Langkah N9 heret PH ke penghujung kuasa
Oleh M Faqih |
MUNGKIN peristiwa Februari 2020 boleh berulang semula. Ia tidak dapat dinafikan. Kata orang tua-tua kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang.

Peristiwa itu bermula pada 23 Februari 2020 apabila beberapa kem politik mengadakan pertemuan. Mesyuarat di Hotel Sheraton, Petaling Jaya disertai pemimpin Bersatu diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Turut hadir pimpinan utama Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Mereka dilapor membincangkan pembentukan kerajaan baharu.
Akhirnya pada 29 Februari 2020 Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dan sehari dua ini muncul semula khabar angin seperti Februari 2020. Tular di laman sosial media ada dakwaan BN, Perikatan Nasional (PN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengadakan pertemuan.
Bagaimanapun Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa tidak mengetahui sebarang maklumat mengenainya.

“Saya tidak tahu hal itu,” katanya ketika kepada media pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2026 Ke-104 di Cyber Event Hall, Cyberjaya, Selangor, 21 Julai lepas.
Zahid vs Anwar
Namun, Zahid seperti menyembunyikan sesuatu. Ini dapat dilihat pada Selasa lepas Presiden Umno terbabit berani mencabar Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim memecatnya dan semua menteri daripada BN sekiranya tidak menyukai mereka.
Cabaran itu dibuat pada Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kemas Kampung Pantai Seremban.
Keberanian Zahid dianggap begitu luar biasa. Ia tidak berlaku secara mudah. Tentunya ada tempat berpaut baharu yang sedang diusahakan. Mungkinkah Dato’ Seri Anwar Ibrahim kali ini bukan lagi guru politik Zahid.

Sebelum Zahid naik angin, Anwar dilapor mendakwa mereka yang menyerang rakan dalam kerajaan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan harus berundur.
Namun, bagi Zahid tiada sebab untuk mana-mana daripada lapan menteri BN meletak jawatan. Tujuh lagi pemimpin BN juga berkhidmat sebagai timbalan menteri.
Zahid seperti dirasuk semangat sehingga berani menyanggah kenyataan Anwar. “Kalau dia tak suka, pecat sajalah. Tapi takkan sampai hati nak pecat, kami semua bekerja dengan kuat. Yang saya cakap tadi itulah yang dikeluarkan warna biru (BN). Ia kuasa (Perdana Menteri). Ini kempen pilihan raya, di Putrajaya kita tak usik pun. Ini pilihan raya peringkat negeri,” katanya.

Zahid mulai sedar kepentingan kuasa politik Melayu-Islam. Kali ini isu peribadi seperti diketepikan seketika. Sekiranya beliau masih mempertahankan teori lama Zahid mungkin tenggelam di bawah arus Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan Dato’ Seri Mohamad Hassan.

Keberanian itu juga mengambil kira momentum PRN Johor 11 Julai lepas. PH semakin ditolak rakyat. Sekiranya Zahid masih mengharap tuah daripada Anwar, kemungkinan beliau juga akan ditenggelam arus gelombang biru.
Maka PRN Negeri Sembilan, peluang keemasan Zahid mempamerkan aksi anak jantan. Lebih-lebih lagi banyak kajian dan pemerhatian politik memperlihatkan gelombang biru terus mara.
PH makin luntur

Penganalisis politik Asia Tenggara, Dr Briget Welsh dari Asia Research Institute, University of Nottingham juga melihat sokongan terhadap PH semakin luntur sekarang. Kata beliau PRN Johor 2026 berlaku peralihan sekitar 40 peratus pengundi India daripada menyokong PH kepada BN.
“Di Negeri Sembilan sentimen hampir sama turut wujud, khususnya rasa terpinggir, tidak berpuas hati dan isu berkaitan perlindungan rumah ibadat Hindu,” katanya pada seperti dikongsi sebuah laman berita.
Menurutnya juga asas sokongan PH di Negeri Sembilan iaitu di kampung-kampung baru Cina sejak tahun 2008 juga mulai berubah. Di Negeri Sembilan terdapat 59 kampung baru. Dahulu penempatan tersebut didominasi masyarakat Cina, namun sekarang semakin bersifat berbilang kaum. Berlaku peningkatan kepelbagaian kaum di kampung-kampung baru.
Sekarang lebih ramai penduduk Melayu menetap di kawasan tersebut. Briget Welsh juga menyifatkan PAS berjaya meningkatkan sokongan dalam kalangan pengundi muda, dianggar sekitar 15 peratus.
PRN Negeri Sembilan 1 Ogos ini menyaksi PH bertanding di semua 36 kerusi, BN di 25 kerusi dan PN (11 kerusi), manakala Bersatu menampilkan 24 calon.

