Kubu PH di Negeri Sembilan makin retak
Oleh M Faqih |
MENGAPA kalut sangat. Setiap etnik atau kaum ada tempat asal mereka. Mereka yang menyelami fakta sejarah tahu kedudukan sebenar. Antaranya bekas Presiden MIC, Tun V T Sambanthan.

Ketika berucap di Dewan Rakyat pada 1 Jun 1965 antara lain beliau menyebut, “Pada tahun 1955 kita memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian.
“Dalam jangka masa itu kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman?
“Apakah yang dilakukan pemimpin-pemimpin Melayu? Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan? Jika kita lihat di serata negara Asia kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma.
“Dan lihat saudara kita kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Dan apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka perolehi di semua wilayah tersebut,” katanya yang juga Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekom.

Buku sejarah yang kita pelajari di sekolah mencatat pendatang dari China dan India datang untuk bekerja di lombong serta ladang di Tanah Melayu.
Ketika Tanah Melayu diambang kemerdekaan, orang Melayu bersetuju memberi kerakyatan kepada jutaan orang asing. Maka termeterai kontrak sosial di mana persetujuan dicapai, hak istimewa Melayu diiktiraf, manakala hak kaum lain turut dijamin.

Peliknya mengapa apabila sejarah lama disebut semula Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ada pihak jadi kalut. Lebih nyanyuk lagi apabila ada pihak menganggap menyentuh 3R. Maksudnya sentuh isu raja (royalty), agama (religion), dan kaum (race).
Asal usul
Ketika berceramah di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini, antara lain Sanusi menyebut “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”

Ketua Penerangan PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan kekeliruan laporan sebuah portal berita. Media terbabit cuba mentafsirkan sebagai satu penegasan bahawa Malaysia ialah tempat perlindungan bagi masyarakat pribumi, ‘berbeza dengan kaum lain yang mempunyai negara asal masing-masing’.
Kata beliau tafsiran tersebut cuba mengukuhkan persepsi kononnya Sanusi mempersoalkan kedudukan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India.
Sedangkan isu serupa sudah lama disentuh pelbagai pihak. Antaranya Mufti Perlis, Dato’ Dr Mohd Asri Asri Zainul Abidin pada program Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), 18 Ogos 2019.

Beliau dilapor menyatakan setiap negara mempunyai sejarah serta identiti dominannya. Kata beliau China dikaitkan dengan masyarakat Cina, India dengan masyarakat India dan Tanah Melayu dengan masyarakat Melayu.
“Semua bumi ini Allah takdirkan ada kaum yang duduk. Di Negara China kaum apa yang duduk? Cina. Siapa dia tuan tanah itu? Siapa pemimpin mereka? Di India siapa pemimpin mereka? Tanah itu untuk siapa? Ok, semua orang ada tanah dia. Tanah Melayu untuk siapa? Adilkah ini?” ujarnya.
Malah, titah Sultan Pahang pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 1448 Hijrah/2026 di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan 17 Jun lalu turut menyentuh isu hampir sama.
Titah baginda: “Kebelakangan ini, rakyat semakin gusar apabila melihat golongan tertentu yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan, kini semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini.”
Ujarnya, “Dalam adat Melayu dan ajaran Islam, tetamu sentiasa dimuliakan. Namun, tetamu yang mengenal adab akan tahu menghargai budi, menghormati undang-undang dan memahami batas dirinya.”
Naratif
Ada pihak cuba mencetus naratif berbeza daripada motif sebenar seperti disebut Sanusi. Bagi Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong kemungkinan kenyataan Sanusi ditafsirkan secara tidak tepat.
“Semua pihak sepatutnya perlu mencontohi pendekatan lebih berhati-hati Wee dalam menangani isu tersebut,” ujar Ahmad Fadhli.

Bekas pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulkeflee Yaacob menjelaskan sejarah negara dan bangsa tertera dalam dokumen arkib negara masing-masing.
Menurutnya di Tanah Melayu penjajahan punca kaum asing menjadi sebahagian rakyat negara ini. Berdasar data mengikut kaum, India (8 peratus), Cina (23 peratus) dan Bumiputera (68 peratus). Kata beliau hakikat itu turut diakui bekas Presiden MIC Tun Sambanthan, bahawa di negara Asia kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan Burma.
Manakala kaum Cina tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Sambanthan dilihat jujur mengakui kaum pendatang tidak mendapat layanan politik yang lebih baik selain bangsa Melayu.
“Dicatat dalam peradaban dunia bahawa kaum lain mendapat hak sama di bawah undang-undang adalah fakta,” ujar Dr Zulkeflee.

