Khabar SG4

Kelantan pengeluar tembikai terbesar Malaysia

Oleh Damia Hana |

PADA tahun 2024 dan 2025 Kelantan muncul sebagai pengeluar tembikai terbesar di Malaysia dengan pengeluaran mencecah 64,827 metrik tan.

Selain itu, Kelantan turut mencatat pengeluaran berskala besar durian sebanyak 66,800 metrik tan, tomato (70,681 metrik tan), cili (17,415 metrik tan) dan timun (20,565 metrik tan).

Kelantan juga menerajui pengeluaran salak, madu lebah kelulut, labu manis, ubi keledek dan jagung manis yang menjadi antara komoditi penting dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Saripuddin Tuan Ismail berkata, sektor pertanian penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi Kelantan dengan menyumbang 20 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri selepas sektor perkhidmatan.

Katanya, pencapaian itu membuktikan sektor pertanian semakin berkembang pesat apabila KDNK agromakanan dan hasil tani negeri menunjukkan peningkatan.

“Dahulu sumbangan sektor pertanian Kelantan lebih tertumpu kepada sara diri, kini berkembang menjadi sektor ekonomi yang dinamik dan berdaya saing hasil pelaksanaan pelbagai dasar pemodenan serta pembangunan industri agromakanan.

“Kelantan bukan lagi hanya dikenali sebagai negeri pengeluar padi, malah muncul sebagai hab pengeluaran makanan strategik negara,” katanya pada majlis perasmian Ekspotani Negeri Kelantan 2026 di sini hari ini.

Ekspotani diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad 1V dirasmikan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Ia bermula hari ini sehingga 25 Julai bermula jam 10 pagi hingga 11 malam.

Hadir sama pegawai kanan kerajaan, bekas Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Ekspo tersebut bertema ‘Bertani Satu Ibadah: Transformasi Tani, Perkasa Hasil Berkualiti’ menghimpunkan pelbagai inovasi, teknologi, hasil pertanian berkualiti, usahawan agro serta agensi berkaitan.

Tuan Saripuddin juga berkata, kerajaan negeri bersama agensi pertanian negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini mengubah orientasi pembangunan sektor pertanian kepada agenda keterjaminan makanan secara lebih menyeluruh.

Menurutnya, beberapa zon agro diwujudkan sebagai koridor pengeluaran pertanian komersial, antaranya Rong Chenok Agro Valley di Pasir Mas di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK).

Selain itu, KPKB Agro Farm Gual Ipoh di Tanah Merah di bawah Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) serta Projek Kelantan Bio Valley di Pasir Puteh diselia Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBC).

Beliau juga berkata, Program Gerakan Pertanian Al-Falah diperkenal bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani dan ternak di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) melalui bantuan modal, latihan dan bimbingan.

Kata beliau Projek Komuniti Tanaman Harum Manis Al-Falah di Kandis dan Projek Komuniti Durian Al-Falah Selising dilaksanakan melalui kerjasama KPKN dan Darul Naim Agromanagement Industries (DAMAI) menggunakan pendekatan mentor-mentee.

Menurutnya, pendekatan tersebut membolehkan peserta komuniti dibimbing secara berterusan oleh mentor berpengalaman sehingga berjaya meningkatkan hasil pengeluaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *