gabungan kekuatan itu boleh membentuk ekosistem ekonomi yang lebih berdaya saing sekiranya dirancang melalui dasar pelaburan, pembangunan infrastruktur dan pengukuhan modal insan secara bersepadu.

“Negeri-negeri SG4 tidak sepatutnya bersaing sesama sendiri semata-mata untuk mendapatkan pelaburan yang sama. Sebaliknya, setiap negeri perlu membangunkan pengkhususan industri berdasarkan kelebihan masing-masing bagi membentuk satu rantaian bekalan wilayah yang saling menyokong,” katanya.

MPROS juga melihat pertumbuhan ekonomi mesti mempunyai hubungan langsung dengan peningkatan kesejahteraan rakyat. Pembangunan ekonomi tidak boleh hanya dinilai berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), nilai pelaburan atau pembinaan infrastruktur.

Apa yang penting menilai sejauh mana pembangunan tersebut berjaya mengurangkan kemiskinan, meningkatkan pendapatan isi rumah, memperluas peluang pendidikan dan menyediakan pekerjaan.

“Pembangunan industri tanpa pembangunan modal insan tempatan akan menyebabkan manfaat ekonomi tidak dapat dinikmati secara optimum oleh masyarakat negeri berkenaan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan SG4 memerlukan kerjasama erat Persekutuan dan negeri. Kejayaan SG4 tidak seharusnya dilihat melalui persaingan politik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Kata beliau perbezaan politik tidak sewajarnya menjadi penghalang kepada pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

SG4 perlu berfungsi sebagai rakan pembangunan strategik kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam urusan pelaburan, infrastruktur, tenaga, pembangunan industri dan perdagangan antarabangsa.

Dan pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan wajar memberi pertimbangan yang adil terhadap cadangan pembangunan strategik daripada mana-mana kerajaan negeri berdasarkan keperluan rakyat, daya maju ekonomi dan kepentingan nasional.

Dr Haim Hilman

Pengerusi SG4 Group Sdn Bhd, Dr Haim Hilman pula mendedah jumlah pelaburan dilulus di empat negeri SG4 mencecah RM220.43 bilion bagi tempoh 2020 hingga 2025.

Angka itu membuktikan negeri-negeri SG4 mempunyai daya tarikan pelaburan yang signifikan, khususnya dalam sektor pembuatan, teknologi, pertanian, tenaga, logistik dan industri berasaskan sumber semula jadi.

Ustaz Mohd Nassuruddin menyifatkan kerjasama erat antara Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mampu mengangkat kekuatan serta potensi setiap negeri membuka lebih banyak peluang pembangunan yang lebih baik.

“InsyaAllah, Kerajaan Kelantan akan terus berusaha menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat, selaras dengan aspirasi menuju Kelantan Sejahtera 2033,” katanya.

Pada pembentangan forum tersebut Dr Ahmad Samsuri berkata, pertumbuhan KDNK dan pelaburan perlu menghasilkan pekerjaan, pendapatan lebih baik serta manfaat dirasai rakyat.

Beliau turut mencadangkan Model Ekonomi Malaysia (MEM) yang diperbaharui, dengan kesejahteraan rakyat sebagai tujuan utama serta keadilan kepada setiap komuniti, wilayah dan generasi.

Cadangan Formula Penyamarataan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri bertujuan memastikan peruntukan lebih telus, konsisten dan berasaskan keperluan sebenar. Pengukuhan keupayaan negeri serta penyelesaian pertindihan bidang kuasa negeri–Persekutuan dapat menyokong pembangunan dan pertumbuhan negara.

Cadangan tersebut bertujuan menghubungkan modal patuh syariah dengan pelaburan produktif dalam industri, infrastruktur, teknologi dan perusahaan tempatan.

Tuan Ibrahim

Sementara itu Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yakin SG4 terus melangkah ke hadapan dengan visi pembangunan yang mampan demi masa depan negeri dan negara.

“Forum tersebut menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama strategik, meneroka potensi pelaburan dan memperluas peluang ekonomi antara empat negeri SG4,” katanya.

Empat negeri SG4 menyasarkan KDNK gabungan sekitar RM723 bilion menjelang 2050, berasaskan pertumbuhan tahunan purata tujuh peratus.

Wilayah SG4 mempunyai lebih 5.7 juta penduduk, merekodkan KDNK kira-kira RM133.4 bilion pada 2025 dan menarik pelaburan dilulus berjumlah RM209.3 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025.

SG4 meneruskan usaha yang ditinggalkan Pak Lah. Acuan ECER dan NCER akhirnya melahirkan SG4.

Kongsi artikel
WhatsAppFacebook

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.