Dan lebih pelik lagi Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor tiba-tiba mahu melarang Sanusi berkempen di Negeri Sembilan. Ternyata Zahid seperti gagal memahami maksud seperti diungkap Sanusi. Bagi Dr Zulkeflee, Presiden Umno dilihat macam tikus membaiki labu tanpa memahami perkara sebenar.
Apapun hikmat ujaran dan kalimat Sanusi mengingatkan orang Melayu dan rakyat bahawa mereka lahir dan hidup bersama kongsi kemakmuran dan jati diri serta pupuk patriotisme dalam kalangan rakyat.
Biarpun pemimpin DAP mengecam keras kenyataan Sanusi, namun ia dianggap tidak mampu mengubah pendirian pengundi di Negeri Sembilan. Kenaikan kos sara hidup, harga diesel paling mahal dalam sejarah, kelemahan tatakelola kerajaan, peluang pekerjaan terhad dan pelbagai lagi isu membelit kerajaan Madani.
Menjalar
Dalam tempoh kempen berbaki empat hari lagi, gelombang biru dilihat bergerak merata di Negeri Sembilan. Gelombang biru sudah menjalar ke kawasan kampung baru, desa, pinggir bandar, pantai, Felda dan bandar.
Gelombang biru dalam banyak situasi seperti menenggelamkan fenomena merah. Lebih-lebih lagi kerusi Dun yang dimenangi PH dengan majoriti kecil pada pilihan raya negeri (PRN) lepas.
Antaranya, Klawang dimenangi Amanah dengan majoriti 577 undi dan Ampangan dikuasai PKR majoriti 329 undi. Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pula ada peluang terbaik merampas Dun Sikamat yang dimenangi Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun dengan majoriti 2,662 undi pada PRN lepas.

Ini kerana Aminuddin berpindah daripada Dun terbabit ke Dun Linggi. Tempat Aminuddin diganti Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad.
Aminuddin memilih risiko tinggi dalam misi merampaskan Dun Linggi daripada genggaman BN. Umno menguasai Dun terbabit sejak pilihan raya pertama pada tahun 1955. Hanya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 Dun Linggi dimenangi DAP melalui Soorian Arjunan. Kawasan berkenaan juga pernah diwakili bekas Menteri Besar Tan Sri Isa Samad (1978-1999).
“Dun Linggi bukan kerusi selamat kerana ia kubu kuat BN sejak sekian lama. Bagaimanapun saya berpindah ke kerusi itu dari Dun Sikamat dibuat dengan teliti dan berasaskan beberapa faktor dalam usaha memastikan PH dapat merampas kerusi berkenaan,” kata Aminuddin kepada media.

Selain Linggi, tumpuan juga terarah kepada Dun Chennah yang dimenangi Setiausa Agung DAP Anthony Loke sejak tahun 2013. Dun Chennah berada di kawasan Parlimen Jelebu.
Komposisi pengundi di Chennah iaitu Melayu (47.8 peratus), Cina (42.6 peratus), Orang Asli (6.3 peratus) dan India (2 peratus). Sentimen yang berlaku di Johor dan Sabah sebelum ini memperlihatkan majoriti pengundi Melayu dan sebahagian pengundi bukan Melayu beralih daripada PH kepada BN. Kedudukan Loke begitu tercabar sekarang.

Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias pula mempertahankan Dun Pertang. Beliau berdepan saingan tiga penjuru Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Beliau dicabar calon PH, Mohd Umry Abdul Khois dan calon Bersatu, Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus. Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu menang di kerusi Pertang pada PRN 2023 dengan majoriti 2,790 undi.
Beliau memperolehi 5,634 undi dan menewaskan calon PN, Amiruddin Hassan yang meraih 2,844 undi. Dan pada PRN ke-16, BN dan PN bekerjasama. Jalaluddin berkubu di kerusi itu sejak 2013 hingga 2018.
Selain itu, tumpuan juga terarah ke Dun Rantau. Kerusi itu ditandingi Timbalan Pengerusi BN, Dato’ Seri Mohamad Hasan. Pada PRN 2023 Tok Mat memperoleh 16,957 undi, menewaskan calon PN, Rozmal Malakan yang mendapat 6,677 undi. Tok Mat menang dengan majoriti 10,280 undi.
Tok Mat menguasai Dun Rantau sejak 2004 dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 2004 hingga 2018. Pada kali ini Tok Mat dicabar calon PH, Dr Azizul Hakim Mahdi. Mungkinkah penguasaan PH di Negeri Sembilan sejak 2018 bakal berakhir. Petandanya semakin jelas.

