Wilayah biru di selatan, hijau timur-utara
Oleh M Faqih |
LANDSKAP politik di Malaysia kini tidak lagi statik. Era dominasi satu parti berakhir pada 2018. Kerajaan yang diterajui Umno dan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka runtuh pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Pasca PRU 2018, memperlihatkan tiga pakatan politik menguasai negara. Bermula dengan Pakatan Harapan (PH) pada 2018, dikuti Perikatan Nasional (PN) pada 2020 dan sekarang PH Plus. PH Plus dianggotai Umno, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Bagimanapun selepas hampir empat tahun menguasai Putrajaya, PH Plus dilanda badai.
Retak menunggu belah. Ia tidak dapat disembunyikan lagi. Konflik antara DAP dengan Umno dianggap tidak mampu diselamatkan. Krisis berkisar isu survival orang Melayu, Islam dan Raja.
Isu serupa juga pernah menimpa PAS. DAP mengambil langkah meninggalkan Barisan Alternatif (BA) pada September 2001 disebut berkaitan isu negara Islam yang diperjuangkan PAS.

Namun, isu negara Islam hanya sekadar alasan DAP meninggalkan BA. Sedangkan hakikatnya DAP kehilangan jawatan Ketua Pembangkang pada tahun 1999 selepas PAS memiliki jumlah ahli parlimen lebih ramai berbanding DAP.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 PAS menang 27 kerusi Parlimen. Sedangkan pada pilihan raya yang diadakan pada 29 November 1999 DAP hanya menguasai 10 kerusi Parlimen.
Sebelum itu kerjasama BA dibentuk demi memperjuangkan isu reformasi ekoran penyingkiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada kerusi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Kerjasama DAP dan PAS ketika itu disebut Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang berasaskan isu-isu tertentu demi faedah bersama. BA ketika itu didukungi PAS, Keadilan, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Pada PRU 1999 pengundi Melayu memberi sokongan padu kepada PAS.
DAP merosot
Namun nasib berbeza dialami DAP. Ada hujah mendakwa pengundi bukan Melayu dikatakan sukar menerima kerjasama antara DAP-PAS berpunca isu dasar Islam. Ekoran pengaruh DAP merosot, akhirnya parti itu mengambil keputusan keluar daripada BA. Isu negara Islam sekadar alasan DAP kerana semua tahu dasar Islam diperjuangkan PAS sejak 1951.
Dan sekali lagi DAP menjalin kerjasama dengan PAS pada tahun 2008 selepas berlangsung Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12). Gabungan pembangkang membentuk gabungan Pakatan Rakyat pada 1 April 2008 yang turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pada PRU tersebut PR berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen serta merampas Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Namun, DAP sekali lagi memutus kerjasama dengan PAS dengan alasan isu hudud di Kelantan. Kemudian pada Jun 2015, Muktamar PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP.
Jelaslah isu kerjasama PAS-DAP terelai berpangkal isu agama dan Melayu. Dan situasi serupa menimpa Umno sekarang. Kerjasama parti itu dengan DAP juga ada kaitan isu serupa yang pernah menimpa PAS.
Kemelut mulai timbul apabila tokoh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang membangkitkan isu ‘kaum bukan Melayu boleh dilantik menjadi Perdana Menteri’.

Selain itu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak turut merenggang hubungan Umno-DAP.
Keretakan politik antara Umno dan DAP mendaki puncak apabila Ketua Pemuda Umno, Dato’ Dr Muhamad Akmal Saleh meletak jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.
Menurut Akmal keputusannya meletak jawatan bagi memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP. Beliau menyifatkan DAP sebagai musuh yang nyata.

Di sebalik krisis Umno-DAP, ia dilihat memberi keuntungan kepada Umno dan BN. Pengundi Melayu akhirnya kembali semula ke pangkuan Umno selepas parti itu menjarakkan diri daripada DAP.
Dalil yang jelas berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka baru-baru ini. Malah, BN berjaya merampas semula kerajaan Negeri Sembilan selepas dikuasai PH pada 2018.
Apapun kejayaan Umno di Johor dan Negeri Sembilan tidak dapat dinafikan ada sumbangan besar Perikatan Nasional (PN). Sentimen Melayu yang disifatkan sebagai politik identiti berjaya mengembalikan kuasa politik Melayu-Islam di Negeri Sembilan.
PRN Melaka
Persoalannya apakah resepi serupa akan digunapakai di Melaka. PRN Melaka hanya menanti masa ditiupkan visel. Tarikh akhir penggal Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka ke-15 dijangka tamat 30 Disember 2026.
PRN Melaka sebelum ini diadakan pada 20 November 2021. Pada PRN tersebut BN menang 21 daripada 28 kerusi Dun di Melaka. PH berjaya kuasai lima kerusi, manakala PN pula menang dua Dun.

Kejayaan Umno-BN ketika itu dikatakan ada kaitan dengan faktor kepimpinan Dato’ Sulaiman Md Ali. Kepimpinannya diterima rakyat. Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri kali kedua pada 21 November 2021.
Bagaimanapun ekoran krisis dalaman Umno menyebabkan beliau diganti Dato’ Seri Ab Rauf Yusoh pada 31 Mac 2023. Sulaiman dikatakan tidak disenangi kerana mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin PAS.