Menurut laporan dua daripada calon Bersatu merupakan wakil Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI). Mereka bertanding menggunakan lambang Bersatu di Mambau dan Seremban Jaya. URIMAI diketuai Dr P Ramasamy, bekas pemimpin kanan DAP.
Ramai melihat Bersatu semakin hilang sengat. Ada media melaporkan pada hari penamaan calon, calon-calon Bersatu tampil dengan bilangan penyokong yang kecil. Kehadiran mereka tenggelam di tengah-tengah jentera BN, PN dan PH. Bersatu mempunyai calon, namun calon tanpa petugas.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohamad Faisol Keling juga menganggap Bersatu kian tidak relevan kerana menghadapi krisis identiti.
Kata beliau kekurangan jentera, ketiadaan gelombang penyokong dan pertandingan berbilang penjuru, besar kemungkinan calon Bersatu akan kehilangan deposit dalam PRN Negeri Sembilan.

“Pengundi harus menilai parti yang benar-benar mampu membentuk kerajaan, menyediakan kepimpinan yang stabil dan melaksanakan tawaran selepas pilihan raya. Usah dibazirkan undi kepada sebuah parti yang semakin hilang pengaruh, kedudukan dan relevansi,” katanya pada tulisan di laman berita.
Muafakat Nasional
Jalinan kerjasama PN-BN yang bermula di Negeri Sembilan diharap banyak pihak diperluaskan sehingga ke peringkat nasional. Mengulangi naratif Muafakat Nasional (MN) yang dicetus pada tahun 2018.

Hayat MN ketika itu tidak lama selepas ada pemimpin Umno mendesak parlimen dibubar awal pada tahun 2022, ketika Dato’ Seri Ismail Sabri menerajui kerajaan Perikatan Nasional. Impian Zahid Umno bertanding solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) November 2022 akhirnya membawa rebah.
Dan selepas empat tahun kerajaan PN tumbang, agenda MN ditiup kembali. Keluh kesah rakyat tidak berakhir di bawah kerajaan Madani diterajui PH-BN-GPS-GRS. Malah, beban rakyat semakin meningkat.
Penolakan rakyat terhadap PH sebenarnya sudah bermula pada PRN-17 Sabah tahun lepas. PH hanya mampu mempertahankan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun). DAP kalah kesemua kerusi yang ditandingi.
Jejak serupa diikuti rakyat Johor 11 Julai lepas. Dan kemungkinan gelombang itu diteruskan di Negeri Sembilan 1 Ogos ini. Kerjasama BN-PN ternyata berjaya mencetus gelombang biru. Sekiranya gelombang tersebut menjadi kenyataan di Negeri Sembilan, ia menjadi model yang boleh diperluaskan ke Selangor. PH menguasai Selangor sejak 8 Mac 2008.

Bekas Pengerusi Umo Selangor, Tan Sri Noh Omar membayangkan tanpa pertembungan BN dengan PN mampu memenangi sekurang-kurangnya 34 daripada 56 kerusi Dun di Selangor.
“Ramalan saya kalau kerjasama menjadi kenyataan, sekurang-kurangnya 34 kerusi Dun di Selangor boleh dimenangi,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Shah Alam Ahad lepas.
Selain itu, enam kerusi Parlimen di Selangor berpotensi dimenangi BN-PN tanpa pertembungan antara Umno dan PAS. Antaranya Kuala Selangor, Shah Alam, Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Sungai Buloh.
Kata Noh, perpecahan undi Melayu akibat pertandingan tiga penjuru lebih menguntungkan pihak lawan. Oleh itu beliau mahu formula kerjasama Umno-PAS menjadi pencetus gelombang politik baharu di Selangor.

Pengarah PRN PAS Negeri Sembilan, Dato’ Dr Wan Nik Wan Yussof pula menyifatkan politik penyatuan ummah sedang bergerak di Negeri Sembilan hasil siri rundingan yang diadakan.
Menurutnya pembahagian kerusi tanpa pertembungan BN-PN merupakan hikmat daripada PRN Johor yang menyaksikan BN menang besar dan PH merosot sokongan.
“Namun bagi senario politik di Negeri Sembilan agak berbeza. BN bercita-cita untuk dominan dan berkuasa. Justeru pendekatan terbaik dan politik matang ialah mengurus strategi agar undi Melayu tidak berpecah dan pematuhan BN-PN tanpa pertembungan adalah terbaik,” ujarnya.

