Cuit Oghe Kito

Agih keuntungan ketika TH dilanda kemelut?

Oleh M Faqih

AGAK sukar untuk memahami kemelut yang melanda Lembaga Tabung Haji (TH). Lebih-lebih lagi bagi orang kampung. Boleh dikatakan permainan angka yang cukup mengelirukan.

Ini kerana satu posisi disebut TH untung dan sudut lain pula dilaporkan rugi berbilion. Bagi tahun kewangan 2025 dilapor Lembaga TH mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Ia melibatkan RM3.22 bilion dan memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara. Menurut Lembaga TH agihan itu lebih tinggi berbanding 3.25 peratus bagi tahun 2024. Ia mencerminkan prestasi kewangan yang lebih baik. TH terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi simpanan Islam utama di Malaysia.

“TH telah mengagihkan sebanyak RM49.0 bilion keuntungan secara kumulatif kepada para pendeposit. Tahun 2025 merupakan prestasi kewangan terbaik dalam tempoh lapan tahun,” kata Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, seperti dilapor media. 

Sedangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedah kerugian mencecah RM13 bilion merangkumi RM10.2 bilion ditanggung kerajaan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018.

Sebelum ini The Edge mendedah aset berkenaan dipindahkan pada nilai kira-kira RM19.9 bilion, walaupun nilai pasarannya ketika itu dianggarkan sekitar RM9.7 bilion. Sebagai pertukaran, TH menerima tunai serta instrumen sukuk yang disokong kerajaan.

TH dilapor mengalami kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah dengan tujuh pelaburan merekodkan kerugian 100 peratus.

Pindah aset

Pengurusan TH bermasalah dikesan pada 2018 menyebabkan kerajaan ketika itu (Pakatan Harapan – PH) melakukan penstrukturan dan pemulihan aset TH.

Empat buah hotel milik TH dipindah milik kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada Februari 2020. Hotel tersebut dikendalikan di bawah anak syarikatnya, UJ Property Management, dengan jenama dikenali sebagai Raia Hotel.

Hotel terbabit iaitu TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel Alor Setar, dan TH Hotel Kuala Terengganu. UJSB merupakan syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Tujuan pemindahan aset tidak berdaya saing untuk memulihkan kedudukan kewangan institusi berkenaan.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membangkitkan kemampuan kerajaan memenuhi jaminan terhadap sukuk bernilai RM27.5 bilion setelah aset TH dipindah kepada UJSB ketika pentadbiran PH pada 2018.

Hassan mengetengahkan isu berkenaan ketika Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai RCI berkaitan TH baru-baru ini.

“Saya meminta penjelasan sama ada kerajaan mempunyai kemampuan untuk menunaikan jaminannya terhadap sukuk yang diterbitkan UJSB susulan proses penstrukturan TH,” ujar Hassan.

Di bawah pelan berkenaan sebanyak 106 pegangan ekuiti tersenarai, sebuah syarikat perladangan tidak tersenarai dan 29 hartanah dipindahkan kepada UJSB melalui tiga perjanjian pemindahan aset.

Malah, Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Amir Hamzah Azizan pula menjelaskan pelaburan TH dengan syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi, merekodkan kerugian terbesar dalam senarai pelaburan.

Pemerhati politik, Lim Sian See menyifatkan selepas pemindahan aset, UJSB pula mencatat defisit sekitar RM10.9 bilion.

Bagaimanapun kata beliau selepas bertahun-tahun aset itu hendak dipulihkan, defisit UJSB bukannya mengecil sebaliknya meningkat kepada sekitar RM13.2 bilion menjelang 2025.

“Kalau defisit RM4.1 bilion pada akhir 2017 mahu diletakkan sepenuhnya atas bahu kerajaan BN dengan alasan hibah terlebih bayar, siapa pula yang patut bertanggungjawab untuk kenaikan defisit RM9.1 bilion menjadi RM13.2 bilion. Dan RM9.1 bilion itu ke mana?,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebaliknya wartawan veteran, Dato’ A Kadir Jasin menggambarkan Umno belum boleh dipercayai kerana mendakwa pemimpin mereka terlibat langsung dalam konspirasi TH dan skandal-skandal lain termasuk 1MDB dan FELDA.

“Sampai hari ini pun, mereka masih bebas, berpengaruh dan disanjung. Mereka sedikit pun tidak berasa bersalah yang TH rugi RM13 bilion kerana persekongkolan mereka,” katanya pada komentar.

Tidak ikut piawai

Lebih pening lagi ada disebut Laporan RCI mengenai penyata kewangan TH 2017 tidak mengikut piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) kerana TH merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion, berbanding keuntungan bersih RM3.4 bilion.

Laporan RCI juga menyatakan pendekatan yang diambil TH dalam mengagihkan keuntungan dari tahun 2014 hingga 2017 tidak mematuhi Seksyen 22 Akta Tabung Haji.

Isunya bagaimana mahu memahami kemelut yang melanda TH. Bagi ahli psikososio, Dr Zulkeflee Yaacob, Menteri Kewangan era pentadbiran PH (2018–2020), memainkan peranan penting meluluskan pelan penstrukturan dan pemulihan kewangan (bailout) bagi menyelamatkan Lembaga TH. 

Kata beliau isu yang melatari TH dengan kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah, di mana tujuh pelaburan merekodkan kerugian 100 peratus.

Ia turut diakui Menteri Kewangan II pada ketika sesi penggulungan penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang menjelaskan pelaburan TH dengan syarikat pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi merekodkan kerugian terbesar.

“Kerugian mencecah RM13 bilion merangkumi RM10.2 bilion ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui UJSB pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH di antara tahun 2018 hingga 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan,” katanya.

Lebih malang lagi apabila isu yang begitu besar tidak dijawab sendiri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sehingga menyebabkan pembangkang mengambil langkah memulau sidang khas Dewan Rakyat.

Menurut Dr Zulkeflee keabsahan perlu dijawab Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dan bukan menyerah tanggungjawab kepada menteri lain.

Maka tidak hairanlah Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Dato’ Seri Takiyuddin Hassan mengemukakan usul supaya sidang khas ditangguh ke tarikh lain. Namun, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menolak usul yang dikemukakan PN.

Di sebalik sidang khas itu tiba-tiba muncul kelibat ahli parlimen PH yang dianggap menjadi liabiliti kepada kerajaan Madani.

Kenyataan ahli parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan “boleh merompak atau mencuri asalkan Melayu dan Islam. Orang Cina dan India tak boleh buat” dianggap banyak pihak sebagai penghinaan kepada orang Melayu.

“Ahli parlimen itu menjadi liabiliti dalam kerajaan Madani kerana setiap kali berhujah penuh emosi tidak sesuai sebagai penggubal dasar negara yang majoriti Melayu Islam,” ujar Dr Zulkeflee.

Sebelum ini isu 1MDB dan Felda dianggap mengesot ke penghujung apabila pihak yang didakwa terbabit dihadap ke mahkamah dan menjalani hukuman. Mungkinkah penyebab kemelut TH juga akan menerima nasib sama? Kita tunggu dan lihat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *