Langkau ke kandungan
Dari Kelantan, untuk semuaKhabar negeri. Suara masyarakat. Perspektif serantau.
Khabar SG4

Gelaran Serambi Mekah terus mekar di Kelantan

Editor: Arus Lebir1:11 petang100 views
Saiz teks20px

Oleh Aslani M |

KELANTAN digelar sebagai ‘Serambi Mekah’ kerana peranannya sebagai pusat pengajian Islam terkenal di Nusantara sejak abad ke-19. Ketika itu ramai pelajar dari luar negara mendalami ilmu agama di Kota Bharu. Antaranya dari Thailand, Indonesia dan Brunei Darussalam serta negeri-negeri lain di Tanah Melayu.

Masjid Muhammadi antara pusat penyebaran dan pendidikan Islam di Kelantan. Ramai ulama mencurah ilmu di masjid tersebut antaranya Tuan Taba (1840-1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali (1868-1933).

Menurut catatan, sistem pengajaran di Masjid Muhammadi ada persamaan dengan pembelajaran di Masjidil Haram, Makkah. Ramai pelajar yang tidak ada kemampuan kewangan untuk belajar di Makkah menuntut ilmu agama Masjid Muhammadi.

Maka berpangkal dari situ Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah. Pada era kegemilangan terdapat lebih 100 institusi pengajian pondok di Kelantan termasuk Pondok Lubuk Tapah dan Pondok Pasir Tumboh.

Sejak tempoh tersebut sehingga hari ini Kelantan menjadi tumpuan pelajar mendalami ilmu agama. Sekarang terdapat 54 institusi pondok tradisional yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan menjadi ahli Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB).

Usaha untuk menghidupkan semula pusat pengajian pondok diusahakan PPPB melalui suntikan dana awal daripada kerajaan negeri. Langkah tersebut selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam yang mulai dicetus pada 1990, selepas PAS kembali mentadbir Kelantan.

Di samping pusat pengajian pondok, Kelantan juga mempunyai 93 sekolah agama yang terdapat di seluruh negeri itu. Sekolah terbabit diurus Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Selain itu Kelantan juga menjadi tumpuan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang beroperasi di sekitar Kota Bharu. Antaranya Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) terletak di Nilam Puri, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu. KIAS menawarkan program pengajian peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah.

UNITAR College Kota Bharu pula terletak di Jalan Sri Cemerlang. Dahulu dikenali sebagai Kolej Cosmopoint. Kolej terbabit menawarkan program sijil, diploma, dan kemahiran dalam bidang pengurusan perniagaan, kesetiausahaan serta multimedia.

Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu beroperasi di Seksyen 17, Bandar Baru Lembah Sireh Kota Bharu. Ia menwarkan kursus peringkat asas dan diploma.

Di Kota Bharu juga terdapat Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) yang beroperasi di Lot Pt 341-351, Bangunan MARA, Seksyen 12, Kota Bharu. Sebelum ini menggunakan kampus di Pengkalan Chepa.

KTD menawarkan program diploma dalam bidang perniagaan, multimedia, pengajian al-Quran, syariah serta program bersama universiti lain.

Kolej UNITI Kota Bharu pula beroperasi di Kampus Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan. Menawarkan pengajian peringkat diploma termasuk pengurusan muamalat, industri halal, pendidikan awal kanak-kanak dan psikologi.

Manakala MSU College (Kota Bharu) pula beroperasi di Jalan Sultan Yahya Petra, Seksyen 25, Kota Bharu. Menawarkan kursus peringkat diploma dan sijil di bawah pengurusan Management and Science University (MSU).

KTD

Kolej Teknologi Darulnaim sebelum ini dikenali sebagai Institut Teknologi Darulnaim (ITD) mulai beroperasi pada Mac 1997 di Pengkalan Chepa. ITD pada peringkat awal diurus Permodalan Kelantan Bhd, iaitu syarikat anak Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Pada 6 Mac 1997 ITD menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk mengendalikan program akademik peringkat diploma.

Dan pada tahun 2003, kolej terbabit diambil alih Syarikat Akar Ikhlas Sdn Bhd yang diketuai Dr Abdullah Sudin Ab Rahman. Selepas itu IKD ditukar nama kepada Kolej Teknologi Darulnaim (KTD).

KTD menawarkan program Diploma Reka Bentuk Multimedia, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Syariah, Diploma Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah.

Selain itu Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak serta Diploma Pengurusan Teknologi dan Diploma Sains Komputer melalui kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Semalam KTD mengadakan majlis konvokesyen kali ke-8 dan konvokesyen KTD Cawangan Kuala Lumpur kali ke-3, bertemakan “Sinergi Iman dan Teknologi Memacu Peradaban Insani”.

Perasmian istiadat konvokesyen tersebut disempurna anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Wan Roslan Wan Hamat· Berucap pada majlis tersebut katanya, graduan hendaklah menguasai ilmu dan teknologi dengan dipandu iman, akhlak serta integriti.

“Dalam dunia yang semakin pesat berubah, teruskan belajar, tingkatkan kemahiran dan gunakan teknologi secara beretika untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Gunakanlah ilmu sebagai cahaya, teknologi sebagai alat, iman sebagai kompas dan akhlak sebagai benteng,” katanya.

Wan Roslan turut merakam ucapan tahniah kepada graduan serta ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban demi kejayaan anak-anak.

Sementara itu pada 22 September lepas KTD menerima lawatan validasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) ke kampus baharu KTD di Kota Bharu. Lawatan tersebut bertujuan menjalankan pemeriksaan dan penilaian terhadap kesediaan premis baharu KTD bagi menyokong pelaksanaan program pengajian yang ditawarkan.

Lawatan itu turut memberi ruang kepada MQA untuk meneliti kemudahan, prasarana dan kesesuaian persekitaran pembelajaran di premis baharu KTD.

Lawatan validasi merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KTD bagi memperkukuh kualiti penyampaian pendidikan, menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta memastikan kemudahan yang disediakan memenuhi keperluan mahasiswa.

“KTD komited untuk terus mempertingkatkan mutu pengurusan akademik dan kemudahan pendidikan bagi memberi pengalaman pembelajaran yang berkualiti kepada pelajar,” katanya pada kenyataan.

Sebelum itu pada 27 Ogos KTD memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Asia e University (AeU) sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan. Majlis bersejarah itu disaksikan kepimpinan AeU, KTD, Yayasan Islam Kelantan dan Institut Latihan Darul Naim (ILDAN).

“Kerjasama tersebut untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi, memperkukuh kecemerlangan akademik dan latihan profesional, di samping membuka lebih banyak peluang pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu melalui laluan APEL-Q,” kata KTD.

Kongsi artikel
WhatsAppFacebook

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.