Dalilnya apabila bekas Pesuruhjaya PAS Melaka Dato’ Kamarudin Sidek dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka. Bagaimanapun pemimpin Umno memberi alasan Sulaiman berundur atas faktor kesihatan. Ia berselindung di sebalik strategi politik supaya selaras dengan pembentukan Kerajaan Madani di peringkat negeri.
Kemelut dalaman Umno menyebabkan parti itu dilihat tidak dapat memberi tumpuan penuh ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) peringkat parlimen pada November 2022.
Hasilnya BN gagal memenangi sebarang kerusi parlimen pada PRU15. Sebaliknya PN dan PH masing-masing menguasai tiga kerusi. PH memenangi parlimen Alor Gajah melalui calon Amanah Adly Zahari, Adam Adli (PKR-Hang Tuah Jaya dan Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka).
Manakala PN pula menguasai parlimen Tangga Batu melalui Bakri Jamaluddin (PAS), Ustaz Zulkifli Ismail (PAS-Jasin) dan Dato’ Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah). Keputusan pilihan raya peringkat parlimen jauh berbeza daripada PRN Melaka pada tahun 2021.

Ab Rauf belum teruji kewibawaannya. Namun Ab Rauf dilihat lebih akur terhadap kehendak Umno Pusat sehingga membiarkan Presiden parti itu membuat kenyataan BN akan mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenanginya di Melaka.
Pada 6 Ogos lepas Zahid pada kenyataan memberitahu BN berhasrat mempertahankan kesemua 21 kerusi Dun yang dimenanginya pada PRN 2021.
MB menang tipis
Sebelum itu pada 4 Julai kerajaan BN membawa usul pelantikan Adun secara lantikan. Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 dilulus pada sidang Dun. Menurut Ab Rauf Adun lantikan berkenaan bagaimanapun tidak boleh dilantik sebagai Ketua Menteri atau anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Biarpun BN menang besar pada PRN Melaka November 2021, namun PRU yang diadakan setahun selepas itu, pengaruh BN merosot. Malah 11 kerusi dimenangi BN pada PRN 2021 majoritinya di bawah 1,000 undi.
Antaranya Serkam 79 undi, Pengkalan Batu (131 undi), Duyong (200 undi), Gadek (530), Durian Tunggal (559), Paya Rumput (629), Pantai Kundor (827), Rembia (860), Klebang (876) dan Machap Jaya (938).
Malah, kedudukan Ab Rauf di Dun Tanjung Bidara juga dianggap getir kerana memenangi Dun terbabit hanya majoriti 364 undi pada PRN lepas. Begitu juga kerusi dimenangi PN tipis. PN menang di Dun Bemban hanya majoriti 328 dan Sungai Udang (53). Adun Sungai Undang iaitu Dr Mohd Aleef Yusof dan Adun Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

PAS juga memiliki kerusi tunggal apabila Adun Rembia, Dato’ Muhamad Jailani Khamis meninggalkan Umno dan menyertai PAS. Setidak-tidaknya Dun Sungai Undang, Bemban dan Rembia boleh diberi ruang kepada PN pada PRN kali ini dengan mengambil kira semangat Negeri Sembilan.
Atau adakah satu-dua kerusi Adun lantikan bakal dihadiah kepada PN sekiranya Umno berkeras mempertahankan 21 kerusi.
Berbeza pula dengan PH apabila menguasai lima kerusi Dun pada PRN lepas dengan majoriti lebih 1,000 undi. PH menang paling bergaya di Dun Kota Laksamana dengan majoriti 11,494 undi.
Apapun ada pihak berhujah hasrat BN mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenangi di Melaka seolah mengenepikan peranan besar PN pada PRN Negeri Sembilan dan Johor. Jangan pula jadi kacang lupakan kulit.

Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) menyifatkan kerjasama BN-PN masih boleh direalisasi sekiranya pembahagian kerusi dibuat dengan prinsip timbal balas yang sekata antara negeri.
Menurut beliau sekiranya BN mahu terus kekal mempertahankan 21 kerusi di Melaka, kerjasama dengan PN masih boleh direalisasikan dengan meluaskan skop kawasan pilihan raya kepada negeri-negeri lain.
“Sekiranya BN tidak berkompromi di Melaka, maka prinsip sama perlu dipegang dalam rundingan kerusi di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis,” ujarnya.

Namun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Dato’ Razlan Rafii pula mencadangkan pembahagian peranan politik mengikut wilayah antara BN dan PN bagi mengelakkan pertembungan pada pilihan raya akan datang. Kata beliau BN wajar diberi ruang mentadbir negeri-negeri di selatan, manakala PN boleh mengekalkan penguasaan di Pantai Timur.
Berdasarkan senario tersebut jelaslah penyatuan ummah kunci utama bagi merapatkan saf BN-PN di Melaka. Begitu usaha untuk merampas Selangor daripada genggaman PH.
Tanpa perpaduan Melayu-Islam, ruang untuk DAP-PH meluaskan pengaruh sukar disekat. Maka impian Razlan untuk melihat gelombang biru menyelimuti wilayah selatan dan hijau di timur dan utara boleh menjadi realiti.
